Khamis, Ogos 09, 2007

Serius atau Santai Ketika Berkarya?

Apabila mahu menulis karya sastera (ataupun karya sastera 'serius' kata sesetengah orang), perlukah penulisnya juga bersifat serius, tidak pandai bergurau, perangai pun 'skema' dan segala yang berkaitan?

Ini saya depani dan kesani melalui beberapa bengkel penulisan yang sempat saya bimbing.

Saya bertemu dengan kelompok penulis yang amat serius ketika mendengar ceramah. Ya, sebagai penceramah / pembimbing tentunya merasa dihargai kerana peserta memberikan tumpuan 100%. Ini tentunya jauh berbeza daripada berceramah kepada pelajar sekolah (saya gelar 'audien paksa') yang akan sibuk berbual apabila kita bercakap di depan ataupun tangan tak reti diam asyik nak mencuit-cuit kawan sebelahnya. Itu senario yang berbeza.

Namun, dalam bengkel-bengkel penulisan, rata-rata peserta yang mahu menjadi penulis mempunyai sifat yang serius ini. Saya tidak mengatakan bahawa untuk menjadi penulis sastera, anda tidak perlu memiliki sifat serius ini. Tetapi, peserta-peserta yang serius ini agak membimbangkan.

Pertama, mereka seperti memaksa diri meminati penulisan sastera.

Kedua, mereka tidak santai atau tidak relaks dalam menulis.

Ketiga, mereka akan cepat berasa penat dan nyala rasa (passion) untuk menulis juga akan cepat terpadam.

Apa yang saya cuba perkatakan di sini ialah, menulis harus menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Ataupun, kata orang kampung saya 'writing should be fun and enjoyable'. Jika anda tidak berasa seronok menulis, mungkin menulis bukanlah sesuatu yang sesuai untuk anda, hatta untuk dijadikan hobi pun.

Bukankah hobi itu sesuatu yang seronok dilakukan apabila kita ada masa lapang. Justeru, bagi yang mahu menekuni bidang penulisan sama ada secara sepenuh masa ataupun tidak, proses penulisan itu haruslah menyeronokkan pada mana-mana peringkat sekalipun. Tidak kiralah pada waktu menaip papan kekunci komputer, sewaktu berfikir tentang plot ataupun ketika menghadiri bengkel-bengkel penulisan.

Apabila kita berasa santai ataupun relaks, secara tidak langsung kita membenarkan sifat ataupun perasaan cinta pada penulisan itu berlegar-legar dan bermain-main di dalam diri. Lantas, rasa untuk menulis dan menikmati segala yang berkaitan dengan penulisan itu dapat mengalir dalam segenap rasa.

Mungkin analogi mudah yang boleh diberikan ialah perbezaan antara membaca buku teks (dengan rasa terpaksa, perlu menghafal dan sebagainya) dengan membaca novel yang kita gemari. Mengapa kita boleh membaca novel dalam masa yang singkat berbanding buku teks tadi? Jawapannya mudah kerana kita membawa hati, perasaan dan akal sewaktu membaca novel. Hal yang berbeza berlaku apabila membaca buku teks. Yang dibawa hanyalah akal - yang dipaksa-paksa pula mengingati faktanya. Perasaan dan hati seolah-olah tidak perlu hadir sama.

Ini juga berlaku kepada sesetengah subjek yang diminati di sekolah, misalnya. Apabila kita seorang guru itu dapat menanam minat terhadap subjek yang diajarnya, pelajar menjadi seronok belajar. Lalu, subjek yang dianggap membosankan, boleh sahaja menjadi subjek kegemaran sekian ramai pelajar kerana guru tadi dapat memasukkan hati dan perasaan pelajarnya bersama-sama dengan akal sewaktu menekuni subjek tersebut.

Oleh itu, untuk bertahan lama dalam penulisan, kita perlukan gabungan hati, perasaan dan akal dalam semua peringkat penulisan. Formula saya begini :

Hati + Perasaan + Akal = Nyala Rasa

Apabila ada nyala rasa, barulah semua yang ditulis menjadi. Tidak lagi terasa dipaksa. Walau menulis hingga jam berapa sekalipun, tidak rasa penat, tidak mengantuk, malah berasa sangat puas!

Tanpa nyala rasa, biasanya hayat penulisan akan jadi lebih pendek. Nyala rasa ini akan menyebabkan kita sanggup meredahi apa sahaja cabaran untuk menyempurnakan tulisan. Nyala rasa juga harus lahir tanpa dipaksa. Janganlah nanti, setelah membaca entri ini, ada yang memaksa supaya nyala rasa ini dizahirkan di dalam diri.

Bertenanglah, jika benar anda mencintai seni penulisan, insya-Allah, perasaan itu akan lahir sendiri. Memang ilham itu tidak datang begitu sahaja jika tidak dicari. Percayalah kepada Tuhan.

3 ulasan:

Rai berkata...

Yoohoo!Yo,yo!

Bayangkan ini mukadimah saya di ceramah/bengkel penulisan!

Persepsi orang lain terhadap penulis sastera-orangnya mesti serius, skema, keras kejung, no-nonsense dan tak boleh diajak 'bersuka-ria'.

Pooorahh!

Penulis pun manusia biasa yang suka tengok wayang dan kartun, dengar lagu grunge, pakai contact lense 'kaler-kaler'dan banyak sisi lain penulis yang lebih manusiawi dari segala manusia lain.Inilah susahnya bila ramai yang mengkonotasikan santai tu dengan tidak bersopan-santun, tidak intelek dan tidak berwibawa.

Nantikan entri saya yang akan datang-akan saya sentuh hal ini dalam konteks mahasiswa menara gading.

Sekali lagi...pooorahh!

Tanpa Nama berkata...

Salam. Kak Nisah, peserta bengkel hari tu terlebih serius ke? eheh. Mungkin kerana masing-masing takut kena sembur lagi macam sesi puisi dan cerpen sebelumnya. =D

(Fahd Razy)

Rem berkata...

Nisah,

Saya suka dengan 'teori' pembentukan 'nyala rasa' itu. Barangkali boleh diciplak untuk memotivasikan para pelajar saya yang sangat malas dan lembab membaca. Semuanya cuma mengharap nota kuliah. Bila suruh baca sikit (walaupun hanya satu artikel jurnal) -- mesti akan terdengar bunyi 'argghh'. Kita bukakan mereka pintu untuk sebuah perjalan ilmu -- tapi reaksi mereka seolah-olah kita baru saja menghumban mereka ke dalam unggun api yang membakar. Hmmm...

Related Posts with Thumbnails