Salam Nuzul Quran


Esok 17 Ramadhan. Sudah separuh bulan kita berpuasa. Esok juga Nuzul Quran. Wahyu pertama. Suruhan pertama - membaca!

Sudah berapa juz? Itu juga soalan biasa sewaktu Ramadhan ini. Tetapi bagi saya bilangan juz tidak sepenting membaca dan menghayati Al-Quran itu sendiri.

Peribadi, saya membaca Al-Quran bukanlah pada bulan Ramadhan sahaja. Malah, saya telah mula membaca jauh sebelum Ramadhan lagi. Dengan kadar kelajuan pembacaan dan desakan masa, saya tahu saya tak mungkin memulakan dan mengkhatamkan Al-Quran ini sewaktu bulan Ramadhan. Pilihan yang saya ada ialah bermula lebih awal dan sasaran saya ialah untuk khatam dalam bulan ini. Mungkin itu lebih praktikal. Apatah lagi, untuk wanita yang tentunya diberi keuzuran syarie setiap

Selain itu, saya bersyukur juga kerana Ramadhan ini saya berpeluang membaca banyak buku. Faktor yang menyumbang, seperti yang pernah saya tulis dulu, ialah si kecil saya yang menyusu badan dalam tempoh yang agak lama. Memanglah menyusu ialah waktu ibu dan anak mengeratkan hubungan. Tapi, masa ini juga saya mahu dia 'sebati' dengan bau buku dan buku itu tidak menjadi sesuatu yang luar biasa kepadanya. Adakalanya, kalau dia langsung tidak mahu berenggang dengan saya, saya turut membaca Al-Quran bersama-samanya, sesekali mencuri pandang pada wajahnya - dia pun tersenyum, menyangka saya sedang mengagahnya.

Lagi, saya sempat membaca keempat-empat novel sejarah Islam Abdul Latip Talib. Alhamdulillah, satu usaha yang patut dipuji. Pun, saya harap buku ini dapat diedit dengan lebih baik. Ada banyak perkara yang agak mengganggu ketika saya cuba menikmati buku-buku tersebut. Ulasannya pun sudah siap saya kirimkan pada editor majalah. Apabila sudah terbit nanti akan saya maklumkan nama majalahnya.

Atas saranan Jiwarasa, saya membeli belah di IBT Books. Sempat saya pesan Qur'anic Phenomenon (Malik Bennabi) dan Saladin and the Fall of the Kingdom of Jerusalem (Stanley Lane-Pole). Perkhidmatannya boleh tahan juga.

Juga, saya membaca Biografi Ahmad Ibrahim (IKIM/MPH). Tak kurang menarik. Tokoh ini seorang yang selalu diikuti perkembangannya, apatah lagi, saya yang berada dalam bidang perundangannya tentulah nama beliau begitu hampir, walaupun saya tidak pernah bertemui tokoh ini semasa hayatnya.

Hmm... kalau hal-hal membaca, saya agak tamak. Saya biasa membaca 2,3 buku serentak. Baru puas hati.

Apa bacaan anda bulan ini?

Ulasan

Latiptalib berkata…
Salam Ramadan

Nampaknya dalam bab membaca Nisah lebih tekun dari saya sebab boleh membaca 2-3 buku serentak. Ajarlah petuanya.

Rasa tak sabar hendak membaca ulasan Nisah mengenai novel sejarah Islam itu. Tambahan pula bila Nisah kata ada beberapa perkara yang agak mengganggu pembacaan. Itu yang nak tahu sangat supaya dapat diperbaiki pada masa akan datang.

Terima kasih.
Puan Ainon Mohd. berkata…
Puan Nisah,

Terima kasih kerana membuat resensi buku terbitan PTS.Maklum balas tentang kekurangan buku itu sangat diperlukan supaya apabila diulangcetak nanti ia dapat diperbaiki.
Nisah Haji Haron berkata…
Pak Latip,
Dalam membaca beberapa buku serentak, saya akan baca 2,3 bab dalam buku pertama, kemudian capai buku yang lain, lepas tu, capai lagi buku yang seterusnya. Kalau tak ada buku ke-4 yang menarik perhatian, saya mungkin kembali ke pada buku pertama ataupun buku kedua. Begitulah, pusing-pusing. Dan seperti orang lumba lari, buku yang paling mendapat perhatian antara ketiga-tiganya akan habis dibaca dulu. Jadi, secara tidak langsung buku-buku tersebut bersaing. Paling penting, ketiga-tiganya akan habis dibaca. Kalau pun tak habis baca, saya sudah tahu sedikit sebanyak tentang buku-buku tersebut. Apabila orang memperkatakan tentang buku-buku tersebut, sudah ada 'modal' untuk menyampuk!

Puan Ainon,
Ya, saya harap komen-komen yang saya tulis itu dapat membantu pihak editorial PTS dalam memperbaiki penerbitan buku-buku yang berkualiti.
:-) berkata…
Salam,

Pn.Nisah, saya juga begitu... baca beberapa buku dalam satu masa...

Ia bermula sejak masuk uni dulu... sejak itu, tak boleh baca satu buku saja, macam bosan gitu...
Mungkin sebab di uni, kena baca banyak artikel dalam satu masa, jadi, minda dah terbiasa menggarap beberapa tema/plot dalam kepala... sehingga tak puas kalau baca satu buku saja... :)

Wassalam.

Catatan Popular