Ahad, Januari 07, 2007

Penulis & Pasangan Sekufu'


Satu perkara yang saya (dan Rai) bangkitkan sewaktu di Minggu Penulis Remaja yang lalu ialah tentang berapa lama mereka (peserta) mahu kekal menjadi penulis. Ramai juga yang terpinga-pinga dengan soalan tersebut. Dan tentunya tertanya-tanya mengapa soalan itu yang ditanya pula.

Dalam hati masing-masing, saya percaya mereka mahu menjadi penulis selama yang mungkin (tentunya!).


Tetapi berapa ramai yang benar-benar sedar tentang cabaran-cabaran untuk menjadi penulis. Saya dan Rai bercakap pada masa itu dari aspek realiti.

Penulis perlu hidup dan meneruskan kehidupan. Oleh sebab mereka semua peserta yang masih bujang (mungkin ada yang sudah mempunyai calon pasangan hidup, ada yang masih mencari ataupun ada yang menemui semasa MPR - siapa tahu?) dan mungkin tidak terfikir sangat tentang pasangan hidup, jadi kami bangkitkan soalan tadi.

Hakikatnya, menjadi penulis semasa bergelar pelajar/mahasiswa ataupun apa-apa keadaan sebelum bekerja tetap dan berkahwin, semuanya akan jadi begitu idealistik. Semasa menjadi
student kalau boleh kita memang mahu merobah dunia dengan mata pena. Memang tak fikir apa dah, mahu menulis sahaja!

Benar, sebab itu saya tanya, berapa lama mahu jadi penulis. Realitinya, akan sampai satu ketika nanti, penulisan itu tidak lagi menjadi keutamaan yang nombor wahid. Ataupun mungkin ditinggalkan begitu sahaja.

Apabila sudah bekerja, akuilah! Memang sukar untuk membahagikan masa untuk menulis dan bekerja. Kalau semangat dan kesungguhan tidak kuat, memang mudah benar menulis itu menjadi suatu yang terketepi - begitu sahaja.

Itu belum masuk bab berumahtangga. Ini cabaran besar khasnya kepada penulis wanita. Mencari pasangan yang sekufu' (setaraf, sefahaman, setara) ini memang penting kalau mahu meneruskan kelangsungan menulis. Wanita yang sudah bergelar isteri, akan mudah mengalah pada keadaan. Apatah lagi, jika mendapat pasangan yang langsung tidak memahami minat isterinya 'bercanda dan berserius' dengan papan kekunci komputer/laptopnya. Wanita juga cepat datang rasa bersalahnya apabila ada tuntutan-tuntutan tertentu yang meminta perhatiannya di dalam rumah. Itu belum campur lagi apabila sudah ada anak. Apabila anak menangis, memang sukar untuk keraskan hati bagi meneruskan tarian yang rancak di atas papan kekunci.

Jadi, untuk menjadi penulis sastera khasnya, perlu ada kesungguhan dan kekuatan untuk melawan semua ini. Saya bukan suruh lawan suami ataupun abaikan anak-anak. Tetapi, kepada sesiapa yang belum berkahwin dan mahu meneruskan hayat penulisan perlulah mencari pasangan sekufu' yang saya sebutkan tadi.

Mestikah berkahwin dengan penulis? Oh, tidak semestinya. Adakalanya, berkahwin dengan penulis menyebabkan salah seorang mungkin 'terpaksa' beralah kerana mahu memberi laluan kepada pasangan. Ini pernah berlaku kepada pasangan Othman Puteh-Timah Baba, A. Samad Said - Salmi Manja dan Lim Swee Tin - Selina SF Lee. Dalam banyak hal, pihak isteri yang mengalah untuk memberi laluan supaya suami masing-masing dapat mengutip kejayaan. Mereka redha sebagai penyokong kejayaan suami.

Salahkah? Saya tidak kata ini suatu yang salah. Bahkan, jodoh itu juga di tangan Tuhan. Pun, saya percaya, tidak salah berusaha mencari pasangan yang memahami bahawa dalam sehari, ada peruntukan beberapa jam yang diperlukan isteri untuk menghadap tulisannya. Tolong jangan tanya isteri, 'jam berapa awak nak menulis hari ini?'

Kreativiti ataupun ilham itu hadir bukan mengikut waktu pejabat, ya. Jadi, penulis wanita tadi memerlukan suami yang faham gerak rasa isterinya. Apabila sudah tekun mengadap komputer / laptop dan jari pun menari atas papan kekunci, apabila ditegur pun macam dengar tak dengar, sudahlah. Jangan ditegur dia lagi. Biarkan dia terkurung sebentar dalam dunia ciptaannya.

Seorang penulis itu ada hidup dalam dua alam (bukanlah macam amfibia!). Ada masanya, dia adalah dirinya yang sebenar dan adakalanya dia sedang masuk dengan khusyuk ke dalam dunia penulisannya. Tinggalkan dia sebentar. Biarkan dia sendirian mengadun cerita, wacana, plot dan pemikirannya.

Pernah seorang penulis mengadu kepada saya bahawa ketika beliau menulis novel popular (saya akui dia ni seorang penulis novel pop yang tidak terlalu mengkhayalkan) beliau tak kisah pun kalau anak-anak buat bising di luar bilik ataupun diganggu beberapa kali. Tetapi ketika menulis cerpen (beliau pernah menang anugerah kebangsaan melalui cerpen-cerpennya) beliau akui bahawa beliau perlukan konsentrasi yang lebih mendalam dan sukar menulis jika diganggu.
Nah, suami yang bagaimanakah yang boleh menjadi pasangan kepada isteri seorang penulis? Jawapannya terpulanglah kepada individu. Tidak semestinya pasangan itu mesti membaca setiap kali karyanya siap ataupun bantu mengedit karya (kalau ada, lebih baik) ataupun tolong bancuhkan kopi (kalau rajin nak buat, amat dihargai) tetapi cukuplah pasangan yang mengerti bahawa dia perlukan ruang dan masa tertentu untuk menulis. Yang sesekali meninggalkan dia sendirian ataupun sanggup membawa anak-anak pergi bermain di luar supaya ibunya dapat menulis dengan gangguan yang sangat minimum.

Itulah yang saya dan Rai minta para peserta MPR fikirkan dalam menempuhi liku-liku hidup sebagai penulis. Tidak ada sesiapa pun yang kata, menulis itu sesuatu yang mudah. Jika benar mahu jadi penulis, anda perlu bijaksana!

* Gambar-gambar oleh Nisah Haron

12 ulasan:

Puan Ainon Mohd. berkata...

Puan Nisah,

Di kalangan mentee2 saya ada pasangan yang luar biasa sikap mereka terhadap bakat pasangan.

En. Zul adalah seorang bekas shef hotel yang 'naik' dari dapur, bukan dari diploma. Isterinya graduate. Mereka sentiasa datang kursus bersama-sama.

Faham-fahamlah sahajalah tukang masak menulis! Ejaan entah ke mana, tanda bacaan entah ke mana. Maka isterinyalah yang membaca apa yang suaminya tulis.

Puan Nor'aini hendak menulis novel jibunsyi. Suaminya seorang akauntan dan sudah ada buku dengan PTS. Anak kecilnya yang baru 3 bulan menyusu ibu. Suaminya pegang baby dari 10 pagi - sampai 5 petang di luar bilik kuliah. 2 jam sekali isteri keluar menyusui anaknya!

Seorang mentee saya lagi, suaminya memandu teksi. Pagi-pagi dia hantar isterinya, duduk temankan isterinya sarapan dulu, kemudian isteri naik ke kelas, baru dia pergi menjalankan tugasnya memandu teksi. Petang, si suami bawa 4 orang anak-anaknya ambil ibu mereka tamat kelas!

Seorang mentee saya lagi, suaminya naik motor dari Shah Alam, hantar si isteri pergi kelas. Tak cukup dengan itu, si suami pinjam duit koperasi belikan isteri laptop!

Seorang mentee saya, suaminya mengizinkan isterinya menjualkan semua barang kemasnya bagi membeli laptopselepas PC buruk isterinya rosak, termasuk cincin tunang dan cincin kahwin yang dibeli untuk isterinya!

Masih ada lagi mentee2 saya yang mempunyai pasangan sungguh ikhlas mahu melihat si penulis berjaya.

Jadi, kahwinlah dengan pasangan yang tulus ikhlas kasih sayangnya. (terasa basah pula mata saya....)

Fahd Razy berkata...

lagi satu masalah, kadang-kadang pasangan sangat memahami. tapi diri sendiri yang malas. eheh, =D InsyaAllah, saya tidak akan jadi begitu. Doakan...

Tanpa Nama berkata...

Ini rasanya, entry wajar diletak kat sisi kanan (entry terpilih). Memang selalu, orang perempuan (dan lelaki juga) berhenti menulis kerana memikirkan keluarga dan anak-anak lebih penting.

Lama dulu saya teringat, seorang penulis (tak ingat mana satu), berkata: "orang perempuan, selepas kahwin, bila dah dapat pena betul, dia lupakan pena yang lagi satu")

Tp selalu juga, mrk berhenti bukan disebabkan pasangan yang tak sekufu. Tetapi penulis itu sendiri yang mengutamakan suami (atau isteri) dan anak2, maka merencat penulisan.

--> saharil.com

annyss berkata...

Puan Ainon,
Seronok dengar pengorbanan pasangan masing-masing demi memastikan isteri mereka dapat menulis. Semoga semua pihak dapat menghargai pengorbanan tersebut.

Fahd Razy,
Kok dah cam tu kisah eh, tak pek nak nolong!

Saharil,
Hehehe, dah lama nak update side bar untuk entri-entri suka ramai dan pilihan peribadi. Thanks for the reminder!

Rai berkata...

Aik, ada juga beta dalam ini gambar ya!

Pasangan satu hal.Mertua dan kaum kerabatnya pun satu hal lagi. Menantu perempuan mcm saya ni mengadap laptop, tak masuk dapur sgt mcm menantu2 lain alamak aii...kurang markahlah gitu!Suka beli buku dan lepak kedai buku, tengok movie pun depa dah hairan.
Berapa kali hint nak buku tertentu untuk birthday pun dok dapat kain ela jugak...hehehe skandal keluarga!

Saya pun hampir2 nak terjerumus menjadi 'the has been' dalam dunia sastera lepas kahwin.Mujur pasangan nampak fame and fortune yang saya raih dari menulis ni.Mujur juga SM Zakir menyelamatkan daku dari terbungkus adanya!

mardhee berkata...

Apa pula pandangan saudara Nisah dengan pilihan untuk terus membujang bagi memelihara ketajaman mata pena? Saya ada baca pendapat yang mengatakan menulis itu bukan sekadar menulis bahkan satu pengorbanan menyucikan jiwa, hati dan nurani. Wallahuallam.

Hujahnya ramai karyawan dulu kala memilih hidup membujang demi Islam. Antaranya Al Ghazali dan Al Fathani. Saya sangat perlu feed back dari Saudara. Please.

Mardhiah

Hani Hamsyari berkata...

Salam. Saya tertarik dgn entri ini. Dan sungguh, saya juga sering terfikirkannya :)

Hany FF berkata...

Membaca luahan rasa seorang yang pernah menjadi pendamping (walaupun secara tak rasmi), dan sebagai produk MPR...huhu...sedih betul baca entri ni (dalam makna tu). Apa pun, perjuangan dakwah...dengan pena atau apa saja mesti diteruskan selagi hayat ada. Saya memilih (& menyukai) penulisan sastera kerana indahnya sering 'sampai' ke jiwa.

Namun kini, tinggal kenangan. Nak kembali aktif bersama pena, rasa 'bagai sukar'. Cabarannya, seperti yang Kak Nisah kata-kerjaya & keluarga.

Kalau sekadar menulis sebagai hobi - masih. Meneruskan perjuangan dakwah dengan wadah lain - masih. Namun, serius dalam penulisan...tak tahulah. Rasa jauh, walaupun dalam fikir ini rasa 'banyak' yang nak dilontarkan.

Namun, cita-cita tetap ada. Untuk bangkit dan 'hidup' semula mengisi dunia sastera. Biarpun entah bila....

Sekadar berkongsi rasa. ;)

Hany - MPR '98

mohamadkholid berkata...

Menulis memerlukan waktu yang bukan sedikit. Libang libu jari berlari dikekunci komputer - sedar-sedar sudah berjam-jam dan hanya satu bab sahaja yang diselesaikan. Saya bertuah, mempunyai isteri yg sgt memahami dan akhirnya dia juga dapat menyelesaikan penulisan jibunsyinya. Selalunya masalah timbul apabila tak cukup ruang antara kami - komputer yg satu dan anak-anak yg menagih perhatian...

Rai The Cutie Pie berkata...

Salam Sis,
Pengalaman ibu terutama di zaman mudanya;dia dianggap tidak betul oleh nenek dan orang-orang tua di kampung kerana suka menyendiri. Penulis, biasalah...memang nampak 'anti-sosial' apabila sudah larut dalam dunianya. Saya pula kalau dapat mengurus rumahtangga macam Bree Van de Kamp, serentak boleh hasilkan 5 novel setahun,alangkah indahnya. Tapi saya nampak itu semua masih 'fiksyen' lagi...

Pengalaman sendiri-suatu hari pernah kakak ipar minta tolong buat slogan untuk pertandingan kuiz anjuran Takaful. Ditakdirkan dia menang nombor 3 dan sejak hari tu, sayalah pembuat slogan tetap untuk keluarga (sebelah suami), hatta slogan untuk supermarket sekalipun. Anggapan mereka, orang pandai menulis ni boleh disuruh tulis apa sahaja, bila-bila sahaja. Padahal masa tu mungkin saya perlukan 'kepala' ni untuk fikir benda-benda lain yang lebih mendesak.

Hehehe skandal keluarga lagi!

nurani nafa berkata...

hurm.. Nampaknya saya kena cari isteri penulis juga la ni..huhu.. calonnya sudah ada.

ainunL muaiyanah berkata...

apabila kak nisah komentar hal ini di mpr tempoh hari, saya terkesan juga.
insyaAllah menulis itu satu juang, harap2 teman saya suatu hari juga serasa dan sejiwa (dengan senyum nakal)

Related Posts with Thumbnails