Jumaat, Oktober 27, 2006

Catatan Sesudah Hari Raya

Usai sudah Hari Raya. Selebihnya, hanyalah saki baki untuk menziarahi rakan taulan (mana-mana yang sempat) ataupun menghadiri majlis rumah terbuka. Namun, peribadi, saya tidak berapa menggemari rumah terbuka. Ya, mungkin itu cara terbaik untuk bertemu dengan ramai orang dalam satu masa. Tetapi semasa rumah terbuka, tuan rumah jarang dapat melayan semua tetamunya yang datang serentak. Paling bagus pun dapat bersalaman sahaja.

Datang bersama keluarga pada hari yang bukan hari rumah terbuka, pada saya lebih santai dan lebih mengeratkan silaturrahim walaupun adakalanya tuan rumah akan merasa rendah diri kerana tiada hidangan istimewa yang dapat dikeluarkan. Namun, percayalah saya sendiri datang menziarahi saudara-mara dan rakan-rakan bukan kerana hendak makan, ia lebih kepada untuk mengambil kesempatan merapatkan kembali mana-mana hubungan yang 'terputus' / 'terhakis' oleh kesibukan serta komitmen kehidupan masing-masing.

Sambutan Idulfitri di tempat saya adalah seperti rutinnya. Beberapa hari sebelum raya, sempat jugalah bakar beberapa biji kek untuk diagihkan kepada pihak-pihak yang wajib menerimanya dan bakar juga beberapa jenis kuih raya. Tahun ini paling minimum - 5 jenis sahaja. Yang dibeli hanya jenis-jenis kacang, dan yang jenis bergoreng. Pengalaman lepas banyak mengajar bahawa tetamu yang datang akan mencari kuih buatan sendiri juga akhirnya, jadi saya mengambil iktibar tersebut tahun ini :)

Raya di Ampangan biasanya ada ketupat & rendang untuk hari raya pertama dan kedua. Raya di Seri Menanti pasti ada lemang. Dalam kesibukan membuat persediaan Hari Raya, sempat juga kami sekeluarga lari ke Seri Menanti, membantu pihak di sana membakar lemang. Pun, sebenarnya, saya mahukan anak-anak saya merasakan suasana persediaan Hari Raya di kampung. Saya mahu mereka punya pengalaman 'menyibukkan diri' ketika orang sibuk masukkan beras pulut dalam batang buluh, ketika bapanya sibuk menghidupkan api di langai lemang, pendek kata, merasakan suasana yang tidak mungkin dapat dirasakan di Ampangan ataupun di bandar ataupun jika sudah tiada sesiapa lagi di kampung.

Di Ampangan, mereka sibuk juga 'membantu' buat kuih raya, melihat saya menganyam ketupat dan merebusnya. Mujur seni menganyam ketupat ini dapat saya warisi - biarpun hanya tahu menganyam sejenis ketupat (dipanggil ketupat sate kerana ia berbentuk segiempat sama berbanding ketupat bawang). Saya belajar anyam ketupat pun sambil melihat arwah emak dan nenek menganyam. Saya masih teringat kata-kata arwah nenek - kekok hendak mengajar orang buat ketupat, kau tengoklah sendiri lepas tu ikut dan cuba banyak kali.

Ya, memang itu yang saya praktikkan. Seperti juga dalam penulisan. Sukar hendak mengajar orang menulis, tetapi tengoklah sendiri selepas itu, cuba banyak kali. Insya-Allah, kalau ada istiqamah, pasti akan datang pertolongan sama ada dalam bentuk ilham ataupun dikurniakan hari yang terang.

Sebagai orang Melayu, saya hargai tradisi ini. Tradisi ini benar-benar terpilih, bukan tradisi berlebih-lebihan - segalanya yang baru pada Hari Raya. Maaf, itu bukan cara kami di rumah ini. Segalanya serba sederhana. Falsafah saya lebih mudah: baju raya ialah apa-apa baju bersih yang dipakai pada Hari Raya. Jadi tak semestinya baju baru. Anak-anak saya pun tidak saya tekankan sangat dengan fenomena 'mesti segalanaya baru' dari hujung rambut sampai hujung kaki.

Paling penting ialah berapa banyak yang sempat kita bermuhasabah sepanjang Ramadhan. Hari Raya bukannya sebulan penuh dengan makan-makan dan pesta-pestaan. Sudahlah sebulan Ramadhan menjadi sebelum pesta makan di mana-mana.

Cukuplah dengan kadar yang ada.

Kepada yang mahu berkunjung ke teratak kami di Ampangan, silakan. Kalau boleh emel atau telefon terlebih dahulu. Kadang-kadang kami sudah keluar beraya ataupun menguruskan Ujana Ilmu. Ya, Ujana Ilmu sudah mula beroperasi pada Hari Raya ketiga. Maklumlah, kami bergerak seiring dengan Pos Malaysia. Selagi Pos Malaysia beroperasi, kami juga begitu.

Mungkin tahun ini saya tiada tarikh tertentu untuk rumah terbuka, tetapi sesiapa sahaja yang hadir, akan saya terima dengan hati yang terbuka...

4 ulasan:

Rebecca Ilham berkata...

Salam.

Salam Aidilfitri kepada Puan Nisah sekeluarga.
Menyambut Syawal di kampung memang meriah dan bermakna.
Haih..betapa saya rindukan suasana itu!

Rem berkata...

Salam aidilfitri Nisah. Rumah terbuka? Hmmm... memang, bukan tempat terbaik menjalin silahturahim dan bergebang mesra. Hari ini saya melawat dua rumah kawan. Yang satu tu, bersalam pun tak dapat. Ramai sangat orang! Datang makan kuih saja. Ala-ala syarat gitu. :)

Faisal Tehrani berkata...

salam,
lama betul tak kemaskini, asyik tengok senduk seberang tu aje. terganggu hari raya aku teringatkan senduk tu. hai senduk o senduk.
eh Nisah -
kuih suji punat strawberi ada tak?

annyss berkata...

Itulah tujuan letak senduk di sini. Biar lekat sikit kat kepala. Kalau selalu ingat, mesti takkan lupa bahawa ada sejenis senduk yang kerjanya memang mengacau.

Kuih suji punat strawberi? isy, aku tak campur dengan benda-benda luar negara dalam adunan aku. Semuanya kena ikut acuan tradisi dan tempatan, biarlah orang nak kata aku ni sangat ortodok dalam buat kuih, tapi yang penting, acuannya tetap acuan tradisi dan milik kita semua.

Kalau pun aku buat kuih suji, biarlah punat dia aku letak rambutan ke, betik ke. hahaha.

Related Posts with Thumbnails