Harta Sepencarian

Saya perhatikan ramai juga yang kurang jelas dengan maksud 'harta sepencarian' bagi pasangan yang telah berkahwin. Pengalaman di mahkamah tidak lama dahulu menunjukkan kekeliruan pasangan ketika menuntut hak sewaktu berlakunya perceraian.

Oleh itu, saya turunkan tulisan saya tentang isu ini yang pernah disiarkan dalam Dewan Masyarakat (September 2004).


HARTA SEPENCARIAN :

MODEL DARIPADA ADAT PERPATIH NEGERI SEMBILAN

Oleh : NISAH HAJI HARON


KATA perbilangan di dalam Adat Perpatih ada menyebut,


Adat bersendi hukum

Hukum bersendi kitabullah

Syarak mengata, adat memakai.


Pada masyarakat Adat Perpatih juga, hubungan di antara Adat dengan Syarak itu saling melengkapi :


Kuat Adat tak gaduh Hukum,

Kuat Hukum tak gaduh Adat

Ibu Hukum muafakat

Ibu Adat muafakat.


Bertitik tolak daripada perbilangan yang menjadi pegangan pengamal-pengamal Adat Perpatih, kedudukan amalan adat ini tidak terjejas dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Ini kerana sebelum kedatangan Islam, masyarakat adat telah mengatur bahawa kaum wanita (para isteri) yang kebiasaannya menjaga atau memelihara anak-anak perlu dibekalkan dengan harta. Begitu juga dengan para isteri yang akan ditinggalkan oleh suami apabila perlaku perceraian.


Hari ini, konsep harta sepencarian merupakan satu elemen perundangan keluarga Islam yang penting. Apabila berlaku kematian ataupun perceraian, isu harta sepencarian di antara pihak suami dan isteri timbul dan harus diselesaikan. Kegagalan pembahagiannya akan memberi kesan kepada isu-isu lain seperti harta pusaka.

Tidak ada nas yang jelas tentang harta sepencarian di dalam hukum syarak. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud bahawa harta sepencarian tidak dimasukkan di bawah mana-mana kategori hukum.


Sejarah perundangan Islam menunjukkan bahawa apabila Rasulullah S.A.W. berhadapan dengan persoalan ‘urf atau adat, baginda mengambil sikap yang berbeza-beza di antara satu adat dengan adat yang lain. Apabila sesuatu urf atau adat telah diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya tidak lagi sebagai adat. Ia telah bertukar menjadi suatu perundangan atau peraturan yang mesti diikuti dan dikuatkuasakan.


Perkembangan yang sama telah berlaku ke atas harta sepencarian yang telah diamalkan di dalam masyarakat Adat Perpatih.


Harta sepencarian kini juga telah dikanunkan di dalam Undang-undang Keluarga Islam Negeri – Negeri, seperti di dalam Jadual 1 di bawah :


Bil Seksyen Enakmen Negeri


  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 1983
  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984
  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 1984
  1. Seksyen 46 Undang-undang Keluarga Islam (Melaka) 1983
  1. Seksyen 46 Undang-undang Keluarga Islam (Kelantan) 1983
  1. Seksyen 49 Undang-undang Keluarga Islam (Kedah) 1984
  1. Seksyen 57 Undang-undang Keluarga Islam (Terengganu) 1985
  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Johor) 1990
  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Perlis) 1992
  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985
  1. Seksyen 59 Undang-undang Keluarga Islam (Pahang) 1987
  1. Seksyen 46 Undang-undang Keluarga Islam (Perak) 1984
  1. Seksyen 57 Undang-undang Keluarga Islam (Sarawak) 1991
  1. Seksyen 60 Undang-undang Keluarga Islam (Sabah) 1992


Jadual 1


Perkembangan undang-undang yang berlaku di Malaysia ini telah menempatkan harta sepencarian di dalam bentuk peruntukan bertulis. Selaras dengan peruntukan-peruntukan ini, mahkamah juga turut diberi kuasa bagi memutuskan sebarang pertikaian mengenai harta sepencarian melalui bidangkuasa mahkamah syariah mengikut negeri.


Walau bagaimanapun, sebelum berlakunya pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, beberapa kes berkaitan dengan harta sepencarian telah dibawa ke Mahkamah Tinggi seperti Roberts @ Kamarulzaman lwn Umi Kalthom [1966] 1 MLJ 153 dan kes Boto’ binti Taha lwn Jaafar bin Muhamed [1981] 2 MLJ 98.





Konsep Harta Sepencarian


Harta sepencarian bermaksud apa-apa harta sama ada harta alih ataupun tidak alih yang diperolehi semasa tempoh perkahwinan antara suami dan isteri. Mana-mana harta yang diperolehi sebelum berkahwin ataupun harta pusaka tidak dikira sebagai harta sepencarian.


Tetapi, jika harta pusaka, misalnya dikerjakan bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan dan hasilnya telah meningkatkan nilai harta tersebut, pihak yang satu lagi boleh menuntut bahagiannya sebagai upah apabila berlaku perceraian.


Harta sepencarian juga dikenali dengan nama-nama tersendiri mengikut kebiasaan kawasan setempat seperti yang dinyatakan di dalam Jadual 2 :


Nama Lain Bagi Harta Sepencarian Masyarakat



Harta Carian Laki Bini - Melayu Negeri Sembilan

Harta Pencarian - Melayu Sarawak

Harta Pencurian - Islam Melanau Sarawak

Gono-gina - Jawa

Harecula sihareukat - Aceh

Harta Suarang - Minangkabau

Guna-kaya - Sunda

Druwe Bagro - Bali

Barang-barang perpantangan - Kalimantan




Jadual 2


Mengikut buku Tambo Alam Naning tulisan Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj (DBP, 2000), pembahagian harta sepencarian jika pasangan tersebut bercerai hidup disebutkan di dalam Bab XX Fasal 309 :


“Bahawa kemudian daripada itu manakala tumbuhnya cerai-berai suami isteri, maka selepas sah suami mentalak bagi isterinya maka barulah diadatkan menjalankan pulang-memulang segala harta yang telah menjadi hak antara mereka suami isteri, mahupun harta pencarian, harta pembawaan dan harta pendapatan di bawah Adat Nan Diadatkan:



  1. Cari bagi
  2. Dapatan tinggal
  3. Pembawa kembali seperti mana menurut ikatan setia diulang-ulang pada masa istiadat sah hutang berbayar sah piutang berterima antara Adat menanti Adat mendatang dalam Bab Yo Fasal Somondo Monyomondo.

Begitu juga halnya bagi kes pasangan yang bercerai mati, cara pembahagiannya dijelaskan sebagai :

  1. “Putu bolah suarang boagih”
  2. Dapatan tinggal
  3. Pembawa kembali


“Putu bolah suarang beragih” di sini bermaksud harta sepencarian suami dan isteri yang reda-meredai antara mereka berdua. Ia dipulangkan kepada pasangan yang masih hidup, iaitu jika suami meninggal dunia, harta sepencarian diserahkan kepada isteri.



Prinsip pembahagian di dalam Adat Perpatih juga disimpulkan di dalam perbilangannya :


Pembawa kembali

Dapatan tinggal

Carian bahagi

Mati laki tinggal ke bini

Mati bini tinggal ke laki.


Pembahagian Harta Sepencarian

Masalah tentang harta sepencarian hanya timbul setelah berlakunya perceraian, sama ada perceraian akibat kematian ataupun perceraian hidup. Isu siapa yang bertanggungjawab ke atas perceraian tidak timbul.

Harta sepencarian boleh dituntut oleh mana-mana pihak sama ada suami ataupun isteri. Namun perkara yang sering menjadi persoalan ialah bagaimanakah bentuk pembahagian yang paling adil bagi menyelesaikan tuntutan harta sepencarian ini.



Tiada terdapat suatu ketetapan berhubung dengan kadar bahagian harta sepencarian untuk suami isteri. Terdapat dua konsep yang berbeza bagi menentukan kadar bahagian tersebut:



  1. sumbangan isteri terhadap harta sepencarian sepanjang perkahwinan dinilai sebagai upah. Oleh itu, pihak isteri hanya layak menerima bahagian yang setimpal dengan sumbangannya terhadap harta tersebut;
  2. sumbangan isteri terhadap harta tersebut tidak dinilai sebagai upah. Oleh itu, pihak isteri berhak mendapat hanya setengah daripada harta yang diperolehi semasa perkahwinan. Terdapat juga di sesetengah negeri yang menentukan bahawa pihak isteri berhak mendapat satu pertiga daripada harta yang diperolehi semasa perkahwinan.


Amalan mahkamah syariah di Malaysia meletakkan kadar pembahagian antara suami dan isteri sebanyak :


  • satu pertiga : dua pertiga
  • satu perdua : satu perdua
  • satu perempat : tiga perempat; mengikut kes-kes tertentu.



Apabila berlaku perceraian harta yang diperolehi atau harta yang dimajukan ini perlu dibahagikan mengikut :



  1. 2/3 – 1/3 iaitu harta sepencarian itu didapati daripada sumber-sumber yang telah dibuat oleh satu pihak sahaja sama ada dalam bentuk wang atau bentuk harta ataupun bentuk kerja atau sumbangan-sumbangan lain;
  2. pihak berhutang kepada orang yang ketiga untuk membeli atau memperolehi harta itu ataupun bertujuan membangunkan harta itu. Jika sumbangan itu didapati di antara pihak-pihak maka pembahagian harta sepencarian itu hendaklah dibahagi sama banyak iaitu 50% - 50%
  3. jika harta itu diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha oleh satu pihak sahaja dan harta itu adalah berbentuk harta tak alih maka mahkamah boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu boleh dibahagikan antara pihak-pihak atas budibicara hakim syarie.


Pertimbangan takat pula dibuat mengikut :


  1. sumbangan yang telah dibuat
  2. kebajikan keluarga
  3. keperluan anak-anak



Dengan syarat pihak tunggal yang berusaha hendaklah menerima satu kadar yang lebih besar.

Sesungguhnya penyerapan harta sepencarian daripada Adat Perpatih merupakan satu penyelesaian kepada pertikaian harta suami dan isteri yang berpisah. Walau bagaimanapun, belum ada satu peruntukan ataupun garis panduan khas yang diberikan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab bagi mempermudahkan pembahagian harta sepencarian. Terutama sekali di dalam menentukan takat sumbangan pihak-pihak.


- Dewan Masyarakat (September 2004) -

Ulasan

Puan Ainon Mohd. berkata…
Entri ini amat informatif, elok sangat dibaca oleh semua yang berkahwin dengan pasangan yang berharta.

Dalam kes isteri kuat bekerja dan pandai cari harta, tetapi dapat suami yang banyak menyebabkan hati si isteri remuk-redam, sebab suaminya banyak affair, kemudian disebabkan isteri tidak tahan lagi dengan perangai suami yang tidak bertanggungjawab, suami seperti itu tetap berhak ke atas harta yang dicari oleh isteri... sebab siapa yang menyebabkan perceraian tidak diambil kira.

Puan, pada zaman sekarang banyak perempuan kuat kerja, kuat simpan duit buat beli harta. Jadi mereka lebih kaya daripada suami.

Ini yang saya pening, puan!

Catatan Popular