CSRO di tangan Dr. Anwar Ridhwan



Judul kertas kerja Dr. Anwar Ridhwan : "Menatar Binaan Naratif Gaya Nisah"
(Apresiasi Kumpulan Cerpen Nisah Haji Haron, 2006, Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus, Seremban: Ujana Ilmu Enterprise, 243 halaman)

Beberapa petikan penting daripada kertas kerja di atas saya turunkan di sini untuk dikongsi dengan pembaca:

Membaca karya penulis angkatan baharu ini, termasuk daripada Nisah Haji Haron, memerlukan response pembaca yang lebih peka. Lebih peka untuk menyelami dan memahami norma yang tergambar daripada teks, memahami kenteks evolusi ilmu dan mengaitkannya dengan situasi terkini, sehingga dapat mengapungkan kesan dan pesan yang dibawa oleh teks tersebut - seperti yang pernah diperkatakan oleh Wolfgang. [Iser, Wolfgang, 1978. The Art of Reading : A Theory of Aesthetic Response. New Haven: Yale University Press].

Ini juga bererti bahawa pembaca harus peka terhadap sumber cerita, teknik yang lebih kompleks - umpamanya dengan mewujudkan brikolaj atau mentransformasikan sesuatu kepada suatu bentuk komposisi yang memberi citra serta tanggapan kreatif yang baharu, imejan dan berlapis-lapis, konsep kala yang lebih niskala, serta mesej yang lebih membenam di dasar teks. Inilah antara yang terpancar dalam CSRO.

...

Pada bahagian yang lain pula, Dr. Anwar turut menyebut :
Cerpen "Persidangan Agung Wanita Klasik" dan beberapa cerpen lain memaparkan dimensi feminisme yang lebih segar dan berpaksi pada pegangan tauhid. Ia tidak berbicara sebagaimana feminis radikal seperti Millet, Beechay dan Rowbotham. Ia tidak berbicara sebagaimana feminis Marxist seperti Hartmann, yang selalu melihat wanita sebagai mangsa yang ditundukkan oleh kuasa patriarki dan ciri organisasi kapitalisme yang mementingkan produk. Sebaliknya ia merunut sejarah wanita-wanita agung dalam Islam, untuk dijadikan panduan :


"Jika Khadijah mampu memiliki penghormatan Junjungan Besar, dan Fatimah Az-Zahra dicintai sepenuhnya oleh Ali kerana Tuhannya, maka seharusnya kudup-kudup bunga zaman ini dihiasi pekerti Aisyah kerana atas dasar inilah mereka diletakkan pada persada penghormatan tertinggi." (penghujung cerpen Persidangan Agung Wanita Klasik).

Nisah tampaknya tidak tertarik dengan konsep feminisme bikinan barat, seperti yang selalu didendangkan oleh Elaine Showwalter. Melalui cerpen ini beliau seakan menyarankan suatu penolehan kembali ke arah nilai yang telah ditentukan oleh Islam untuk golongan wanita, yang faham dan mengamalkan konsep tahzibul akhlak, mawaddah fil-qubra dan mawaddah warrahmah.
...

Mengenai cerpen "Presiden Rebecca", ini komen Dr. Anwar Ridhwan :
Cerpen ini adalah sebuah 'wacana balas' tekstual yang tersendiri - daripada seorang remaja Amerika Syarikat kepada pemimpin tertingginya. Di luar teksnya, ia adalah suara 'mereka' (other) yang pernah sampai ke gegendang telinga Rumah Putih, tetapi tidak (akan) didengar apa lagi dituruti. Sebab itu, Rebecca mengalami nasib tragisnya dalam perjalanan mencari dan membina kemanusiaan sejagat.

Dr. Anwar juga mengesani perubahan ketara yang menjadi percubaan saya dalam mencari kelainan dalam berkarya lewat cerpen "Citra Mukhlisah".

Terdapat dua buah cerpen, yang agak terkeluar daripada ranah intertekstual dan pengalaman kerjaya Nisah. Pertama, cerpen "Citra Mukhlisah". Ia seperti bertolak daripada acuan pembentukan anak yang soleh dan solehah (yang mengingatkan kita, puncaknya diduduki oleh tokoh-tokoh wanita mulia dalam cerpen "Persidangan Agung Wanita Klasik"). Hubungan anak-ibu, dalam "Citra Mukhlisah" diserasikan dengan imej alam aura fajar yang melukiskan warna tenang, damai, harmonis dan seimbang.

"Cabaran untuk menjadi anak yang paling bermakna dan dalam
masa yang sama menyempurnakan seruan daripada pertiwi sudah boleh diatasinya. Tidak ada kusut yang tidak selesai."
...

Paling mencuit hati ialah terkaan Dr. Anwar tentang cerpen satira saya "Resipi Dari Istana". Dalam pembentangannya, beliau berpendapat bahawa simbol-simbol yang saya tulis itu melambangkan dirinya juga. Ini disebabkan cerita asal yang disatirakan melibatkan dirinya juga. Ya, mungkin ada betulnya. Tetapi bukankah pengarang tidak lagi boleh terlibat dengan karyanya setelah karya itu lahir. Terpulanglah kepada pengkaji dan pembaca untuk menafsirkannya! :-)


Cerpen terakhir dalam pembicaraan ini "Resipi Dari Istana", barangkali mengolah rasa marah, jengkel dan mual Nisah terhadap sebuah organisasi. Cerpen ini menyamarkan cerita sebenar dengan memasukkan beberapa simbol dan metafora. Organisasi tersebut, dalam satu peristiwa, menurunkan nilai tinggi organisasi ke tahap nilai rendah. Kalau istilah kritikan sastera dan budaya hendak digunakan, organisasi tersebut menurunkan 'modernisme tinggi' ke lembah 'kitch'. Cerpen ini lebih mengolah perasaan marah-marah daripada mengolahnya sebagai sebuah karya yang kompleks. Barangkali Nisah ingin menyesuaikan konsep 'kitch' itu sendiri. Sekali-sekala, ada penulis yang lebih terdorong untuk mengubah kritikan keras menjadi sebuah karya kreatif, atau menjadikan karya kreatif sebagai wadah kritikan yang keras.
Beliau turut menyentuh aspek pemakaian 'Nota Nisah' pada hujung setiap cerpen. Katanya, nota kecil ini yang merupakan catatan/reaksi pengarang terhadap tulisannya. Ini sekaligus melawan Teori Barthes yang menyatakan bahawa pengarang seharusnya 'mati' selepas karya dihasilkan. Ertinya, pengarang tidak lagi harus campur tangan dengan karyanya sendiri (sama ada mempertahankan ataupun menepis/menjawab komen pembaca terhadap karya itu).
Terima kasih, Dr. Anwar, atas komen-komen membina. Insya-Allah, akan dijadikan panduan bagi meneruskan perjuangan penulisan ini.

Turut dibicarakan karya-karya seperti yang disebut dalam laman web PEN.

Gambar-gambar sekitar majlis ini dan Mesyuarat Agung PEN ke-31 ada di laman Nisah Haron Fotopages

Oh, ya. Saya telah pun melepaskan jawatan Setiausaha Satu PEN. Alhamdulillah, permintaan saya itu dipertimbangkan oleh ahli. Maklumat lanjut, juga di laman web PEN

Ulasan

Zaid Akhtar berkata…
Tahniah PEN!
Segak sungguh moderatornya.
:-)

Catatan Popular