Ahad, Disember 17, 2006

Ucapan Penutup Wakil Mentor MPR 2006

Setelah hampir seminggu kita berkampung di Bagan Pinang, Port Dickson dan kemudian ke DBPKL, kita sudah pun sampai ke penghujung acara dan penghujung pertemuan. Namun, bagi kami, barisan mentor, ini bukannya suatu perpisahan. Kami amat yakin bahawa kita akan berjumpa lagi.

Bagi penulis, mereka akan kembali bertemu apabila mereka terus berkarya. Walaupun tidak bertemu secara bertentang mata, kita akan bersua di akhbar, majalah ataupun mana-mana media dan tentunya dalam majlis-majlis sastera.

Mulai daripada hari pertama kita berkenalan, adik-adik telah diterapkan dengan permainan mudah seperti 'melukis daun', 'menulis umur sendiri & 'melukis orang berlari'. Permainan itu nampaknya seperti tiada apa-apa, tetapi di situ sahaja kami dapat melihat kreativiti peserta, usaha dalam mencari kelainan dan bagaimana membina satu plot cerita yang mudah.

Kami juga dapat mengenalpasti tahap bacaan para peserta apabila diuji tentang nama-nama karya dan nama-nama pengarang mapan, seperti Sasterawan Negara. Ramai juga yang gagal menjawab.

Kami berharap, permainan-permainan tersebut dapat dijadikan iktibar untuk terus meningkatkan pembacaan, pengetahuan dan meninggikan kadar kepedulian terhadap dunia sastera kita.

Hari ini umat Islam telah diserang dengan liberalisme. Semuanya sama rata. Agama itu sesuatu yang bersifat peribadi dan personal. Kalau seseorang itu tidak sembahyang, orang lain seolah-olah tidak ada hak untuk menegur lagi.

Begitu juga dengan kebejatan yang berlaku kepada masyarakat seni - termasuk masyarakat sastera. Buktinya: hari ini DBP telah menganjurkan Bengkel Kajian Novel Popular. Respons daripada para penulis novel popular ialah - mereka juga penulis dan semua penulis itu sama - tanpa mengira mereka itu penulis pop ataupun penulis sastera.

Sedangkan kita tahu nilai sebenar sesebuah hasil seni.

Tidak mungkin kita samakan sehelai kain songket tenunan asli dengan kain jenis poliester yang lebih mudah dikilangi dan harganya juga murah.

Isunya, bukanlah penulis sastera ini hebat dan berada dalam kelasnya yang tersendiri tetapi tanggungjawab sebagai penulis dengan bakat yang dikurniakan itu dipegang sehingga sampai di Padang Mahsyar kelak.


(Barisan mentor - dari kiri : Raihani Mohd Said, Nisah Haron, Shamsudin Othman, Zaid Akhtar, Lutfi Ishak)

Para mentor amat berharap agar kami telah dapat membangkitkan kesedaran ini di kalangan peserta dan dalam masa yang sama adik-adik semua berusaha membina nama dalam penulisan dengan membina pemikiran yang tinggi dan sesuai untuk mencabar minda pembaca.

Hadirin yang dihormati,

Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan salam takzim "Assalamualaikum" daripada seorang mantan MPR - Sdr Faisal Tehrani - yang sedang mengharumkan persada kesusasteraan kita di Jerman. Beliau amat berharap kesemua 22 orang peserta MPR bakal menjadi penulis-penulis besar dalam tempoh waktu terdekat.

Para mentor juga telah ditugaskan memantau anak-anak buah masing-masing supaya tiada yang ketinggalan dalam arena penulisan. Harapan kami semua, adik-adik teruslah berhubung dan memajukan karya kepada mentor masing-masing untuk kami panjangkan kepada pihak yang berkenaan.

Sampai masanya nanti, kami sangat-sangat percaya, adik-adik akan dapat berdikari dan membina keyakinan diri untuk menghantar karya ke media cetak tanpa melalui kami lagi. Pada ketika itu, kita akan menjadi setara dan setanding. Insya-Allah, kita akan bersaing secara sihat dan berlumba-lumba untuk menulis dan terus menulis!

Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ada beberapa berita baik kepada Peserta MPR 2006 :

a) Petang tadi saya sempat bersembang-sembang dengan Editor Dewan Sastera. 2 orang daripada peserta MPR 2006 akan disiarkan karyanya dalam ruangan 'Tunas Cipta' Dewan Sastera Februari 2007. Ini saya sempat lihat sendiri. Tahniah! Siapakah mereka? Sama-samalah kita dapatkan Dewan Sastera Februari 2007 dan lihat sendiri.

b) Malam ini juga akan diumumkan peserta terbaik MPR 2006 - hadiah akan diberikan kepada peserta paling aktif sepanjang MPR. Turut diberikan Hadiah Galakan Khas Mentor yang akan diberikan kepada peserta yang menunjukkan peningkatan dan perkembangan yang baik sepanjang MPR.

Kami, barisan mantan MPR juga berharap agar Antologi Kissaten Teduhan Esok akan dapat direalisasikan penerbitannya oleh DBP. Saya percaya jika sdr Hizairi Othman dapat bersama-sama dengan kita - beliau tentu akan bergembira kerana beliaulah yang menjadi pencetusnya!

Selepas majlis ini, adik-adik semua sah menjadi mantan MPR 2006 dan kelab alumni MPR masih wujud dan berfungsi secara fleksibel. Jika ada sesiapa yang mahu mengadakan acara, seperti diskusi karya, wacana intelektual atau sebarang pertemuan yang boleh memanfaatkan semua mantan, teruslah berurusan dengan pihak PURNAMA, DBP.

Satu sebab Alumni MPR tidak mempunyai jawatankuasa - kami mahu mengurangkan birokrasi dalam pengursuan. Sesiapa yang punya idea dan kesempatan teruskan, kami abang-abang dan kakak-kakak pastinya akan datang menghadiri majlis tersebut. Ini pernah diusahakan oleh gabungan MPR 2000 ke atas seperti Ghafirah Idris, Ida Munira, Fahd Razy, Nasriah Salam dan mereka yang seangkatan pada tahun 2005 yang lalu.

Akhir kata, saya mewakili para mentor memohon maaf atas sekali ketelanjuran dan tingkah laku ataupun sekiranya ada kata-kata yang menyinggung perasaan sesiapa. Tahniah kepada semua mantan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dewan Bahasa & Pustaka atas kepercayaan yang diberikan kepada kami berlima dan sesungguhnya, inilah sumbangan kecil kami kepada DBP yang telah banyak berjasa kepada kami dalam melahirkan penulis sastera.

Buat jambatan kayu diraut,
Dari Jasin menolak titi;
Jadilah tuan seperti laut,
Air masin ikan tak mati.

Dalam peti sebelah kantung,
Di situ mutiara saya tinggalkan;
Dalam hati sebelah jantung,
Di situ peserta kami tinggalkan.

* Pantun ciptaan : Mentor Raihani Mohd Saaid (MPR 1997)


Bersama-sama mentee saya : Dari kiri - Wanie, Feda, Nisah, Nabiha, Nissa' Yusof & Azree

11 ulasan:

fakhrul ali ibnu al-fuadi berkata...

Insyaallah kami semua akan sedaya yang mampu berusaha untuk hasilkan karya karya sastera yang baik.. doakan kejayaan kami semua mpr2006

-faizal-

Nabiha berkata...

Kak Nisah, terima kasih atas segala tunjuk ajar yang telah diberikan. Saya berasa bertuah menjali salah seorang mentee Kak Nisah dalam MPR'06 ini. Segala bimbingan dan tunjuk ajar Kak Nisah amat saya hargai. Terima kasih..

Rem berkata...

Cantik pantunnya! Tahniah kepada mentor dan mentee yang meneruskan agenda sastera nasional.

Tanpa Nama berkata...

Mentor yang dikasihi, Kak Nisah

Hehehe...saja nak kacau dan nak betulkan nama saya :Raihani Mohd.Saaid. Sepekan yang terbaik dan terindah dalam hidup-MPR 2006!

Kalau tuan pergi ke seberang,
ikan beli, udang pun beli,
sekati beli dahulu.
Kalau tuan ke negeri orang,
duit cari, kasih pun cari,
ilmu sejati cari dahulu.

-Rai-

Tanpa Nama berkata...

Raihani Mohd.Saaid-ejaan betul untuk nama ayahanda beta.Saja kacau...hehehe!

annyss berkata...

Salam Rai,
Alahai, ampun maaf dipinta. Maaf zahir batin. Memang silap taip. Terima kasih kerana menegur. Beta pun tak suka apabila nama ayahanda beta dieja 'Harun' sedangkan dalam i.c. Nisah binti Haron.

Dah buat pembetulan.

Pantun tambahan juga sangat menarik! Betul tak Rem?

Tanpa Nama berkata...

jealous
ha ha.

Tanpa Nama berkata...

Salam untuk kuda terbang (kaler pink lagi),

Dah tengok blogspot mpr06?Tahniah dan harap tidak terhenti sekerat jalan.MPR zaman beta dahulu pakai surat 'tangan panjang' je...rata-rata dah jadi mak/ayah orang. Apa khabar yek?TSemalam 19/12/06 pergi UM tengok festival MAKUM. Tengok UM open, drama Pengganti Zen, adapted form japanese kyogen.Sajalah bagi sokongan kat junior2 di samping 'menjual muka'...supaya depa tahu I ni hidup lagi.Hahaha!

Ikan todak dalam perahu
anak syahbandar memangku puan
sms hendak, emel pun mahu
badan tersandar padamu tuan.

Dilengkung kampung bersudut
dirasuk lantai melintang
dipelangkung dengan mulut
takkan remuk takkan terlentang.

Eh, gian pantun lak aku ni!

-Rai-

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum Kak Nisah,

Kak Nisah boleh tolong saya? Saya kepingin nak baca dapatan bengkel kajian novel popular. Kalau Kak Nisah ada, boleh Kak Nisah siarkan dalam blog Kak Nisah? Terima kasih, Kak Nisah!

Liyana

zf_zamir berkata...

dapatan bengkel? bengkel tu ada dapatan apa-apa ke?

hai..

habis sinopsis, makan, sinopsis, makan..

dapatannya, keluar perut kenyang!!

annyss berkata...

Salam semua,

Tentang dapatan bengkel novel popular, saya fikir apa yang dikatakan zamir itu memang betul. Apabila setiap novel dibincangkan secara individu, ia memang jadi seperti satu sesi diskusi karya sahaja. Tiada dapatan konkrit tentang novel popular yang diperoleh daripada bengkel tersebut.

Lagi satu, ia bukannya satu bengkel. Ia lebih bersifat suatu wacana ataupun seminar sahaja.

Saya tak masuk sepenuhnya, kerana setelah membaca 16 kertas kerja, tiada yang 'outstanding' tentang tulisan mereka. Tak ada apa yang saya tidak tahu tentang novel yang diperkatakan.

Seperti yang Zamir katakan, memang kalau pergi ke seminar di DBP, tak rugi. Perut pasti kenyang. Tak sempat lapar dah kena makan lagi!

Related Posts with Thumbnails