Jumaat, November 24, 2006

Ribut Dalam Cawan



Apalah sangat sebuah persatuan. Apatah lagi sebuah persatuan yang lebih halus dari tungau. Wujud atau tidak persatuan ini tidak memberi impak yang besar.

Saya sertai persatuan ini menyedari hakikat bahawa persatuan ini tidak mungkin akan menjadikan saya lebih kaya. Saya tahu persatuan ini ialah persatuan yang sangat miskin. Setiap kali hendak buat acara, sebanyak itu jugalah mengemis mencari dana.

Pun, tak jadi hal kepada saya. Yang pentingnya ialah perjuangan persatuan ini. Lainlah kalau persatuan ini sebesar National Geographic Society yang punya dana dan penyumbang berkarung-karung. Sekalipun besar dananya, mereka yang menjadi ahli dalam NGS hendaklah seseorang yang benar-benar komited dalam tugasnya.

Tapi dalam persatuan sebesar tungau yang saya sertai ini, masih ada ahli, bahkan ahli jawatankuasa yang tak faham etika bermesyuarat. Kalau saya di firma guaman lama dulu, masa mesyuarat ialah masa trashing. Boleh kata apa sahaja kalau rakan sejawat tak buat bahagian tugas masing-masing. Tujuan 'kata apa sahaja' itu bukanlah untuk menganiayanya, tetapi demi masa depan firma. Nak sakit hati atau nak sakit telinga, masa inilah. Tapi jangan risau, lepas mesyuarat nanti, memang boleh sama-sama minum kopi walhal masa mesyuarat tadi, suara sudah semakin tinggi dan macam nak bunuh orang.

Itulah hakikatnya dalam syarikat-syarikat korporat. Dalam mesyuarat kena profesional.

Sayang sekali, dalam berpersatuan masing-masing masih mahu menjaga hati ahli mesyuarat. Lepas itu, ada pula mesyuarat selepas mesyuarat. Punca yang remeh-temeh pun boleh menyebabkan ada yang bertindak tidak mahu hadir mesyuarat selepas itu. Tapi, jawatan dalam persatuan dia hendak pegang.

Saya jarang mahu bising dalam hal-hal berpersatuan. Bukan sebuah persatuan sahaja yang saya sertai, ada banyak. Hampir-hampir masak sangat dengan tingkah ahli mesyuarat yang senyap sunyi masa mesyuarat tetapi dalam 'mesyuarat selepas mesyuarat' suara dialah yang paling vokal. Hinggakan kedudukan jawatan saya yang sebesar hama ini pun hendak dipertikaikan.

Hello! Kalau setiap sen hendak berkira, tolonglah jangan tawarkan diri jadi ahli mesyuarat persatuan. Kalau masih ada sikap dengki mendengki, dalam mesyuarat agung lobilah ahli supaya diri anda boleh pegang jawatan setinggi langit. Ini tidak, dalam banyak hal duduk ontok-ontok yo (bak kata orang kampung saya) lepas tu, berbuih komplen sana, komplen sini.

Masih ada yang menganggap saya sertai persatuan kecil ini kerana gila kuasa. Tolonglah, kalau saya hendak kuasa, dah lama saya sertai politik. Saya pun tahu potensi diri saya. Kalau saya benar-benar hendakkan wang, takkanlah saya masih bertahan dengan Ujana Ilmu dan menulis hampir sepenuh masa. Lebih baik saya buka kedai buku dan jual novel-novel popular. Tentu poket saya sedang kembung sekarang.

Pun, tanpa jawatan, tanpa keahlian dalam persatuan ini, saya juga boleh mencari haluan diri dalam meneruskan perjuangan demi kelangsungan bangsa. Tetapi saya tidak mahu makan seorang diri. Saya tahu saya ada sesuatu yang mahu saya sumbangkan. Sumbangan kecil itulah yang saya akan salurkan dalam mana-mana pertubuhan ataupun persatuan yang saya pilih.

Saya agak terkilan, dalam era globalisasi begini, masih ada manusia yang masuk persatuan, pegang jawatan kerana hendakkan wang. Sayang sekali, mengapa dia memilih untuk menyertai persatuan paling tidak kaya untuk mencapai hasratnya.

Usah risau, saya mendapat angin bahawa saya akan pergi jauh dari sini untuk satu tempoh yang saya juga tidak pasti. Mungkin pada ketika itu kelak, sesiapa sahaja yang mahukan jawatan saya yang tidak bergaji dan langsung tidak ada kuasa ini bolehlah ambil alih. Insya-Allah, apabila saya kembali, saya akan punya platform yang berbeza demi meneruskan agenda agama, bangsa dan negara.

Saya percaya, ini sekadar ribut dalam sebuah cawan teh cina.

8 ulasan:

mundarmandir berkata...

Nampaknya Pn Nisah agak kecewa. Ini kebiasaannya terjadi bila 'orang besar' tumbuh dikalangan 'orang-orang kecil'. Tidak seimbang tumbesaran 'intelektualisme' nya. Sabar ya Puan!

Rebecca Ilham berkata...

Salam, Puan Nisah.

Kerana itulah saya malas hendak berpersatuan. Malah, terasa jengkel apabila seseorang mengusul sebab musabab keengganan bertanding dalam pilihanraya sebuah majlis kepimpinan di universiti.

"Kau tak suka dapat jawatan?"

Jawatan, berpakejkan tanggungjawab. Pada saya, kalau belum sedia memikul amanah pengundi-pengundi, awal-awal lagi jangan menawarkan diri.

Apa ada pada jawatan/pangkat jika tanggungjawab tidak terpikulkan? Iya, kita dapat kuasa, dapat nama. Tetapi mungkir amanah ini, bukan munafik namanya?

mama nina berkata...

Pn Nisah, Cerita ini bukan baru, bukan pelik, bukan janggal sebaliknya kelaziman dlam bepersatuan lebih-lebih lagi jika ahlinya terdiri daripada orang2 kita. Apa yg penting kita tahu tujuan kita berpesatuan. walau kemanapun Pn Nisah akan pergi jangan lupa menulis diblog ini kerana ada pengujung setia yang sentiasa ternanti-nanti entri terkini meskipun tidak meninggalkan jejak.wassalam

lutfi berkata...

mungkin itu yang penah menimpa zainal rashid ahmad. dia seorang pemimpin yang agresif dan aktif. malangnya - ya, di nadimkan. memang, dalam sejarah kita selalu melihat hal ini. orang yang berkebolehan sentiasa menggunakan akalnya. untuk orang yang satu lagi - apa lagi yang mereka ada selain kuasa? orang seperti ini akan dikutuk dalam sejarah.

echopena berkata...

Benar begitu kak Nisah.
Politik sempit menyebabkan persatuan pun sudah jadi medan menempa nama dan lebih teruk lagi, harta.

Jarang-jarang orang dapat memahami kenapa sesetengah individu sanggup berkorban wang, masa dan tenaga untuk sesebuah persatuan. Bagi mereka, kalau bukan sebab nama ataupun harta, apa lagi?

Sedangkan bagi seorang aktivis, nama ataupun harta tak ke mana juga. Bukankah itu konsep ihsan dalam perjuangan?

Tanpa Nama berkata...

Sdri Nisah,

Bukan dalam persatuan sahaja perkara begini berlaku. Kadang-kadang dalam oragnisasi korporat pun boleh berlaku perkara yang sama.

Sikap berlapang dada dan menghormati pendapat yang berlainan masih belum jadi budaya dalam masyarakat kita.

Siapa yang terkena pula selalunya akan berkecil hati, dan merajuk membawa diri. Satu lagi sikap yang merugikan organisasi...

zaid berkata...

err,
puan nak pergi jauh?
ke mana?

Norziati MR berkata...

Jelas kelihatan yang Puan kecewa. Saya dapat rasakan perasaan itu. Sesekali perlu juga kita pergi untuk mengajar mereka betapa susahnya bekerja dengan orang yang sekadar ada mulut, bukan idea atau tenaga atau masa atau mungkin, wang.

Sesekali perlu diajar dengan keras supaya sedar langit itu tinggi rendah...

Related Posts with Thumbnails