Bagaimana bermulanya 'Esdyzuar'...


Novel ini sudah berada di pasaran. Lebih mudah, dapatkan secara online dari www.ujanailmu.com.my

juga di Rangkaian MPH & Kinokuniya



Dipetik dari bab "Bagaimana Mulanya" - Puisi Untuk Esdyzuar (Al-Ameen Serve, 2007)




Puisi Untuk Esdyzuar mempunyai sejarah yang panjang dan tersendiri.

Novel ini asalnya sebuah cerpen yang ditulis pada sekitar tahun 1992 dengan judul Istimewa Dari Cenma Detara. Ketika itu saya belum pun bergelar siswi undang-undang kerana masih menuntut di peringkat matrikulasi. Sokongan rakan-rakan pada ketika itu mewajarkan hasrat menulis sebuah cerpen bertemakan undang-undang. Sedangkan pada tahun-tahun awal penulisan, saya cenderung menulis cerpen berlatar fantasi seperti Annyss Sophilea, Atlantis Duniaku Duniamu dan banyak lagi.

Saya kira itu satu cabaran yang harus saya sambut. Saya juga masih belum bersedia untuk keluar dari keakraban ‘alam’ fantasi. Hasilnya, cerpen Istimewa Dari Cenma Detara lahir. Mengisahkan seorang peguam dari dunia Cosmo @ Bumi yang diminta membela sahabatnya yang terperangkap di sebuah dunia bawah tanah iaitu Cenma Detara. Sayangnya, cerpen tersebut tidak tersiar tetapi terpilih untuk dipertandingkan dalam Hadiah Sastera Siswa Bank-Rakyat 1992.

Pada tahun 1993, saya menjadi mahasiswi undang-undang di UKM setelah dua tahun menyudahkan matrikulasi. Pada tahun tersebut, ada pertandingan pementasan drama undang-undang. Fakulti Undang-undang UKM mahu mengambil bahagian. Saingannya ialah semua universiti tempatan yang mempunyai fakulti undang-undang – UIA, UM dan ITM (pada ketika itu).

Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-undang (Perundang) UKM mencari skrip. Saya fikir saya ada idea untuk sebuah cerita. Saya tawarkan Istimewa Dari Cenma Detara untuk dipindahkan ke genre drama pula. Dengan kerjasama rakan sekuliah – Ahmad Syuhaimi Adnan, kami mengolah cerita asal itu sehingga menjadi skrip. Usah ditanya berapa peratus sumbangan kami dalam skrip tersebut secara berasingan. Tulisan kami begitu sebati sehingga sukar untuk dipisahkan.

Hendak dijadikan cerita, drama ini menang besar pada malam 10 September 1993. Istimewa Dari Cenma Detara memenangi Drama Terbaik, Skrip Terbaik dan juga Pengarah Terbaik. Duit hadiah kami bahagi sama rata antara semua pelakon dan penulis. Suatu kenangan manis!


Beberapa tahun kemudian, saya berhasrat untuk menjadikan naskhah ini sebagai novel pula. Usaha saya tidak lancar. Banyak yang tidak kena pada proses ‘menovelkan’ cerpen/drama tersebut. Manuskrip itu terbiar sepi di pojok meja tulis saya.


Saya terus rehatkan manuskrip itu.


Sepuluh tahun selepas pementasan drama Istimewa Dari Cenma Detara – penghujung 2003, saya memberanikan diri berjumpa Editor Tunas Cipta (DBP), Encik Zaharuddin. Saya memang tak ada apa-apa kecuali sebuah janji. Saya mahu realisasikan semula novel tersebut. Rangkanya sudah lama ada, tetapi ada yang tidak menjadi dengan proses penulisannya lama dulu.


Ketika itu majalah Tunas Cipta masih baru ‘bertunas’. Belum ada ruangan novel bersiri. Editor sangat mengalu-alukan. Dia minta dua bab pertama untuk disiarkan pada edisi Januari 2004.


Sekali lagi, itu satu cabaran. Saya berhasrat untuk memulakan kembali novel itu. Saya tinggalkan cerpen dan drama itu. Saya bermula dengan kertas yang baru, azam yang baru dan penceritaan yang baru.

Tahun baru 2004 – novel ini juga harus menjadi sesuatu yang baru untuk pembaca. Judulnya pun baru – Puisi Untuk Esdyzuar.


Dua bab pertama yang diminta saya lunaskan. Editor tidak ada masalah, langsung memberi saya ruang untuk meneruskan novel ini dengan pesan: mesti lebih dari 12 siri. Ertinya, mesti beri komitmen untuk terus menulis sehingga selesai. Ini menjadi satu bentuk kontrak walaupun tiada perjanjian, sekadar sekeping surat daripada Bahagian Majalah DBP.


Selepas beberapa siri, ramai juga yang bertanya, bagaimana kaedah menulis novel bersiri? Apakah mesti ada sebuah manuskrip lengkap kemudian manuskrip itu dipecah-pecahkan kepada siri tertentu.

Saya jawab, ada banyak kaedah sebenarnya. Bergantung kepada rumah penerbitan masing-masing. Pengalaman saya setakat ini, pihak editor menerima sahaja walaupun dihantar satu siri pada setiap bulan. Asalkan siri itu dihantar 2 atau 3 bulan lebih awal daripada bulan ia sepatutnya diterbitkan.


Tidak dapat saya nafikan bahawa menulis novel bersiri, khususnya Puisi Untuk Esdyzuar memberikan semacam debaran kepada saya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada cerita tersebut sehinggalah saya siapkan siri tertentu. Editor saya juga tidak tahu, apatah lagi pembaca. Sebagai pengarang, saya cuma tahu penghujung cerita. Bagaimana watak-watak itu mencari jalan untuk sampai ke sana? Terpulanglah kepada mereka.


Meskipun ini satu cabaran tetapi cara penulisan begini amat sesuai bagi saya yang sibuk dengan beberapa komitmen lain. Sewaktu menulis novel bersiri Puisi Untuk Esdyzuar, saya masih lagi menyandang gelaran peguam. Saya punya masa yang amat terhad untuk menulis. Satu bab atau siri sebulan merupakan satu pencapaian yang baik. Ini memberi saya jeda masa yang berpatutan. Ini juga menawarkan saya ruang untuk terus menulis.


Naskhah Puisi Untuk Esdyzuar yang berada di dalam tangan anda kini merupakan novel yang sudah dikemaskini sebagai edisi buku. Ada sedikit perbezaan tentunya, berbanding edisi novel bersiri. Perubahan yang lebih ketara daripada cerpen asalnya.


Suntikan ilmu undang-undang yang saya masukkan dalam novel ini, dosnya agak kecil. Saya bukannya mahu memberi kuliah undang-undang antarabangsa ataupun Conflict of Laws di sini. Namun, saya mengharapkan novel ini memberi sedikit sebanyak pencerahan tentang undang-undang itu sendiri.


Ada banyak yang bermain-main di fikiran saya sejak cetusan pertama cerpen Istimewa Dari Cenma Detara sehinggalah penulisan semula novel Puisi Untuk Esdyzuar. Selain keinginan untuk mempermudahkan undang-undang kepada pembaca, saya juga selalu berfikir tentang kaum Ya’juj dan Ma’juj yang dikatakan dipateri oleh Raja Zulkarnain. Kisah yang saya baca dari Al-Quran itu turut memberi inspirasi.


Usah samakan kaum Cenma Detara dengan Ya’juj dan Ma’juj. Apa yang saya tulis ini mungkin sahaja sebaliknya. Ini sebuah karya kreatif. Apa-apa sahaja boleh berlayar di minda saya tetapi ada kisah dan iktibar yang saya mahu anda fikirkan.


Ini juga persoalan jati diri bangsa dan survival bangsa yang tertindas. Apabila tertekan, segala yang tidak munasabah boleh menjadi tidak mustahil lagi.


Selamat membaca, dan sesekali cuba berfikir!



Dapatkan dari www.ujanailmu.com.my

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Alahai, Kak Nisah... takkanlah sesekali je cuba berfikir. Nak jugak selalu-selalu. Hehe.
;-)
Nisah Haji Haron berkata…
Ideal,
Bukan senang nak suruh orang berfikir. Kalau 'sesekali' dapat menggunakan akal tu pun, dah alhamdulillah... :-)

Kalau boleh selalu berfikir. Memang elok benarlah. Usah berhenti berfikir!
Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum wbt, Kak Nisah

Novel mencari locus standi mempunyai serba sedikit perjalanan Kak Nisah di Fakulti Undang-undang mahupun penceritaan pementasan drama "Istimewa Dari Cenma Detara" dan di akhiri dengan "puisi untuk Esdyzuar". Adakah watak dan penceritaan di dalam novel ini sama dengan bentuk asalnya? Adakah wujud penambahan untuk menjadikan novel ini lebih menarik?

Sekian,
Muhammad Afiq
rphiq_ex15@yahoo.com
Nisah Haji Haron berkata…
Salam Mohd Afiq,
Banyak rombakan dan perubahan yang signifikan telah dibuat ke atas Puisi Untuk Esdyzuar (novel). Malah, versi cerpennya iaitu Istimewa Dari Cenma Detara dan versi drama juga jauh melencong.

Persamaan hanyalah pada latar tempat iaitu Cosmo dan Cenma Detara. Perwatakan : hampir semua mempunyai penambahbaikan.

Usah 'terpengaruh' dengan Cenma Detara yang disebut dalam "Mencari Locus Standi", setiap novel harus berdiri sendiri tanpa memerlukan novel yang lain untuk menyokongnya!

Selamat Membaca! :-)
rozi berkata…
Salam Nis,

I've just finished reading this novel..in less than a day..hihi..
Either the book is very interesting, or i haven't lost touch of my love for fantasy..since Kembar Artakus.
Hhmm..maybe the combination of both..
Again, 'interesting' is not the right word to describe the book.. What do they normally said of those best-selling english novels...? fast-moving? hard-to-drop? hhmmm...apa ya..
Aniway, i love & enjoy reading it.. Well done, friend!

Catatan Popular