Lagi Pesta Buku

Pandangan Pentas Utama dari aras teratas Dewan Tun Razak sebelum masuk ke Pesta Buku.

Kami memilih untuk sampai awal ke Pesta Buku Antarabangsa KL 2007. Pengunjung masih belum dibenarkan masuk pada jam 9.45 pagi. Jadi, kami pun memilih untuk masuk dari aras yang paling atas. Di sana ditempatkan buku-buku terbitan universiti luar negara dan alhamdulillah, ketika kami masuk, di situ juga banyak gerai buku-buku serius/ilmiah yang memang diingini.

Untuk panduan mereka yang baharu bercadang untuk ke PBAKL pada hari cuti 1 & 2 Mei nanti, nasihat saya, datanglah awal. Kalau berkereta senang untuk parkir di aras bawah PWTC. Maklumlah, tentunya kalau membeli buku tu tak cukup sebelah tangan menjinjing beg plastik, bukan? Jika parkir di Hentian Putra, tentu sukar untuk berulang-alik hantar buku ke kereta. Apatah lagi kalau hari hujan.

Kami sangat selektif ketika pergi dari satu gerai ke satu gerai. Saya memuji usaha Alaf21 & Karangkraf yang menyediakan dewan khusus untuk produk mereka (di Dewan Tun Dr. Ismail). Ada satu dewan khusus untuk mereka. Jadi, mereka telah berjaya menghala trafik pengunjung / peminat produk mereka ke sana. Jadi, PBAKL kali ini tidaklah terlalu menyesakkan.

Gerai PTS juga tidak kurang menarik! Tahniah kepada anak-anak buah Puan Ainon.

Ada 5 dewan disediakan untuk tujuan PBAKL kali ini. Seperti biasa Dewan Tun Razak Aras 3 & 4, Dewan Tun Dr Ismail (Alaf 21/Karangkraf), Dewan Tun Hussein Onn dan juga Ruang Legar Putra. Tahun ini terasa lebih meriah dan lebih tersusun.

Kepada yang mahu membeli rak buku juga ada gerai khusus di sebelah Dewan Tun Dr Ismail & Dewan Tun Huseein Onn.

Ketika di gerai PNM

Di gerai Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) saya terjumpa banyak 'permata' yang selama ini saya tahu akan kewujudannya tetapi tidak sempat untuk membeli belah di PNM sendiri. Jika tahun lepas, permata itu saya temui di gerai Jabatan Muzium dan Antikuiti, tahun ini PNM pula menawarkan buku-buku seperti Kitab Tib, Petua Membina Rumah Orang Melayu dan banyak lagi judul yang tidak wajar dilepaskan.

Di sebelahnya, gerai KeKKWa juga menawarkan buku-buku yang boleh buat saya tidak tidur malam, jika tidak memilikinya!

Entah mengapa, gerai DAWAMA tahun ini tidak berapa 'berseri'. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu. Mungkin juga faktor lokasi. Gerai Utusan juga terasa sempit. Mungkin juga faktor susun aturnya.

Akhirnya, sambil Ujana Ilmu menyelesaikan banyak urusan perbincangan dan meneliti judul-judul baharu yang bakal dipasarkan melalui laman web www.ujanailmu.com.my, saya sendiri harus berpuas hati memiliki judul-judul di bawah sebagai koleksi peribadi:



Ya, ada kemungkinan saya akan singgah lagi, kerana kebiasaan saya ke PBAKL, mesti pergi sekurang-kurangnya 2 kali.

Ulasan

Catatan Popular