Selasa, Disember 11, 2007

"Kembali ke Akar Budaya"


Berita Harian hari ini memetik pembentangan kertas kerja saya di ASWARA pada 3 - 4 November tempoh hari dengan artikel berjudul 'Kembali ke akar budaya'
Penulis dan bekas pengamal undang-undang, Nisah Haron, senada dengan Prof S Othman mengenai keakraban dan didikan dalam lingkungan kekeluargaan, membekalkan sejumlah idea yang sentiasa mengalir hebat dalam minda hingga akhirnya berkesudahan sebagai karya kreatif.

Dilahirkan di Negeri Sembilan meskipun tanpa suku, Nisah yang dibesarkan nenek terkesan dengan Adat Perpatih hingga diterapkan dalam tulisan di samping ingin membongkar salah faham masyarakat luar terhadap perkara tertentu dalam adat terbabit.

“Ketika menerima asuhan nenek, saya sering disogok dengan syair, nazam dan berupaya membaca mahupun menulis dalam tulisan Jawi. Lama kelamaan segala-galanya itu sebati dalam diri dan kecintaan pada akar budaya muncul dalam karya tanpa disedari,” katanya ketika memperkatakan Persoalan Jati Diri Bangsa Dalam Mencari Locus Standi & Lentera Mustika: Suatu Catatan Pengalaman.

Nisah mencurahkan kecintaannya pada nazam dalam novelnya, Lentera Mustika yang mempunyai tunjang dan akar Melayu dan beliau yakin karya sebegitu boleh menjadi wadah kukuh dalam usaha melestarikan citra bangsa di negara ini..


Sayang sekali, gambar yang dipetik Berita Harian tu, kalau tak salah saya ialah gambar 10 tahun dulu. Ketika cermin mata masih 'besar' dan 'bulat'. Itu gambar sewaktu majlis penyampaian Sayembara Menulis Cerpen GAPENA ke-10 di Hotel Crown Princess pada tahun 1997. (Terima kasih, Raihani, kerana memaklumkan tentang berita ini awal pagi tadi.)

1 ulasan:

rai berkata...

Hahaha!

Gambar purbakala tu diambil semasa sidang akhbar pengumuman pemenang sayembara cerpen tu. Tentulah hamba masih ingat kerana hamba juga turut tumpang semangkuk menjadi pemenang!

Tapi mungkin 10,20 tahun lagi saya pun akan jadi tak kisah kalau tak ditempek gambar terbaru saya.Syok juga tengok gambar zaman remaja dolu-dolu...sob!sob!

Related Posts with Thumbnails