Sabtu, Mac 24, 2007

Seketul Batu Pada Dinding - 2

Entri saya tentang menjadi pelajar cemerlang ataupun menjadi pelajar yang 'pandai' secara beramai-ramai, rupa-rupanya amat senada dengan pendapat Prof. Khoo Kay Kim yang sempat diwawancara dalam majalah Millenia Muslim keluaran Mac 2007.

Saya sangat tertarik dengan kata-kata beliau :
Kalau dalam kelas ada 50 murid dan 40 murid dapat A, itu bukan cemerlang. Itu ‘common’ (biasa). Kalau dua orang dari 50 dapat A, yang dua orang itu lah cemerlang kerana mereka ‘rare’. Jadi, sistem kita angkat sesuatu yang ‘common’ sebagai cemerlang, bukan angkat yang ‘rare’. Kita tidak mencari ‘seorang yang terbaik’ tetapi melahirkan ‘ramai orang yang sama baik’. Secara tidak sedar, kita sudah mengamalkan sistem sosialis iaitu konsep sama rata, sama rasa.
Selebihnya, boleh dibaca di blog Maizura - anti-feminisme.

Sungguh benar apa yang dikata.

Teringat saya ketika mendapat aggregat 6 sewaktu SRP (1988). Pada waktu pegang slip keputusan, rasa terkejut dan bangga juga. Tapi apabila dekat 20 orang dapat keputusan yang hampir sama. Hilang rasa istimewa.

Sebagai satu bentuk protes kepada sistem pendidikan pada ketika itu (pada waktu itu saya tidak perasan pun yang saya sedang memprotes), saya menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang (kini Kolej Islam Sultan Alam Shah). Dengan alasan, kalau saya boleh bermula dari Tingkatan 1 dan sekolah inilah yang membentuk saya sehingga saya dapat keputusan sebaik ini, mengapa saya perlu berpindah. Bagi saya sistem pendidikan itu sama sahaja walau di mana sekalipun.

Sistem pendidikan juga kemudian mengkasta-kastakan pelajar. Yang dimasukkan dalam kategori budak-budak pandai akan dipindahkan ke sekolah berasrama penuh, sekolah sains dan 'yang sewaktu dengannya'. Kalau ada pun pelajar yang mahu keluar daripada sistem itu, terpulanglah kepada kebijaksanaan pelajar ataupun keprihatinan ibu bapa yang tak kisahlah anaknya dapat berapa A pun, asalkan berjaya menjadi manusia.

Dalam sekolah itu pun ada aliran tertentu. Kerana sistem juga, pelajar pandai tidak boleh masuk kelas sastera kerana nanti bercampur dengan budak yang tinggal 'serdak-serdak' (meminjam istilah Raihani Mohd Saaid), lebih sukar untuk belajar walaupun dalam hati sangat berminat untuk menjadi pemikir sastera. Suka tak suka, apabila sudah jadi budak pandai, mesti belajar sains.

Hasilnya, jadilah mereka ahli sains, ataupun memegang jawatan yang berkaitan dengan sains tetapi jiwanya kontang kerana tiada sebarang masukan yang boleh mengisi jiwanya itu.

Kalau masuk universiti dia akan jadi mahasiswa jumud, yang belajar supaya tidak gagal di universiti. Itu sahaja.

Kalau tidak pun, dia akan jadi siswa/i yang tersangat bangga kerana mendapat peluang belajar jurusan tertentu, yang hebat-hebat seperti kejuruteraan, perubatan, dan sebagainya. Dia menjadi amat megah dengan kemahasiswaannya itu.

Sedangkan, mahasiswa begini amat terlupa bahawa walaupun dia menjadi pelajar yang hebat sewaktu di SPM ataupun di universiti, sewaktu bekerja nanti, dia tetap menjadi 'hamba' di tempat kerja. Tiada apa yang hebat pun tentang itu. Kalau jadi jurutera atau doktor, gajinya tetap sama dengan orang yang tidak mendapat A sederet tetapi cukuplah untuk dia melayakkan diri ke universiti dalam bidang yang sama.

Akhirnya, dia akan bekerja, berkeluarga dan kehidupannya jadi sama sahaja seperti mereka yang tidak mendapat A sederet juga. Kalau dulu sewaktu menjadi pelajar, dia menjadi seseorang yang boleh mengubah dunia. Percayalah, setelah berada di zon selesa selepas bekerja kelak,
Idealisme sebagai mahasiswanya juga akan pudar.

Jika hal ini tidak berlaku, malah dia menjadi lebih hebat daripada sewaktu dia bergelar pelajar terbaik di sekolahnya, nah, ini baru jadi orang cemerlang. Pun, kena lihat juga, dia ni hebat 'tang mana'? Kehebatan seseorang itu bukanlah setakat diukur dengan tangga gajinya ataupun berapa jam sehari dia meninggalkan rumahtangganya kerana sibuk bekerja. Kehebatan juga perlu diukur dari aspek sumbangannya kepada ummah dan berapa banyak masa yang diperuntukkan kepada ruangan ukhrawinya.

Andainya jadi manusia Islam yang hebat macam mana sekalipun, tetapi sembahyangnya entah ke mana, sanggup minum arak demi untuk menjaga hati pelanggan, misalnya, tak ke manalah kehebatannya. Malah, dia telah menjadi manusia yang gagal.

Jadi, kembali kepada sistem pendidikan kita hari ini. Sejauh manakah sistem itu sendiri membentuk insan kamil yang kita dambakan...

13 ulasan:

azura berkata...

Puan Nisah, saya begitu tertarik dengan entri puan berkenaan sistem pendidikan kita ini. Sememangnya terlalu banyak perubahan yang perlu dilakukan terhadap sistem pendidikan kini.

Apabila membaca entri ini, seakan terkena atas batang hidung sendiri. Saya antara pelajar yang sentiasa mendapat straight A's di dalam peperiksaan baik di sekolah mahupun di universiti. Tetapi lihatlah di mana saya berada sekarang? Surirumah sepenuh masa di perantauan. Sebelum ini bekerja tetapi hanya sekadar seorang pekerja biasa di pejabat. Tiada yang membezakan saya dengan kakitangan yang lain. Anugerah Pekerja Terbaik??? Tidak pernah sampai di atas meja saya.

Kini tugas berat saya adalah menjadi guru/ustazah kepada anak-anak saya. Sukar, tapi cabaran yang besar kepada saya!

ramzwatcher berkata...

komentar yang bagus dari akak.
saya pun setuju cuma saya tertanya-tanya, solusinya
sistem bagaimana yang seeloknya?

firzana firdaus berkata...

sekadar mencelah. sistem apa pun, kaedah apa pun yang digunakan, tidaklah begitu penting. yang perlu ialah bagaimana mentafsir, memanipulasi, dan mengaplikasi sistem dan kaedah yang ingin diterapkan. kalau sudah tersalah tafsir, pasti terpesong pula cara memanipulasi, terus pula tersasar sewaktu mengaplikasi. thinklah, before you leap.

BooK berkata...

dari dulu lagi. sy perasan. ada sesuatu yang tidak kena. cuma masih budak-budak. dan tak tahu di mana tidak kenanya.

ya. sy bermula dengan sekolah itu. dan terus sy diam di ditu. tak ke mana.

eh, sekolah kita sama!

Rai berkata...

Salam Isketam Batu!

Wah, ada juga beta dalam ini gambar yaa!Saya ni dulunya golongan elit sekolah-pengawas, fofuler, menang itu ini, result bagus tapi umur 28 baru dapat kerja!Drum major sekolah, dapat agregat SPMnya 'puluh-puluhan', juga tergolong dalam serdak-serdak, tapi dia lebih dulu pakai Honda Jazz dari saya.

Itulah contoh ukuran 'kecapaian' kita, bukan?Hmmmm...

ihaveissues berkata...

:)

membantu si anak yg sedang bertatih mengejar impian berfikir.

terima kasih

Rebecca Ilham berkata...

Paling saya hairan semasa sekolah dulu, soalannya kata berbentuk KBKK (Kemahiran Berfikir secara Kreatif dan Kritis), tetapi ada pula jawapannya di dalam buku rujukan. KBKK macam mana tu?

Saya lebih suka konsistensi daripada score gempak sewaktu peperiksaan besar. Anak rakan sekerja Ayah, cemerlang semasa PMR sedangkan sebelum itu dia biasa-biasa sahaja. Menggunakan orang dalam, dia ke Sekolah Berasrama Penuh, tetapi gagal score di sana. Balik ke sekolah biasa, sering pula diperli guru-guru. Apabila ditanya Ayah, bapanya mengaku, si anak hanya study sebulan sebelum PMR - peperiksaan yang tidak mustahil untuk cemerlang dengan menghafal!

Tetapi saya tidaklah memukul rata semua yang dapat 8/9 A dalam PMR menghafal semata-mata. Cuma seakan tidak adil. Bagaimana pula dengan yang belajar separuh mati sedari Tingkatan 1/2? Akhirnya, mereka ini setara sahaja dengan pelajar lain yang mula menghafal sebulan sebelum peperiksaan.

bang_gugar : berkata...

salam,
kali pertama menjejakkan kaki dilaman ini, satu komentar yg baik dari akak.
salam melawat dari bang_gugar.

(",)

annyss berkata...

Rebecca,
My point exactly!

nurani nafa berkata...

Tertarik sangat dengan entri kak nisah ini. Adakah sistem pendidikan kita memberikan ruang untuk pelajar berfikir secara kreatif dan kritis jika jawapan yang dikehendakinya sudah ada untuk setiap soalan yang diberikan?

Kadang2 apabila jawapan saya tidak sama dengan apa yang diberikan cikgu, teruk saya kena perli. Lebih-lebih lagi kalau dalam subjek Sejarah, BMelayu dan Agama Islam. Ini kerana mereka inginkan kita memberi 'jawapan' yang telah mereka ajar dan bukannya pendapat atau idea kita.

Dan kebanyakkan cikgu di sekolah ini saya perhatikan lebih tertumpu kepada buku yang mereka akan ajar. Dan mereka tidak pula merujuk buku daripada sumber lain. Walhal terdapat banyak juga kesalahan fakta atau dalil dalam buku teks sekolah itu.

Saya teringat waktu sekolah rendah dahulu cikgu meminta kami menulis karangan. Tajuknya "Kucing kesayangan saya". Mungkin pada murid lain tiada masalah untuk buat karangan itu. Tapi bagi saya yang tak minat binatang langsung ini, apatah lagi memang seorang yang takutkan kucing mestilah bermasalah besar buat karangan itu! Akhirnya cikgu yang memberi saya isi penting(jawapan) karangan itu.

Tanpa Nama berkata...

Menarik rantaian buah fikir Saudari Nisah ini.

Realitinya ibubapa hari ini semua mahu mengejar penanda aras baru (straight A) sehingga anak-anak pun dipaksa jadi sibuk siang malam pergi kelas tuisyen yg tumbuh macam cendawan. Anak2 ke sekolah overtime lebih drpd parents pergi keja.

Kesian budak2 tu, dlm hati seronokkah mereka? Homework tak abis2 sampai takde masa nak enjoy thier childhood macam kita dulu2. Semuanya sebab nak score A dlm exam, supaya diterima oleh sistem yg memandang tinggi A di atas kertas result. Malam sblm parents tidur tak sempat berkomunikasi dgn anak2, budak2 tu dah berdengkur.

Bukan nak kata tuisyen atau study 'hard' tak bagus tapi 'masa' yg anak2 ni ada sepatutnya diisi juga dgn pendidikan tidak formal yg akan mendidik mereka supaya ada 'hati dan jiwa'.

nurani nafa berkata...

you're punished if you're wrong in school. But, u're learning once you make mistakes in your life!

fk berkata...

sgt bersetuju dgn pdpt nisa haron...kita disuruh berpk tp sbnrnya kita disuruh menhafal jwpn!!jd mcmmana nk berpk?

Related Posts with Thumbnails