Selamat Tinggal, Peguam...

Saya tidak pernah menyangka bahawa sampai di takah ini, saya mampu untuk menjadi penulis sepenuh masa. Biarpun, jauh di sudut hati, sewaktu masih berusia remaja, saya sangat berminat untuk menjadi penulis.

Realitinya, ramai yang tidak yakin bahawa menjadi penulis sepenuh masa itu boleh 'cari makan'. Arwah ibu saya juga agak bimbang dengan kecenderungan saya menulis pada peringkat awal penglibatan saya. Dia bimbang kalau anaknya itu jadi sasterawan biarpun dia berbangga setiap kali saya menang anugerah. Namun, arwah merupakan wanita yang praktikal. Dia tidak nampak bahawa saya boleh sampai ke mana-mana hanya dengan menulis.

Termakan dengan logik yang dibawanya, saya pun tidak mahu menghampakan harapan keluarga supaya mendalami jurusan yang dianggap lebih 'wajar' berbanding menjadi penulis. Malah, arwah juga pernah berkata bahawa jika saya tidak berminat untuk masuk universiti pun tidak mengapa, tetapi buatlah kerja yang lebih praktikal, misalnya buka kedai jahit dan jadi tukang jahit sepenuh masa!

Ya, barangkali saya akan menerima saranan itu juga jika saya punya minat dan kecintaan dalam seni jahitan. Malangnya, kecenderungan seni saya telah berputik di tempat lain. Saya sendiri pun tidak berapa menyedarinya pada peringkat awal. Maklumlah, bukan mudah untuk meyakinkan diri sendiri.

Beberapa kemenangan pada peringkat awal penulisan (Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat 1991,1992 & 1993) telah banyak mendorong saya dalam membina keyakinan. Pun, saya lambat menyerlah dan tidak berapa prolifik berbanding sahabat penulis seangkatan pada ketika itu. Alasan lain ialah saya agak sibuk ketika mendalami jurusan undang-undang.

Saya fikir, jika saya tidak masuk ke dalam bidang undang-undang, belum tentu juga saya akan menjadi penulis. Ketika bergelar mahasiswi undang-undang itulah saya mencari 'eskapisme' kerana bukan benar-benar jatuh cinta dengan jurusan yang saya ladeni itu. Ibarat kahwin paksa, saya tidak mahu mengecewakan sesiapa.

Sama ada saya sedar ataupun tidak pada ketika itu, saya sebetulnya 'merana' dengan jurusan yang tidak saya cintai. Namun, secara umumnya saya mencintai ilmu. Jadi, letaklah apa-apa pun jurusan di hadapan saya, insya-Allah, saya akan tangani sama ada penuh dengan rasa cinta ataupun sebaliknya. Itulah yang membolehkan saya terus menghabiskan pengajian, malah boleh juga mengutip semula jalan yang sama ketika meneruskan peringkat Sarjana Undang-undang.

Kini, saya telah membebaskan diri daripada gelaran peguam bela & peguam cara. (Sebenarnya, sejak 2006 lagi) Baru-baru ini, saya juga tidak berminat untuk bergelar peguam syarie juga. Cukuplah, saya dikenali sebagai penulis yang pernah menjadi peguam ataupun penulis yang mempunyai latar pendidikan undang-undang.

** Inilah susahnya di Malaysia, setiap kerja yang dilakukan mesti ada label ataupun penanda. Apabila ditanya orang lain, "Awak kerja apa?", kalau dijawab, "Saya penulis." Mungkin ada yang akan terlopong penuh persoalan, "kerja apa tu?" tanya mereka di dalam hati. **

Saya tidak kecewa dengan keputusan ini, malah saya tidak pernah merasa lebih bahagia daripada apa yang saya alami. Saya seronok menjual buku. Saya seronok melihat anak-anak sekolah yang berebut-rebut memilih buku dan tiada yang lebih membahagiakan apabila kami membantu memandaikan bangsa dengan menjual buku-buku yang berkualiti. Semua itu menjadi dorongan kepada Ujana Ilmu amnya, dan kepada saya sebagai penulis khususnya. Semua itu pemangkin.

*******

Ya, saya kini penulis sepenuh masa dan dalam masa yang sama membantu perkembangan Ujana Ilmu setakat mana yang termampu. Secara fizikal juga, saya telah 'berpisah' kamar dengan Ujana Ilmu untuk mencari lebih tumpuan dalam penulisan. Akhirnya, saya telah punya ruang menulis yang peribadi, lengkap dengan perpustakaan kecil koleksi buku saya.

Saya masih lagi dalam proses menyusun buku-buku dalam rak yang baru ditempah. Insya-Allah, apabila selesai mengkategori dan mengaturnya, mungkin akan saya paparkan di sini bagaimana rupanya. Buat masa ini, biarlah saya mengambil masa tersendiri untuk menyusun di celah-celah ruang antara melayani si kecil dan menulis karya.

Perpustakaan kecil saya ini juga merupakan 'sesuatu yang saya nantikan' selain daripada kelahirkan si kecil. Hanya pencinta dan penikmat buku sahaja yang boleh faham dan mengerti betapa indah dan seronoknya dapat menyusun buku-buku di rak yang istimewa ini. Menyusun buku bukanlah suatu beban tetapi suatu nikmat yang sukar diperoleh. Alang-alang sudah ada rak yang khusus, saya akan mengatur buku-buku ini mengikut kategori yang telah dikhususkan.

Oh, kalau boleh mahu saja disusun mengikut Dewey Decimal System. Hahaha, itu cuma angan-angan saya. Mungkin selepas ini, saya juga perlukan seorang pustakawan!

Ulasan

Latiptalib berkata…
Assalamualaikum

Semoga Nisah dah sihat dan semakin aktif berkarya setelah melahirkan cahaya mata yang ke empat.

Dulu saya pernah bekerja makan gaji selama 20 tahun. Ketika itu menulis secara sambilan sahaja. Dalam setahun adalah sebuah atau paling banyak 2 novel kanak-kanak dan remaja. Tetapi banyak juga tahun-tahun yang kosong kerana tidak ada menghasilkan apa-apa karya.

Tetapi akhirnya peluang menjadi penulis sepenuh masa datang apabila Felcra dikorporatkan dan saya dibenarkan bersara awal.

Kini saya menjadi penulis sepenuh masa. Saya rasa seronok dan bahagia kerana inilah bidang yang saya minati sejak dahulu.
Azree MH berkata…
Wah! Kak Nisah. Saya sokong. Niat dihati ingin juga jadi penulis, tapi buat masa ini cari pengalaman dulu disamping tidak mengecewakan ibu bapa dalam pelajaran.
KISAH DIRI berkata…
kak..cemburunya..saya pun nak ada perpustakaan kecil....
Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum Kak Nisah,

Tahniah. Semoga lepas ini, kak dapat menghasilkan lebih banyak karya yang hebat-hebat.
Nizam Awang berkata…
Kak Nisah,

Saya termenung seketika mengenangkan besarnya jiwa seorang insan yang bernama Nisah Haron. Kita di mata orang memang berbeza. Mungkin hakikatnya perjalanan hidup harus menyusuri pengorbanan. Saya yakin pengalaman lepas banyak mengajar kita menjadi lebih matang. Dan pengalaman Kak Nisah bergelumang dengan dunia undang-udang secara tidak langsung mengajar sesuatu yang tidak ternilai. Semoga impian itu akan terus terjangkau jauh dan meluas di kemudian hari. Dengan berkat kesungguhan dan niat ikhlas, Allah akan berusaha membantu Kak Nisah ke jalan yang lebih hebat.
Semoga berjaya.
Puan Ainon Mohd. berkata…
Ehem! Ehem! Pilihlah PTS sebagai penerbit Puan....
Latiptalib berkata…
Ehem! Ehem! Saya sokong.

Dulu Nisah yang perkenalkan saya dengan Puan Ainon dan PTS.
Tanpa Nama berkata…
Tahniah Nisah kerana telah berjumpa dengan apa yang dihajati :-) Saya sentiasa mengikuti dan medoakan kejayaan Nisah.

Hidup Soromban ! :D
Unknown berkata…
Salam,

Tindakan sdr memilih penulisan dan meninggalkan dunia peguam adalah satu tindakan yang amat berani.

Kadang-kadang masyarakat kita perlukan orang berani seperti sdr Nisah.

Tindakan memilih dunia penulisan adalah cubaan untuk meletakkan dunia penulisan di tempat yang tinggi, jika tidak lebih tinggi daripada profesion yang lain.

Saya doakan sdr berjaya dengan cemerlang.




Saya juga tumpang gembira dengan kelahiran kutub khanah peribadi. Itu juga cita-cita saya yang belum kesampaian - mahu punya rak buku dari lantai ke siling.


Membayangkannya sahaja sudah menyeronokkan, apa lagi jika berpeluang melihat dan mentap sendiri... Tahniah.
Tanpa Nama berkata…
Assalamu'alaikum Puan Nisah,

Tahniah kerana telah mencapai apa yang dicitakan.

Namun ilmu perundangan yang ditimba dan dipraktikkan sekian lama masih berguna kerana dunia penulisan tidak dapat lari dari skop undang-undang.

Tahniah sekali lagi.

~alang bidara~22 Jun 2007~
Yang bernama Siti berkata…
Salam Saudari Nisah,

Tahniah atas kelahiran puteri keempat dan perpustakaan kecil itu.

Tahniah juga atas keputusan untuk menjadi penulis sepenuh masa.
Imran Yusuf berkata…
Assalamu'alaikum Puan Nisah,

Semoga menjadi penulis sepenuh masa akan memantapkan lagi Persatuan Penulis Negri Sembilan (P.E.N.), kerana Puan sebagai Setiausaha 1 P.E.N. tentu dapat menumpukan lebih banyak masa untuknya.

Oh, ya. Buku "Di Bawah Payung Aisyah: Tip-tip Poligami" sudah terbit. Jika berkelapangan, dapatlah kiranya meninggalkan jejak di blog 'Fulijami' yang menjadi penggerak kepada kempen 'mesra poligami' di URL: http://fulijami.blogspot.com

Sekian wassalam & terima kasih.
Aqil Fithri berkata…
salaam,

saya faham sekali dengan makna "merana" itu... kerana saya kini sedang mengalaminya...

aduh, malas dan perit sekali melaluinya!
Tanpa Nama berkata…
Aku baru baca entri kau yang ini. Entri ini aku sambungkan di entri terbaru aku - tips jadi penulis sepenuh masa. Rajin2 mai sumbang pendapat di blog aku.

p/s: Dahulu aku merealisasikan cita2 famili aku utk kerja berpangkat dan gaji besar. Kini, aku sedang meladeni cita2ku sendiri biarpun merangkak ... tapi aku bahagia sekali!
Tanpa Nama berkata…
Besok petang, insya-Allah akan saya kongsikan catatan Nisah di atas dengan pelajar2 saya. Nampaknya gelombang penulis sepenuh masa semakin memuncak amplitudnya. Zul - penulis dan jurulatih sepenuh masa.
Ilya Alias berkata…
Assalamualaikum Kak Nisah, saya juga akan berada di Pesta Buku 2010, PWTC untuk mempromosikan buku terbaru saya yang diterbitkan oleh PTS. Malang sekali, tarikh saya ialah pada 20 Mac 2010. Rindu sangat untuk bertemu kak Nisah selepas kali terakhir berjumpa di menara DBP untuk MPR 2009. Terima kasih atas dorongan kak Nisah. Semoga akak sentiasa dirahmati Nya. -peserta MPR 2009.

Catatan Popular