Selasa, September 05, 2006

Perlis Darul Kukum?

** Gambar-gambar di Perlis sudah ditambah, atas permintaan pembaca :)




Alhamdulillah, dalam keheningan subuh, saya sampai buat pertama kali di Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) AirAsia. Sekitar 8.15 pagi, saya sampai di Alor Star. Pagi yang pada mulanya agak menjanjikan, tiba-tiba turun hujan rahmat menyambut kehadiran - akhirnya menjadi terlalu lebat. Terbatal hasrat untuk berjalan-jalan sekitar Alor Star. Terus sahaja mengambil teksi ke Kangar.

Cuaca makin terang dan cerah. Khabarnya, Kangar juga hujan lebat pada awal pagi tadi, tetapi cepat reda dan cuaca panas yang menjanjikan itupun kembali.

Menghampiri bandar Kangar, saya mengesani sesuatu: bahawa Perlis ini mempunyai kolej sendiri iaitu KUKUM. Saya dapat seolah-olah KUKUM ini ada di mana-mana di Perlis. Hinggakan pemandu teksinya juga boleh berseloroh bahawa Perlis ini layak juga dipanggil "Perlis Darul Kukum" kerana fakulti-fakultinya agak berselerak di sana sini.


Gambar depan Muzium Kota Kayang


Ladang tebu di Chuping (ini bukan gambar lalang, ya) :)

Saya dan seorang teman penulis turut berada di sini. Kami pun dibawa seorang pemandu teksi yang layak bergelar pemandu pelancong juga. Dia membawa kami dari Muzium Kota Payang ke Chuping - melihat ladang tebu dan kilang gula [terkejut pengawal keselamatan kilang dengan kedatangan kami yang tidak berjanji temu ini. Mereka fikirkan kami ini mungkin sahaja perisik yang menyamar menjadi penulis untuk menyiasat mengapa bekalan gula berkurangan ) ].

Kami juga dibawa sekitar Tasik Melati yang terkenal di daerah ini. Tasik ini ialah tasik semulajadi yang tidak pernah kering airnya, begitulah menurut pemandu teksi itu. Pengamatan saya, tempat ini sudah menjadi tempat maksiat di siang hari. Beberapa pasangan yang bercengkerama pada tengah hari buta itu seperti tidak mendapat perhatian pihak berwajib. Sungguh menyakitkan pandangan! Pihak berwajib itu juga barangkali sudah terlalu selesa tinggal dalam bilik berhawa dingin, sesekali singgahlah Taman Melati sebelum lebih banyak bunga-bunga 'melati' yang layu gugur di tasik ini!

Pakcik teksi itu sempat juga membawa kami merasa cendul pulut di sini. Boleh tahan juga rasanya.

Selepas berehat di tempat penginapan, adik-adik penulis yang berasal dari sini menjemput kami dan membawa kami bersiar-siar sambil makan malam menghadap matahari terbenam di Kuala Perlis. Aduhai, indahnya ciptaan Tuhan. [Adik-adik ini juga seperti sudah tahu kegemaran saya dengan fenomena alam ini.] Terima kasih, adik-adikku Ghafirah, Ummu & Mukhriz. Pengalaman itu terlalu berharga!



Malamnya, sekali lagi kami ke Kuala Perlis. Kali ini dengan rombongan DBP. Untuk menghormati mereka yang menghadirkan kami dan juga membiayai kehadiran kami ke sini, kami akur dan 'makan-makan' pula bersama-sama mereka sambil membincangkan hal-hal seputar hari esok.

Esok, bagaimanakah pula sambutan adik-adik pelajar di Perlis. Apakah mereka mempunyai disiplin yang tinggi seperti adik-adik di Tenom?

2 ulasan:

Jiwa Rasa berkata...

Bila sebut Kuala Perlis, sudah terbayang keenakan ikan bakar dan air asamnya. Ditambah pula dengan petai bakar dan terung bakar dicicah dengan sambal belacan..
Nikmatnya...

ainee berkata...

Ada gambar? Andai kakak sudi upload jua.
tiba-tiba teringin makan cendol pulut di Parit, Perak.

Related Posts with Thumbnails