Khamis, September 14, 2006

Siapa Sangkuriang?


Ketika menjual buku Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus, saya diterjah beberapa soalan yang sangat asas. Antara yang paling popular ialah, "Sangkuriang itu apa?"

Saya (dengan menahan sabar) akan menjawab, "Soalan yang betul ialah "Sangkuriang itu siapa?" bukannya apa." Langsung mereka lebih berkerut.

Masih ramai rupanya yang tidak pernah mendengar nama ini. Sangkuriang sebagai legenda @ mitos dari Tanah Jawa ini bukanlah nama biasa di sini. Mengapakah saya tahu tentang nama ini? Jawapannya, sebab saya suka membaca.

Kalau mahu tahu tentang Sangkuriang, klik di sini. Ataupun boleh buat Google / Yahoo Search. Ada berlambak maklumat tentang Sangkuriang.

Apatah lagi, Oedipus!


Berikut petikan kata pengantar SN A. Samad Said dalam Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus.

Dalam cerpen awalnya ~ “Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus” ~ Nisah haron sangat sedar akan penggunaan bahasanya. Ada ayatnya yang seperti lebih untuk puisi. Ayat itu saja sebenarnya sudah satu rintangan. Lebih sulit lagi bahasa berganding dengan kisah yang turut berat juga. Jelas sekali tanpa latar pengetahuan dunia mitos Yunani akan payah seseorang untuk menyelongkar batin penulisnya.



Saya perhatikan dari tahun 1996 (abad lalu) bahasanya yang mulanya berbusana indah ~ adakalanya sengaja ganjil ~ mengalir santai dan yakin menyampaikan subjek pilihannya hinga ke tahun 2006 (abad kini). Dari kisar subjeknya, secara sedar atau alpa dia mencari audien yang sudah tersedia pandai ~ dan percayalah inilah kelompok yang paling sedikit.


Tetapi, maaflah. Takkan semuanya mahu saya tumpahkan di sini. Selebihnya, saya mencabar anda sebagai pembaca untuk menggali maknanya.

Bukankah anda pembaca saya yang pintar?

2 ulasan:

zaidakhtar berkata...

Hampir terlupa mengucapkan
TAHNIAH!
:-)

annyss berkata...

Terima kasih, Zaid. Doa dan sokongan kawan-kawan juga yang banyak membantu buku ini terbit dengan segera.

Related Posts with Thumbnails