Ahad, November 12, 2006

Selamat Menjadi Isteri...




Tengah hari tadi, saya sempat menyempurnakan undangan daripada seorang penulis yang namanya sudah ada tapak dalam dunia penulisan. Syarifah Salha Syed Ahmad kini milik Long Mohd Zakir.

Turut hadir dalam gambar di atas ialah Nursuriana Abd. Razak (Nuralana) dan juga Anizah Abu Samah, yang sebelum ini hanya saya kenal namanya. Bagi saya mereka ini ialah pewaris generasi penulis yang baru.

Semoga perubahan status tidak akan jauh mengubah perjuangan yang telah dibina sejak menjadi mahasiswi di Timur Tengah. Saya mengerti betapa sukarnya untuk mengekalkan ketekalan menulis. Apatah lagi setelah bekerja dan juga setelah menjadi seorang isteri (dan juga ibu, kelak).

Tatkala menjadi seorang pelajar, minda kita sedang sarat dengan pelbagai ideologi dan naluri juga bersifat idealistik. Kalau boleh memang kita mahu merobah dunia! Namun, perlahan-lahan sifat idealistik itu menjadi pudar apabila masing-masing mula mendapat status tertentu dalam penghidupan.

Bukannya salah, tetapi ini menunjukkan betapa perjuangan untuk menjadi penulis itu amat besar cabarannya. Apabila menyebut penulis, saya maksudkan penulis yang mempunyai gaya dan daya penulisan bersifat sastera, punya isi, matlamat dan faham bahawa penulisannya ini suatu amanah yang mesti dilaksanakan. Saya lihat adik-adik yang saya sebutkan nama di atas memiliki potensi tersebut. Namun, jaya jatuhnya terletak dalam diri kita sendiri. Perubahan yang lebih berkesan tentunya datang dari dalam, bukannya disogok dari luar.

Insya-Allah, saya doakan agar adik-adik ini menjadi srikandi yang berjuang dengan mata penanya kerana Allah Ta'ala dan bukan kerana desakan RM semata-mata. Saya percaya merekalah mutiara yang sudah digilap dan cahayanya akan memancar ke seluruh bumantara ini. Turut saya doakan, mereka dikurniakan pasangan yang sama-sama mengerti bahawa apabila menjadi seorang isteri, hayat penulisan isteri itu perlu didorong supaya tidak terhenti setakat pada hari walimahnya.

Serangan demi serangan daripada pelbagai penjuru telah ditujah kepada semua orang Islam. Senjata orang Islam itu doanya. Peluru penulis yang mengakui beragama Islam pula tentulah terletak kepada susunan kata-kata yang dijadikan barisan untuk memperjuangan agama yang suci ini.

Ingatlah, semua yang sukar itu bukannya masalah. Tetapi suatu cabaran untuk kita meningkatkan diri ke takah yang lebih hampir kepada-Nya. Andai kita terus leka dengan bentuk-bentuk pulangan jangka pendek yang langsung tidak membantu kita di Sana, alangkah ruginya! Allah SWT telah mengurniakan ilham, kebolehan dan kekuatan untuk mengubah dunia dengan mata pena.

Marilah kita pertajamkannya! Semoga Allah akan terus memberikan kita kekuatan itu.

Amin.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails