Isnin, Julai 23, 2007

Potter Mania(c) vs. SEA Write Awardee


Kes : MPH, Times, Popular & Harris vs. Tesco, Carrefour, Kinokuniya & Borders

Pasar raya Tesco dan Carrefour diserbu ulat buku. Khabarnya beribu-ribu! Ada yang sanggup tunggu depan pintu sebelum matahari terbit lagi. Itulah akibat mereka yang tersihir oleh sumpahan Harry Potter. (Perhatikan ejaan "Potter" bukannya "Porter"; yang kedua tu tukang angkat barang. Selalu benar orang salah eja.)

MPH & (Popular?) boikot tak mahu jual Harry Potter edisi yang terbaharu. Mengapa ya?

Bagi yang tertinggal kereta api, rentetannya begini. Rangkaian kedai buku MPH telah lama membuat tawaran harga RM109.90. Semua peminat dan pembelinya sudah bersedia untuk membeli dengan harga tersebut. Apabila menghampiri tarikh pelancaran, 21 Julai, tiba-tiba pasar raya Tesco dan Carrefour buat tawaran harga yang tidak boleh ditolak pengguna - RM69.90!

Kepada yang telah membuat tempahan awal (pre-order) pastinya boleh hentak kepala ke dinding dibuatnya! Tesco & Carrefour mahu ambil untung jangka pendek dan segera. Penggila Harry Potter langsung bertambah-tambah gila. Siapa yang mahu bayar harga lebih RM109.90 kalau buku yang sama boleh dibeli dengan harga yang lebih rendah?

Lalu MPH dan rangkaian yang seangkatan dengannya pun mengambil keputusan untuk tidak menjual buku tersebut di mana-mana rangkaian kedai bukunya. Adakah itu satu langkah yang bijak?

Namun, mengapa fenomena ini berlaku? Adakah Tesco & kawan-kawannya menangguk di air keruh?

Ada banyak pendapat. Kata kedai-kedai buku besar, ini under-cutting. Mereka telah menunggu sekitar 2 tahun untuk buku ini dijual.

Satu daripadanya, pengaruh media. Akhbar-akhbar utama Inggeris tidak putus-putus memberi ruang promosi buku ini. Tidak kurang dengan akhbar Melayu juga. Ruang tentang sastera Inggeris dan promosi buku di akhbar Inggeris jauh lebih besar daripada yang disediakan akhbar Melayu.

Berita Harian hanya ada ruangan buku pada hari Sabtu. Itupun, penulis tempatan kena berebut dengan penulis luar negara dan penulis yang tidak mengarang dalam Bahasa Melayu. Ruangannya pun hanya separuh dalam segmen "Sabtu" yang sudah bersaiz seperti akhbar tabloid itu. Selebihnya, hanya satu kolum selebar satu inci untuk 3 buah buku tempatan.

Di Utusan, jarang sekali ada berita buku dalam ruangan sastera & budaya. Namun, Utusan menyediakan ruangan "Sehari Sebuah Buku" dan rencana tentang buku (tentunya setiap hari) dan dunia perbukuan pada setiap hari Isnin dalam ruangan 'Rencana'. Pun, fokusnya bukanlah kepada buku sastera per se.

Barangkali, sebagai penulis dan penggiat sastera, saya harus sangat-sangat bersyukur kerana media tersebut sanggup 'berkorban' dan memberi ruang untuk menyiarkan perihal buku-buku dalam akhbarnya.

Oleh itu, tidak hairanlah kalau penerima-penerima SEA Write Award kita (gambar di atas) merungut.

Jangan katakan penerima SEA Write Award sahaja, malah kalau sudah bertaraf Sasterawan Negara pun, belum tentu buku-bukunya disambut semeriah Harry Potter. Mengapa? Satu daripada sebabnya ialah tiada promosi. Siapa tahu apa buku terbaharu Arena Wati? Berapa ramai yang pernah dengar tentang Cakera Waruga (Penerbit UKM) yang turut diterbitkan sama tahun dengan Antologi Tiga Genre (Utusan Publications). Malah, lebih teruk lagi soalan seperti "Arena Wati tu siapa?" atau "Arena Wati ni lelaki ke perempuan?"

Media tempatan, jarang sekali mengangkat kesembilan-sembilan Sasterawan Negara ini secara seimbang dan berterusan. Sekali lagi, masalah ruang yang ada dalam akhbar. Ini berkait rapat pula dengan kelajuan penerbitan (baca: penerbit-penerbit besar negara). Faktor-faktor ini menjadikan apa yang berlaku dalam dunia sastera seolah-olah tiada nilai berita (newsworthy) untuk diperkatakan.

Apa yang boleh kita buat? Marilah kita bina fenomena seperti Harry Potter tetapi dengan acuan kita sendiri. Ujana Ilmu pernah melakukannya. Saya pernah menulis tentang promosi buku secara sistematik dan berstrategi dalam Mingguan Malaysia. Beberapa pakej buku telah diuar-uarkan sebelum penerbitannya pada tarikh tertentu. Alhamdulillah, walaupun sambutannya tidaklah melimpah ruah seperti peminat Harry Potter, tetapi bagi khalayak tempatan, sambutan yang diberikan merupakan satu permulaan yang agak baik.

Penerbit, kedai buku dan penulis juga harus sama-sama menggembleng tenaga dan bergerak seperti satu gelombang besar. Barulah fenomena ini dapat memberi kesan kepada dunia sastera tanah air. Jika tidak, terjahannya ke pantai hanyalah seperti air surut yang jauh di tengah laut. Siapa pun tak perasan akan kehadirannya.

Hakikatnya, itulah yang banyak berlaku. Buku-buku yang baik tidak menemui khalayak.

Susunan buku dalam kedai buku juga satu hal yang lain pula. Beberapa kali saya di Galeri Ilmu DBP (Kedai Buku DBP di aras bawah Menara DBP), sebanyak itu juga saya 'sesat' ketika mencari buku. Saya juga kurang pasti dengan sistem susunan yang dipakai. Ruang kedainya amat luas tetapi susunannya tidak menarik minat berbanding dengan susunan yang padat di Pekan Buku UM. Biarpun padat, ia membuat saya berasa mesra di situ. Saya masih terasa seperti orang asing, orang sesat di Galeri Ilmu. Saya kira ruangannya yang besar itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Ruangan untuk Sasterawan Negara ada tetapi bercampur-campur pula dengan buku-buku lain di ruang pameran tersebut. Ruangan untuk penerima SEA Write Award juga tidak ada. Pemenang Hadiah Sastera Perdana pula jauh sekali. Malah tiada ruangan khusus yang jelas untuk kategori pemenang anugerah dalam kedai seluas itu.

Mungkin tidak hairanlah pada hari ini saya terpaksa menjadi insan pelbagai bakat - dalam masa yang sama, saya mesti menjadi penulis, pegawai promosi, penjual buku, aktivis sastera, mempertahankan hak cipta dan yang berkaitan dengannya. (Itu belum dicampur lagi tugas-tugas peribadi seperti menjaga rumahtangga, anak-anak dan lain-lain).

** Gambar-gambar dipetik dari thestar.com.my dan utusan.com.my

3 ulasan:

Rai Pottermanikavasigam berkata...

Setuju tu yang arif!

Kat Malaysia ni je yang orang-orang seninya multi-tasker, termasuklah jual kopi tongkat ali. Penerbit filem pun buka restoran mi rebus, buat gubahan bungalah, jual mekaplah...

By the way, saya dah pun baca Harry Potter 7.Lantak pi la dengan perang harga sebab saya beli di Tesco.Selamat duit ambo!

Apa kata akak buat kuiz begini bila dapat jemputan ceramah nanti:
Di antara penulis yang berikut, yang manakah penulis wanita?
1)Arenawati
2)Nora
3)Kemala
4)Ria Asmira

Jawab jangan tak jawab, Labuuu!

Nisah Haji Haron berkata...

Rai,
Suka dengan soalan cepu emas tu. Akan digunakan untuk ceramah akan datang! Hahaha.

p/s : mesti ramai yang jawab Nora.

Jiwa Rasa berkata...

Mujurlah saya tidak terkena demam Harry Potter. Jika tidak, mungkin muka saya ada terselit di celah mereka yang berebut di sana.

Hairan, ada yang kata buku di Malaysia mahal harganya, tetapi rupanya buku berharga lebih RM50 pun orang berebut mahu beli.

Moga episod ini jadi perangsang untuk penulis, pengusaha, penerbit buku sastera di negara ini. Masih ada cahaya di hujung terowong!

Related Posts with Thumbnails