Karya Sastera & Lapis-lapis Makna


Semalam hujan lebat dan saya tidak berhasrat untuk meneruskan apa yang telah direncana. Jadi, saya baca semula catatan-catatan lalu dalam entri ini. Khususnya, tentang pendirian saya dan karya-karya sastera.

Saya tahu apa yang saya tulis dan saya juga tahu risikonya. Saya juga tahu bahawa selepas catatan itu diterbitkan di blog, ertinya, saya akan menerima balasan-balasan tertentu. Baik yang positif ataupun negatif. Ramai yang optimis dengan saya tetapi tidak kurang juga yang pesimis.

Saya fikir saya telah menulis dengan gaya bahasa yang mudah, laras bahasa yang bersifat tabloid (meminjam istilah Rem) dan bagi saya agak santai. Saya tidak menggunakan laras Bahasa Melayu tinggi kerana saya bukannya menulis cerpen ala-ala zaman saya menulis "Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus" ataupun "Persidangan Agung Wanita Klasik".

Sedikit sebanyak saya tahu siapa khalayak saya, jadi dalam banyak hal saya telah permudahkan gaya penulisan di blog.

Namun, setelah menulis beberapa entri tentang karya sastera dan karya popular, ramai yang membuat telahan yang tidak masuk akal. Sebagai contoh :

  • Saya masukkan pasir dalam periuk nasi orang kerana kritikan terhadap karya pop
  • Bahawa gaya penulisan popular itu sangat bersalahan dengan gaya penulisan sebenar
  • Semua orang mesti menjadi penulis sastera (bukannya penulis pop)
  • Saya amat dengki dengan penulis karya pop kerana mereka dapat royalti ribu-ribu sedangkan saya tidak
dan ada banyak lagi yang dapat saya kutip daripada beberapa komen dan e-mel peribadi yang dikirimkan kepada saya.

Kata orang, kalau nak berhujah, biarlah di dalam konteks yang betul. Dalam berhujah lihat dulu apa topik yang diperkatakan. Bukannya main melenting penuh emosi dan membalas sesedap rasa. Usah bersilat di luar gelanggang dan mengharapkan perhatian.

Isu yang selama ini saya tulis ialah tentang PENGIKTIRAFAN KARYA POPULAR SEBAGAI KARYA SASTERA OLEH INSTITUSI BERWAJIB (baca : DBP). Yang diperdebatkan selama ini ialah mengapa DBP perlu mengusahakan supaya karya pop dipanggil karya sastera.

Jadi, tak timbul sebenarnya saya ni nak tutup periuk nasi orang lain (baca: penulis karya pop) dalam hujahan saya. Alahai, besar manalah pengaruh blog saya ini? Sampai satu Malaysia boleh pakat-pakat tak beli novel pop lagi. Ketawa besar saya!

Aduhai, dengar sini penulis-penulis karya pop, sahabat-sahabat penulis, rasuh dan sekalian yang ada. Isu yang kita bincangkan bukanlah mengapa anda diharamkan menulis karya pop. Kalau selepas ini akan tumbuh berpuluh-puluh penerbit karya pop untuk bacaan santai remaja, makcik-makcik yang anak-anaknya semua dah lepas dan mereka yang gemarkan karya-karya ringan seperti ini, saya peduli apa? Takkanlah saya nak pergi bakar pula syarikat-syarikat penerbitan dan kilang-kilangnya sekali.

Saya tidak memikirkan keuntungan individu penulis itu dalam mengaut keuntungan materinya. Kalau dia tak untung sekalipun setelah menulis beberapa novel popular, itupun tak jadi hal bagi saya.

Soalnya, ke manakah arah tuju industri buku hari ini jika yang bukan hak diberikan hak. Inikah keadilan?

Masih tak faham? Baiklah saya permudahkan dengan satu analogi supaya anak-anak yang berumur 10 tahun pun boleh faham.

Katakan, saya buka kedai jual nasi dan makanan berat. Tidak jauh dari kedai saya ada kedai yang menjual makanan ringan. Kedai makanan ringan tentu sahaja menjual makanan yang manis-manis seperti gula-gula, coklat dan sebagainya. Kedua-duanya diperlukan oleh pelanggan. Tentunya jenis pelanggan yang datang tentulah berbeza. Dengan wujudnya kedai makanan ringan, tentulah tumpuan pelanggan jauh lebih ramai di sana, terutamanya kanak-kanak dan remaja. Yang makan nasi dan makanan berat ialah orang dewasa. Kanak-kanak - kalau diberi pilihan, lebih gemarkan manisan daripada nasi. (Tanyakan kepada mereka yang ada anak kecil.)

Jadi untuk meningkatkan kesedaran pelanggan yang gemar makan gula-gula, coklat dan segala manisan, kerajaan mengadakan kempen kurangkan gula dalam makanan. Kerajaan tak pula perintahkan supaya kedai makanan ringan itu diharamkan. Itu sahaja. Kalau orang masih terus-terusan nak bunuh diri dengan menenggelamkan diri dengan gula-gula, kerajaan boleh buat apa. Saya sebagai peniaga nasi dan makanan berat ini pun tak boleh nak buat apa pun. Duit pelanggan, suka hatilah dia nak beli apa.

Namun, jika dibiarkan perkara ini, ke mana hala tuju bangsa saya? Mereka akan terus leka dengan manis-manisan. Bangsa lain sibuk memajukan diri dengan makanan yang sihat (sama ada untuk perut ataupun minda), bangsa saya masih hanyut kelekaan dengan segala yang indah-indah, melodramatik dan penuh emosi.

Jadi, apabila usaha untuk menyamatarafkan kedai makanan ringan dengan makanan berat - dan mahu menamakan bahawa makanan ringan itu ialah makanan yang SANGAT BERKHASIAT. Bukankah ini satu ketidakadilan! Dengan pilihan perkataan yang lebih kasar - ini suatu pembohongan kepada pelanggan. Yang mengiktiraf itu pula ialah badan kerajaan.

Rasionalnya? Semua makanan itu sama. Hello! Cubalah makan gula-gula dari pagi sampai malam. Kalau tak gigi rongak, gula pun penuh dalam darah. Kalau tak kena obesiti, pasti kena kencing manis.

Jadi, apakah gula mesti terus diharamkan? Bukan begitu. Gula itu perlu tetapi dalam dos yang bersesuaian.

Demikian analoginya. Kalau tak faham juga, saya fikir anda memang tidak faham karya sastera. Mungkin membaca karya pop juga anda mungkin keliru.

Karya sastera tetap karya sastera. Bukan kerana karya sastera mempunyai hiraki yang lebih tinggi daripada karya pop. Masalahnya, kedua-duanya selari dan tidak boleh disatukan. Mereka yang boleh menikmati opera manakan sama dengan mereka yang menggilai muzik pop. Kumpulan-kumpulan seperti New Kids on the Block, Backstreet Boys, Boys II Men, Boyzone dan mereka yang seumpama dengannya bersifat sementara. Di mana mereka sekarang? Lagu-lagunya hanya kekal untuk beberapa tempoh, selepas itu siapa yang masih lagi menyanyikan lagu mereka terasa seperti ketinggalan zaman. Ini kerana benda-benda pop bersifat semasa dan mereka sekadar penanda zaman itu sahaja.

Tidak kurang juga yang memprotes kenapa saya 'bising-bising' dalam hal ini. Sedangkan novel popular juga ada kecenderungan kepada sastera dan ada yang bernilai sastera.

Ha, yang ini betul. Memang ada novel popular yang bernilai sastera. Ingat ya, ia mempunyai unsur ataupun elemen sastera. Itu masih belum menjadikan novel popular itu novel sastera.

Kemudian satu lagi rungutan daripada penulis pop : "kalau yang saya tulis ini bukan novel sastera, novel saya ini nak dipanggil apa?"

Jawapannya : Novel pop.

Selagi sesebuah naskhah itu bersifat soap opera (macam Samarinda di TV3 ataupun drama-drama bersiri di TV), tidak menghantar pemikiran, watak-wataknya hebat kerana kecantikan fizikal (dan itulah yang menjadi konflik cerita), rendah ataupun langsung tiada percubaan untuk memberi daya taakulan kepada pembaca, santai dan ringan serta memenuhi dambaan pembaca - selagi itulah karya tersebut bernilai pop. Membacanya memang seronok kerana pembaca boleh melayan perasaan.

Salahkah membacanya? Tak salah. Itu pilihan pembaca. Ingat, itu duit dia. Dia mahukan kelegaan dalam jangka pendek.

Tetapi cuba fikir depan sikit daripada batang hidung sendiri, ke mana hala tuju karya-karya pop dalam pembangunan bangsa (Melayu, khasnya). Saya tidak menafikan bahawa karya pop menyumbang kepada industri buku negara. Sekali lagi, itu bukan isu yang saya bincangkan.

Soalnya, selepas karya pop disamakan dengan karya sastera. Apa akan jadi dengan dunia kesusasteraan tanah air? Samakah karya Ahadiat Akashah (sebagai contoh) dengan karya Keris Mas ataupun A. Samad Said?

Jika sama, I rest my case. Tahun depan, usulkan supaya Ahadiat Akashah (ataupun sesiapa yang seangkatan, semazhab, sealiran) dicalonkan sebagai penerima S.E.A. Write Award, ataupun lebih hebat lagi Anugerah Sastera Negara. Ingat ya, undiannya melalui SMS dan berdasarkan karya paling banyak terjual di pasaran.

Begitukah hala tuju penulisan sastera tanah air kita...

Ulasan

Puan, seperti yang diforumkan minggu lalu, saya rasa memang perlu ada satu makna khusus untuk istilah karya pop/popular. Kalau tidak, masing-masing bertelagah sesama sendiri memanggil dan mengistilahkan itu ini. Setidak-tidaknya, semua berpuas hati. Dari membincangkan perkara remeh temeh ini, agenda besar lain nanti diketepikan pula.
Tanpa Nama berkata…
Teruskan perjuangan Nisah. Maish ramai orang yang sebetulnya kurang faham dengan sentimen 'novel pop' ini. Tiada siapa yang dengki atau hasad dengan penulis novel pop. Tiada juga sesiapa yang ingin menabur pasir dalam periuk nasi diorang. Industri pop mendokong hukum kapitalisme sepenuhnya. Jadi secara logiknya, tiada sebarang ikhtiar di atas mukabumi ini yang boleh merencat industri ini.

Pop vs sastera: itu pilihan masing-masing. Mahu berkarya dengan cara bagaimana. Setiap pilihan sudah tentu ada 'sumbangan' tersendiri kepada perkembangan budaya membaca di Malaysia. Yang berbeza cuma bentuk dan tahap sumbangannya. Sejauhmana - itu yang boleh diperdebatkan.

Isunya juga -- kalau kita diberi satu sumber yang TERHAD untuk mempromosi dua genre tersebut -- yang mana satu harus dipilih? Novel pop yang boleh tumbuh sendiri (dan sentiasa dibaja oleh persekitaran!) atau novel sastera (yang hidup segan, mati tak mahu)?

Duit DBP bukannya juta-juta melimpah ruah. Hanya ada segemal saja. Justeru, kenapa yang segemal itu mahu dibazirkan untuk menjulang sesuatu yang sudah berada di puncak dunia? Ya, sesuatu yang memang sudah digilai oleh umat manusia -- kenapa perlu diangkat-angkat lagi? Supaya kegilaan manusia tambah menjadi-jadi? Islam kata -- bersederhanalah dalam semua perkara. Sebab itu, sebarang gejala yang menggila (walaupun benda tu baik!) harus diimbangi dengan elemen pencair -- bukannya disubur-biakkan lagi!

Patutnya, gunakan sumber yang terhad itu untuk angkat 'genre penulisan' yang terpinggir. Biar ia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah -- dengan produk-produk pop itu. Dengan cara begini -- kita beri keadilan kepada masyarakat untuk memilih apa yang benar-benar mereka mahu dengan cara memperkayakan alternatif.

PS: Isu istilah sebetulnya tidak timbul di sini. Ianya terang lagi bersuluh. Kalau dicampak depan kita 15 buah novel Melayu mutakhir -- (kalau kita benar-benar pembaca yang peka) kita boleh dengan mudah mengasingkan yang mana 'pop', yang mana 'sastera'. Begitu mudah, semudah membezakan antara sepinggan nasi masakan ibu, dan sebiji hamburger jenama MacDonald. Ya, memang betul -- dua-duanya ada zat dan boleh mengenyangkan. Yang berbeza cuma darjah nilai zatnya, serta 'cara bagaimana ia mengenyangkan'.

Saya makan kedua-duanya. Tiada masalah. Cuma yang berbeza adalah kuantiti ambilan. Inilah isunya di sini: soal 'kuantiti ambilan'. Bukan soal mahu mengharamkan mana-mana.
Rebecca Ilham berkata…
Baguslah Kak Nisah 'clear' kan pendirian kakak tentang hal ini.

Saya pun letih membaca komen-komen yang menghentam balik penulis sastera berat sebagai 'cemburu' dan 'takut tak dapat cari makan.'

Agaknya begitulah jika kita bersuara. Tetapi kalau didiamkan, seolah-olah membenarkan pula.

Becky.

P.S Garang juga Kak Nisah, ya!
zf_zamir berkata…
semua berpuas hati? mungkinkah?
huhu..
agenda besar, ya, setuju!!
Tanpa Nama berkata…
Tersenyum saya baca tulisan Affandi Hassan di Mingguan Malaysia, kelmarin..

Catatan Popular