Penulis itu Pembaca


Saya seringkali mendapat e-mel, komen ataupun sebarang nota yang ditinggalkan di blog ini oleh calon-calon penulis. Mereka mahukan bimbingan penulisan.

Terus terang, agak sukar untuk merealisasikan hasrat mereka kerana bimbingan penulisan perlukan medium yang lebih baik daripada blog ini. Mungkin apa yang dapat saya berikan sekadar beberapa nasihat dan pendapat. Selebihnya, penulis itu perlu berusaha untuk mendapatkan bahan daripada sumber-sumber yang berbeza.

Secara peribadi, saya bersama-sama seorang teman penulis yang agak tersohor, sedang mengusahakan sebuah buku panduan yang agak ringkas tetapi sesuai untuk bacaan calon-calon penulis. Saya fikir, kali terakhir sebuah buku panduan penulisan kreatif dihasilkan ialah oleh Allahyarham Dr. Othman Puteh (Panduan Penulisan Cerpen / Panduan Penulisan Novel) dan juga Prof. Rahman Shaari (Panduan Menulis Sajak). Insya-Allah, jika hasrat ini diizinkan Allah SWT, buku kecil yang kami usahakan ini akan menemui pembaca yang terlalu ingin menjadi penulis tetapi tiada panduan ataupun asas-asas tertentu. Doakan projek kecil ini berjaya. Amin!

Pun, pada pendapat saya, sekadar membaca buku-buku panduan, menyertai bengkel dan membuat percubaan menulis semata-mata, belum tentu dapat melahirkan penulis yang baik. (Saya bercakap dalam konteks penulis sastera, bukan penulisan karya-karya picisan mahupun karya pop). Saya sangat percaya bahawa karya yang baik itu terhasil daripada pembacaan yang baik dan juga mencakupi pelbagai bidang.

Ertinya, kalau mahu menulis karya sastera dan sungguh-sungguh mahu dikenali sebagai penulis walaupun kita telah tiada di dunia ini, bacalah buku-buku sastera yang terpilih. Kalau mahu jadi penulis pop sahaja, bacalah buku-buku pop. Memang itulah contohnya. Ibarat, kalau mahu menjadi penyanyi lagu-lagu asli Melayu, tak payahlah menonton Akademi Fantasia kerana tiada bakat yang boleh anda temui di situ. Kalau mahu jadi penyanyi dengan tempoh glamor yang singkat, mungkin AF boleh beri sumbangan. (Lihat betapa Mawi tenggelam di Anugerah Juara Lagu tetapi diangkat di ABPBH).

Oleh itu, nawaitu untuk menulis itu perlu jelas. Alasan - menulis untuk suka-suka itu sepatutnya sudah tidak termasuk lagi dalam kategori nawaitu. Orang seperti ini saya tidak akan layan kerana mereka tidak serius menulis. Mungkin mula-mula tu bolehlah, menulis sekadar hobi tetapi iddah untuk 'suka-suka' itu tidak boleh terlalu lama kalau mahu tekal dan kekal menulis.

Menulis juga perlu ada strategi.

Satu, penulis berkait rapat dengan nama. Selain mempertingkat kualiti penulisan, penulis juga perlu bijak merancang strategi supaya namanya dapat dikesan editor, pengkaji dan diperhatikan oleh khalayak sastera. Untuk peringkat permulaan, hadirkan seberapa banyak karya supaya dapat tersiar di media yang sesuai. Ini sekali lagi bergantung kepada kualiti karya tersebut. Kalau menulis ala kadar, maaflah, editor pun ada banyak kerja lain.

Jadi, ini kembali kepada mauduk asal entri ini iaitu membaca karya-karya yang berkualiti sebagai contoh supaya standard yang dibina itu setara ataupun lebih baik. Tulis, dan tulis banyak-banyak.

Penulis yang rajin membaca, kemudian rajin pula menulis akan lebih cepat mendapat tapak dalam dunia penulisan.

Selepas itu, kalau ada apa-apa sayembara ataupun pertandingan penulisan - sertailah! Ini boleh menjadi kayu ukur kepada tahap kemampuan penulis tersebut. Biarpun kita akan bertandingan dengan penulis tahap-tahap Sasterawan Negara sekalipun. Kalau tak menang pun, bukannya orang lain tahu. (Jangan hebahkan bahawa kita menyertai apa-apa sayembara sebelum keputusan diumumkan). Nanti, jika karya itu tidak menang, usah pula berputus asa. Karya yang sama masih lagi boleh dihantar untuk penerbitan di tempat lain. Ingat ya, hak cipta asal sesebuah karya itu milik penulisnya. Selepas keputusan sayembara, hak cipta itu kembali kepada penulisnya. Dia bebas untuk menerbitkan SELEPAS keputusan. Selagi keputusan tidak diumumkan, karya itu tidak boleh dikirimkan ke tempat lain. Kalau memang, hadiah itu boleh ditarik balik. Hati-hati!

Kemudian, strategi lain ialah menarik perhatian supaya karya itu dapat dibaca oleh khalayak yang lebih luas. Terutama sekali, oleh khalayak yang akan mempromosi karya tersebut ke merata tempat. Bagi penulis sastera, sekiranya karya tersebut sekingkali diperkatakan oleh sarjana sastera, karya tersebut akan lebih mudah diabadikan. Ini berbeza dengan karya pop yang dibaca oleh sekian ramai jumlah pembaca tetapi mereka adalah pembaca yang 'syok sendiri' - maksud saya pembaca seperti adik-adik remaja, mak cik-mak cik ataupun golongan yang sewaktu dengannya, ialah pembaca bonus. Mereka boleh sahaja mempromosi karya tersebut dari mulut-ke-mulut kerana mereka ini tolong rekemen karya tersebut kepada kawan-kawannya. Tetapi mereka bukanlah golongan yang ada kredibiliti ataupun autoriti untuk mengangkat sebarang karya.

Pokok pangkalnya, kembali kepada nawaitu tadi. Khalayak bagaimana yang didambakan?

Penulis yang mahu segera mendapat tempat di persada sastera tanah air ini perlu juga mengenalpasti kekuatan dalam karya dan juga bumbu-bumbu tertentu yang dimiliki - yang tiada pada penulis lain. Misalnya, Faisal Tehrani mengangkat karya berunsur sejarah kerana beliau banyak membaca bahan sedemikian. Saya sendiri mengangkat unsur perundangan kerana itu memang disiplin saya. Dr. Rahmat Haroun mengangkat unsur perubatan kerana itu bidang dia. Dan seterusnya...

Jadi, calon-calon penulis sekalian, apakah kekuatan yang ada yang boleh dimasukkan ke dalam karya? Itu saya tidak boleh bantu secara terus. Satu, gunakan kelebihan yang ada pada diri. Kalau anda minat sains, mungkin sahaja itu satu kekuatan dan kelebihan kerana tentunya bahan-bahan sains itu akan lebih banyak dibaca. Input anda dalam hal ini agak tinggi. Kita lebih mudah menulis bahan-bahan yang dekat dan amat kita ketahui.

Satu lagi ialah menulis tentang perkara yang ingin kita dalami - biarpun itu bukan bidang kita. Apabila kita ingin tahu, kita akan terus mencari bahan-bahan tersebut. Untuk itu, kita akan mendalaminya secara tidak langsung. Kita akan berusaha untuk bertanya kepada yang lebih arif. Dan kita juga akan lebih banyak membaca tentang bahan yang kita ingin dalami.

Pokok pangkalnya ialah kembali kepada asal usul seorang penulis. Penulis ialah pembaca!

Andainya saranan-saranan saya ini terlalu berat untuk dilaksanakan calon penulis. Marilah kita mulakan dengan yang mudah.

  • Setiap hujung minggu, cuba dapatkan naskhah Berita Minggu ataupun Mingguan Malaysia. Pastikan anda baca setiap cerpen/sajak yang terdapat di dalamnya.
  • Kemudian, baca majalah yang lebih mencabar - Dewan Sastera - kunyah dan hadam setiap karya di dalamnya. Kalau pun tidak boleh menulis seperti mereka untuk peringkat ini. Baca dan hayati karya-karya di dalamnya.
Alasan bahawa majalah ini sukar diperoleh tidak akan diterima. Falsafah saya mudah - kalau betul hendak jadi penulis, jangan harap semua benda akan dihantar ke lutut. Usahakan! Tak boleh beli di kedai kerana kedai jauh, langgan! Laburkan wang untuk mendapatkan bahan bacaan yang baik.

Secara peribadi, duit yang saya peroleh hasil daripada penulisan, kembali dilaburkan dalam bentuk pembelian bahan bacaan. Itu perkara biasa bagi setiap penulis. Baca untuk melihat perkembangan dunia penulisan hari ini. Baca untuk mengenalpasti bagaimana penulis-penulis besar seperti Sasterawan Negara mengabadikan peristiwa penting dalam bentuk kreatif. Pendek kata, bacalah! Kemudian tulis.

Saya pernah terbaca bahawa dalam tertib penurunan ayat-ayat al-Quran (orang-orang pengajian Al-Quran dan Sunnah, boleh betulkan saya jika saya tersilap), ayat pertama menyuruh umat manusia MEMBACA (Surah Al-'Alaq). Berikutnya, ialah Surah Al-Qalam.

Bagi saya, ini saya cara Allah SWT menurunkan mesej kepada penulis. Banyakkan membaca (dengan nama Allah) dan kemudian menulis.

Bacaan tambahan : Lihat Eric Forbes, seorang editor tempatan. - Saya suka dengan komen beliau yang mengatakan bahawa penulis yang tersohor (dan ada kualiti) ialah mereka yang tidak pun mendapat bimbingan penulisan secara formal, tetapi mereka ialah pembaca yang mempelajari banyak perkara melalui pembacaan tersebut.

Ciri-ciri seorang penulis yang boleh saya ringkaskan ialah :

  • rajin membaca
  • rajin berfikir
  • rajin menulis

Ada yang mahu menambah?

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
setuju 200%!

Pembaca tegar boleh saja jadi penulis atau tidak jadi penulis.

Tetapi orang yang tidak rajin membaca tidak akan dapat menjadi penulis (yang baik).
Tanpa Nama berkata…
Ya. setuju.

saya sudah baca dan tekuni panduan menulis cerpen oleh SN OP itu. mmg mudah.

Naimisa Yusof
Rebecca Ilham berkata…
You are what you read.
:)

-Becky
ulasbuku berkata…
Pn. Nisah sendiri adakah membaca dengan target seperti "Aku akan habiskan buku ini dalam minggu ni jugak" atau membaca santai saja?

Kadang-kadang saya sendiri berhenti pada satu chapter dan buka buku lain pula utk dibaca.
Nisah Haji Haron berkata…
mxypltk,
Kebiasaan saya ialah membaca beberapa buku dalam tempoh yang sama. Rasa rugi kalau beli buku tapi kena habiskan satu-satu baru nak baca buku yang lagi satu. Jadi, dengan sendirinya naskhah-naskhah itu bertandingan sesama sendiri. Buku yang lebih kuat/menarik akan menyebabkan saya habiskan buku tersebut lebih dahulu berbanding teks-teks lain yang sedang saya amati.

Namun, saya ada satu kepelikan - kalau buku tersebut terlalu baik, saya sengaja lambat-lambat menghabiskannya. Saya mahu terus 'berada' dalam buku itu - selama yang mungkin :-)

Semuanya bergantung kepada 'sifat-sifat individu' buku-buku tersebut.
Amermeftah berkata…
Berfikir itu yang saya payah. Kalau rajin berangan bagaimana?
CIKGU WAN AMIN berkata…
Salam..
terima kasih di atas tulisan Nisah Haron di atas. Saya sokong sangat. Pernah mempunyai pengalaman semasa berada di MPRM dulu. Memang saya semasa belajar kat MPRM banyak masa saya habiskan di perpustakaan. Banyak Novel dan Puisi yang saya baca. Dan ketika di di sana saya banyak menulis beberapa kali hasil karya saya berjaya menembusi di dada akhbar. Satu perkara lagi, mungkin Nisah Haron lupa, "siapa kawan2 kita semasa" untuk menjadi penulis perlu mencari kawan2 dan mempunyai kawan2 yang juga minat dalam bidang penulis yang boleh "merangsang" kita menulis... S. Amin Hassan kembali menulis.....
Faeeza Fadel berkata…
Puan, saya kepingin benar untuk menjadi seorang penulis. Selepas membaca entri puan ini, baru saya tersedar beza antara penulis karya sastera atau karya pop. Cuma saya masih belum memahami takrifan karya pop itu. Mungkin keinginan saya hanyalah untuk melahirkan karya pop dengan jumlah khalayak yang ramai. Ini adalah kerana saya suka sekali ingin menggunakan kecenderungan saya dalam beremosi (easy to get carried-away by emotion) sebagai satu senjata saya untuk menjadikan penulisan sebagai medan dakwah. Satu halangan yang memenjara minda dan jemari saya adalah perasaan inferior atau rendah diri yang selalu benar bermain di hati dan minda. Saya terlalu takut dengan kesalahan, kesilapan dan ketidaksempurnaan diri saya untuk menulis. Saya masih takut untuk ke hadapan. Betullah kata puan penulis itu pembaca. Maka saya masih perlu banyak membaca.
Hanin berkata…
Memang benar sungguh.

Saya banyak membaca karya sastera pada zaman awal remaja dan pada waktu itu jugalah hasil penulisan saya mencanak naik. Sayangnya waktu itu di sekolah pondok kami dilarang berimaginasi. Bakat kami dicantas dan nama hendak menghantar karya ke akhbar atau majalah, memang mimpi.

Bila berhijrah ke luar negara dan kurang membaca buku berBahasa Melayu, saya terasa sangat yang saya kehilangan banyak perbendaharaan kata walaupun idea melimpah-ruah. Saya tak boleh menulis!

Sekarang bila sudah dewasa dan ruang menulis terbuka seluas-luasnya, saya terpaksa mulakan semuanya dari bawah. Mula dari mengumpul perbendaharaan kata. Bila membaca semula tulisan saya di awal remaja, saya pun tidak sangka saya pernah menulis begitu suatu masa dulu :(

Catatan Popular