Menunggu Ilham

Soalan paling biasa ditanya kepada penulis ialah 'dari mana dapat idea untuk menulis karya ini?'

Ini juga soalan yang paling saya tidak gemar menjawab sebenarnya. Tetapi untuk tidak menghampakan terutama sekali kepada yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dalam bidang penulisan, selalunya saya akan jawab : Ilham itu bukan untuk ditunggu, tetapi hendaklah dicari.

Pada peringkat awal menulis, saya juga percaya bahawa jika tiada ilham atau idea, saya tidak mungkin menulis. Itu belum campur lagi kalau tidak ada mood untuk menulis.

Lantas, akibat terlalu percaya bahawa tanpa idea dan mood untuk menulis, saya tidak akan boleh menulis - lalu saya tidak menulis!

Alangkah ruginya masa yang berlalu!

Kini saya percaya bahawa 'tidak ada idea' ataupun 'tidak ada mood' merupakan sekadar alasan untuk tidak menulis. Menulis itu bukan sekadar termenung di pantai ataupun mengurung diri dalam bilik. Menulis memerlukan kesungguhan yang luar biasa terutama sekali dalam mendisiplinkan diri.

Percayalah, menulis itu kerja serius yang bukan saja-saja. Jika ada yang berpendapat bahawa untuk menjadi penulis profesional (baca : penulis yang hasil karyanya berkualiti) dia tidak mungkin tulis 'menyambil-nyambil'. Ada kecenderungan kepada beberapa penulis (biasanya wanita) yang bercita-cita untuk menulis apabila komitmen terhadap keluarga boleh dikatakan hampir selesai. Selalunya, wanita yang selama ini sibuk menguruskan anak-anak di rumah, ataupun tiba-tiba anak-anaknya semua sudah bersekolah, ataupun sudah masuk asrama, jadi dia sudah tidak banyak komitmen di rumah, kecuali menjaga suami sahaja.

Untuk itu, bangun pagi penulis itu langsung berhasrat untuk menulis. Salahkah? Tentu sahaja tidak. Bukankah menulis itu juga satu latihan mental yang baik. Melambatkan proses penuaan tanpa memakai krim-krim berjenama tertentu. Namun, hasrat untuk menulis sahaja tidak cukup jika seseorang penulis itu tidak mempunyai bahan bakar yang cukup.

Apakah bahan bakar seorang penulis? Tentu sahaja bahan bacaan yang baik. Sudah beberapa kali saya perkatakan hal ini. Jika penulis itu banyak membaca bahan yang ringan, tulisannya juga akan menjadi ringan. Ini sangat banyak berlaku kepada penulis-penulis baru yang terkesan dengan lambakan novel popular. Dengan mudahnya, mereka mendefinisikan makna sebuah novel.

"Oh, kalau inilah yang dikatakan novel, aku pun boleh tulis!"

Dengan premis tersebut, dia pun bermula. Salahkah? Tidak salah. Tetapi mengapa memilih menjadi seorang penulis biasa yang mempunyai jangkahayat penulisan yang amat pendek? Tentu sahaja desakan kewangan ataupun populariti sebagai alasan-alasan yang tersenarai.

Berbeza dengan penulis yang menulis untuk kepuasan dan peningkatan diri dalam penulisannya. Semasa hayatnya, penulis ini dengan mudahnya akan dilabel sebagai 'syok sendiri'. Menulis buku yang tiada orang hendak baca, ataupun menulis puisi - siapalah yang baca puisi agaknya?

Tetapi bukan RM yang dicari penulis begini. Dia mahu mendokumentasikan pemikirannya, agendanya, bukan sekadar menulis perkara-perkara yang tetek-bengek, melayan emosi tanpa had ataupun isu-isu dangkal. Bukan sekadar menampilkan wajah-wajah tampan dan jelita dalam karyanya kerana apa yang ditulisnya lebih daripada itu.

Jadi pembacanya siapa? Tentu sahaja jauhari yang mengenal manikam.

Ulasan

salam

terima kasih kak nisah

selama ini saya menganggap untuk menulis memerlukan idea dan bakat sahaja..

rupa-rupanya, 'ilham itu bukan untuk ditunggu, tapi untuk dicari'.

sangat bermakna entri kali ini...

harap-harap saya dapat menjadi penulis yang baik suatu hari nanti seperti kak nisah

p(^_^)q
Unknown berkata…
Salam Syawal,

Teringat saya pada tajuk buku Pak Samad, Ilham di Tepi Tasik. Menunggu Ilham itu alasan orang dulu-dulu zaman tiada internet. Sekarang ni macam-macam ilmu sudah boleh didapati di hujung jari.

Ilmu adalah prasyarat untuk menulis supaya ada manfaat untuk pembaca. Masaalahnya, bukan semua yg ada ilmu itu pandai menulis dan sedap dibaca tulisannya. :)
mohamad kholid berkata…
saya percaya menulis setiap hari untuk mendapat kelansungan ilham. Juga membaca setiap hari untuk membuka minda...
Jong berkata…
salam nisah,
eh bukan menulis ni mencepatkan proses penuaan ke hehehe?
Unknown berkata…
Orang berbudi kita berbahasa
Megah diri untuk berjasa
Bukan berdiri kerana kuasa.

Pantai di sini indah namun sepi
Menggamit sentiasa di dalam hati
Di situ menghitung kekerdilan diri.

Adakah roh tanpa bernyawa?
Dari mana datangnya sengketa?
Andai yang remeh diabai terlupa.

Antara puas suka dan ria
Gandingan duka mencela rasa
Apa yang diusaha utamakan pahala bila Allah redha.

Syak curiga membawa berpura-pura
Mustahil ia akan kekal begitu selamanya
Orang yang bahagia sekitarnya juga beroleh sejahtera.

Antara hawa juga nafsu
Bila ditilik ia menipu
Tika jujur ia membisu.

Selamat hari lebaran dan maaf zahir batin... saya masih sukar memahami peribahasa lebih senduk dari kuah... teman pula tidak mahu membantu... di sini tiada kamus peribahasa ... Gembira jika mampu memahami makna peribahasa itu.
salam ukhuwah saudara Nisah,

Saya terpanggil untuk membaca blog saudara melalui link faisal tehrani. Ini memandangkan saudara adalah wanita seperti saya.

Saya juga seorang yang suka menulis namun baru berjinak-jinak mempelajari bidang penulisan dengan serius.

terima kasih atas perkongsian ilmu ini dan pasti akan dimanfaatkan.

Ada masa, berkunjunglah ke blog saya di

http:www//armizanila07.blogspot.com/

sama2 kita belajar menjadi penulis yang baik

Armiza Nila
Kuching Sarawak

Catatan Popular