Minggu Apresiasi Sastera Dunia


Petang tadi saya diundang ke Kolej MARA Seremban sebagai penceramah untuk Minggu Apresiasi Sastera Dunia. Untuk tujuan tersebut, saya telah diminta supaya dapat berkongsi pengalaman dengan pelajar tentang beberapa teks sastera bertaraf klasik dunia (world classic literature). Oleh sebab masa yang agak terhad, saya memilih teks Madame Bovary (Gustave Flaubert), Midaq Alley (Naguib Mahfouz) dan A Streetcar Named Desire (Tennessee Williams).

Sudah lama betul saya membaca teks-teks tersebut, jadi saya perlu mengulangkaji sebelum dapat memperkatakannya semula. Pun begitu, saya bukanlah datang untuk mengulas ataupun memberi sinopsis kepada buku-buku tersebut. Suasananya lebih kepada majlis perkongsian ilmu dengan santai.

Dalam ketiga-tiga teks tersebut, watak-watak wanitanya ialah watak-watak derita, air mata dan seringkali digambarkan lemah. Ini menjadi persoalan yang agak rancak dibincangkan: mengapa watak wanita digambarkan lemah di tangan penulis lelaki.

Pada saya, penulisan begini banyak bergantung kepada zaman. Ada penulis yang memilih untuk menjadi perakam zaman. Namun, ada juga yang akan mengangkat 'spesis' sendiri (seperti kata seorang daripada pelajar tadi).

Saya maklumkan kepada mereka bahawa setelah membaca teks-teks tersebut, usahlah kita dengan mudah menghukum watak-watak yang lemah ataupun menghukum penulisnya. Perlu diingat juga era ketika novel-novel tersebut dihasilkan. Lihatnya latar tempat dan latar masyarakatnya. Tidak kurang penting, kaji juga budaya setempat pada masa tersebut. Ini semua boleh mempengaruhi kepengarangan.

Namun, yang paling menyeronokkan ialah kumpulan pelajar MARA yang sedang bersedia untuk ke luar negara ini mempunyai peluang mengkaji tidak kurang daripada 10 teks sastera - dan mereka mesti lulus mata pelajaran ini sebelum ke luar negara. Saya katakan kepada mereka, alangkah bertuahnya! Tidak cukup dengan teks sastera tempatan seperti Ranjau Sepanjang Jalan dan Badai Semalam, mereka diberi peluang membaca beberapa teks sastera antarabangsa (antaranya seperti yang disebutkan di atas).

Ketika zaman saya mengambil kertas Kesusasteraan Melayu SPM, saya hanya dapat mengkaji 5 teks sahaja iaitu Senjakala (Baharuddin Kahar), Hikayat Umar Umayyah, Bunga Gerimis (antologi puisi), Drama Penantian dan Hari Kemerdekaan (antologi cerpen).

Mungkin ramai yang merasa terpaksa membaca teks ini kerana perlu lulus sebelum ke luar negara, (maklumlah budaya exam-oriented masih menebal di kalangan pelajar ini), namun saya cuba menyedarkan mereka tadi bahawa sastera yang mereka kaji itu benar-benar tidak sia-sia. Itupun jika mahu menjadi manusia yang berfikir. Kalau masih ada yang memikirkan betapa mengkaji teks Madame Bovary, Lorong Midaq ataupun A Streetcar Named Desire langsung tidak ada kena-mengena dengan subjek perubatan, kejuruteraan dan sebagainya, memanglah tidak ada kena-mengena dengan jurusan yang bakal ditekuni. Tetapi, bacalah teks-teks ini sebagai bahan yang mengisi pemikiran.

You are what you read! Itulah yang saya tegaskan kepada mereka.

Ulasan

Rebecca Ilham berkata…
Salam, Kak Nisah.

Dalam ketiga-tiga yang Kak Nisah sebut itu, saya sudah baca dua (Madam Bovary dan A Streetcar Named Desire). Semasa di Kolej MARA Banting pula hanya sempat menekuni satu (A Streetcar Named Desire). Lain-lain, saya sempat mengkaji The Twilight Years dan The Doctor's Wife (Sawako Ariyoshi), The Great Gatsby (F. Scott Fitzgerald) dan Heart of Darkness (Joseph Conrad). Kami juga turut menekuni karya-karya tempatan seperti Saga (Abd. Talib Mohd Hassan), Badai Semalam (Khadijah Hashim, Ranjau Sepanjang Jalan (SN Shahnon Ahmad) serta drama; Atap Genting Atap Rumbia (Allahyarham Usman Awang) dan 15 Puisi-Puisi Pilihan SN Usman Awang.

Tiba-tiba rindu pada Malay A1 dalam program International Baccalaureate. Terima kasih atas entri ini Kak Nisah!
Tanpa Nama berkata…
Sukanya baca karya Tennessee Williams .Bukan setakat baca tapi kena berlakon masa di UM. Dalam The Glass Menageries , saya berlakon jadi Laura yang tempang. Dalam Streetcar, saya jadi Stella, babak sakit bersalin. (Alah yg saya cerita ada budak negeri **** takleh pronounce surname Dubois...jadi Du...!Hahaha!)

William kuat watak wanitanya tapi selalu berakhir dengan despair dan menangkap bayang-bayang. Lelakinya pula vulgar. Mengenang masa silam sangat dominan dalam karyanya.

Saja drop by.Tertarik bila tengok nama Williams dan 'seterika named desire'tu!
Tanpa Nama berkata…
Kena kaji juga watak penulisnya. Flaubert itu, selalu tak bernasib baik dengan wanita, dia genius tapi emosinya kurang menyenangkan. Itu sebab agaknya perempuan di matanya semua syaitani.

Tapi kita tengok pula watak Siti Musalmah dalam karya S. Othman Kelantan. Wah memang betul-betul menyamankan minda. Watak-watak perempuan seperti itulah yang patut diangkat.

Catatan Popular