Isnin, Februari 11, 2008

Bagaimana Mendapatkan ISBN & CIP - Satu kuliah ringkas



ISBN ialah singkatan kepada International Standard Book Numbers.

CIP ialah cataloging-in-publication.

Kepada yang mahu terbit buku sendiri, anda perlu dapatkan kedua-dua perkara di atas bagi membolehkan buku anda layak 'dipanggil' buku. Tujuannya ialah supaya buku anda dapat dikesan dengan mudah. Apatah lagi, jika buku itu masuk ke kedai buku, pekedai akan mengesan buku anda menggunakan nombor ISBN.

ISBN unik.

Jika sudah dapat nombor ISBN untuk buku A, tidak boleh lagi digunakan untuk buku B. Untuk buku B, harus mohon ISBN yang baharu.

Di Malaysia, untuk mendapatkan ISBN dan CIP, anda boleh mohon dari Pusat Bibliografi Negara di Perpustakaan Negara Malaysia yang beralamat di :

Pusat Bibliografi Negara
Perpustakaan Negara Malaysia,
Tingkat 18, Menara TH Selborn,
153, Jalan Tun Razak,
50572 Kuala Lumpur.

** Nota : perhatikan alamat tersebut, bukan di Perpustakaan Negara yang mempunyai khidmat pinjaman buku, ya. Bangunannya di Menara TH Selborn.

Cara-cara untuk mendapatkan ISBN boleh juga dibaca di laman permohonan ISBN di Perpustakaan Negara Malaysia.

Bagi yang pertama kali mahu mendapatkan ISBN & CIP, haruslah berdaftar terlebih dahulu. Tak semestinya anda perlu memiliki syarikat penerbitan sendiri (tapi kalau ada lebih baik kerana anda akan dilihat memiliki kredibiliti atau minat jangka panjang dalam bidang penerbitan).

Untuk mendaftar, lengkapkan borang pendaftaran ISBN. (Jika pautan ini tidak berhasil, sila ke laman www.pnm.my dan klik pada butang "Perkhidmatan", kemudian pilih "Penerbit". Nanti akan ada senarai borang yang boleh dimuatturun.

Muat turun juga borang ISBN. (bezakan dengan borang pendaftaran ISBN.) Borang ni harus dilengkapkan setiap kali mahu mendapatkan ISBN bagi setiap buku. Borang pendaftaran ISBN hanya perlu daftar sekali sahaja, kerana PNM akan berikan identiti penerbit.

Apa itu CIP? Boleh baca di laman PNM. Juga dipanggil Pengkatalogan Dalam Penerbitan (PDP).

Muat turun juga borang CIP.

Lengkapkan kesemua borang yang disediakan dalam bentuk .pdf ini. (Apabila disediakan dalam bentuk .pdf tentunya anda perlu cetak dan isi secara manual. Setakat ini, PNM boleh menyediakan perkhidmatan mendapatkan ISBN dan CIP secara online.

Borang yang lengkap hendaklah mengandungi :
  1. Borang Pendaftaran ISBN (untuk yang pertama kali memohon ISBN)
  2. Borang ISBN (boleh mohon lebih dari satu buku dengan menggunakan satu borang sahaja)
  3. Borang CIP
  4. Kulit depan buku
  5. Halaman judul (title page)
  6. Halaman kredit (credit page/impression page) - halaman ini biasanya kita letak notis hak cipta, tahun terbitan, dan CIP juga akan dimasukkan di dalam laman ini.
  7. Kandungan buku (table of contents) bagi buku yang ada senarai kandungan.
  8. Perkara-perkara lain yang dirasakan wajar untuk disertakan bersama-sama permohonan. (baca borang berkenaan, arahan ada di dalamnya)

Borang yang lengkap, boleh dihantar secara pos ataupun faks. Bagi yang mahu terus ke sana untuk hantar secara by-hand, lebih baik. Kalau ada kemusykilan, boleh tanya terus kepada pegawai yang berkenaan.

ISBN boleh diberikan dalam tempoh sehari. CIP dalam masa 3 hari.

Selepas dapat ISBN dan CIP, anda masih ada tugas. Setelah buku siap dicetak, 5 naskhah mestilah diserahkan kepada Pusat Bibliografi Negara dalam tempoh 1 bulan dari tarikh buku terbit. Ini mengikut Seksyen 4 (1) Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331). Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan pihak penerbit boleh didenda tidak melebihi RM3,000 (Seksyen 4(3) Akta yang sama).

Itu dulu 'kuliah' untuk kali ini. Harap entri ini dapat memberi sedikit maklumat kepada mereka yang sering bertanya kepada saya tentang ISBN & CIP. Jika ada soalan, boleh majukan di kotak komen. Sekiranya ada pihak pegawai PNM ataupun mereka yang mempunyai pengalaman yang lebih untuk dikongsi dengan topik ini, anda akan dialu-alukan di sini.

Saya menulis entri ini berdasarkan pengalaman berurusan dengan Pusat Bibliografi Negara ketika menerbitkan Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus tidak lama dahulu.

9 ulasan:

jOnOs berkata...

'Semoga sihat dan dirahmati Allah s.w.t.'

Panduan ringkas tetapi jelas. Terima kasih, sangat berguna!

BiLA PenA bERbicAra berkata...

SALAM KAK NISAH...
bila pula nak bagitahu tentang poetic license?Ada yang masih belum jelas dengan perkara ibi termasuklah saya.

Tanpa Nama berkata...

Kak Nisah, macam mana pula nak mempunyakan syarikat penerbitan sendiri? Perlu berdaftar di mana?

mohdzaki

Rem berkata...

Panduan yang menarik dan sangat berguna. Tak pernah terfikir tentang ini!

Kalau begini, bila mau terbitkan buku nanti, bolehlah contact Nisah. Ataupun minta UjanaIlmu saja yang terbitkan. :)

Kepada 'Bila Pena Berbicara', saya nak bagi reaksi sikit tentang 'poetic license'. Sorry Nisah, macam rampasan kuasa pula. :)

Yang saya tau, poetic license ni dirujuk kepada kelonggaran gaya penulisan yang diberi kepada penulis kreatif. Tidak semestinya hanya untuk genre puisi, tapi termasuk juga karya kreatif prose - misalnya cerpen dan novel.

Kelonggaran yang bagaimana? Ini subjektif sikit sebab ada pelbagai persepsi dan kepercayaan. Bahkan ada banyak perbahasan tentang ini. Di laman KEMSAS (Kelab Maya Sastera Sabah), kami selalu bertarik-tarik rambut pasal ni. :)

Ada yang percaya kelonggaran itu terbatas. Ada yang anggap ia bebas sepenuhnya. Tapi yang ramainya (dan agak munasabah) -- mereka melihat poetic license sebagai lesen kreatif yang mempunyai had-had kelonggaran. Bukan melanggar segalanya secara begitu-begitu!

Kelonggaran yang bagaimana boleh dirujuk sebagai 'poetic license'? Ini bukan kalau nak bincang, panjang lebar. Tapi secara am begini: kelonggaran dari segi keterikatan kepada hukum nahu konvensional dan nilai semantik bahasa. Maksudnya, dalam penulisan kreatif -- kita 'dibolehkan' (bukan mesti atau wajib) menggunakan bahasa yang ada nilai anomali (penyimpangan) dari tatabahasa dan makna hurufiah.

Contohnya: Abu melihat tajam. Pada Dila yang tertunduk malu. Kedua-duanya sepi. Seperti batu. Di dada Abu, ada getar berombak. Dila pula merasa kulitnya makin membakar.

Ha ha ha. Ala-ala novel Ahadiat-lah pula. Kalau lihat contoh di atas, banyak ayatnya tergantung. Tak ada predikat. Kadang-kadang tak ada subjek. Penyimpangan makna juga berlaku. Misalnya 'kulit Dila membakar'. Macam BBQ-lah pula, kan?

Salam.

PS: Saya pula nak perkenalkan satu lagi lesen: 'lesen blogosfera'. Kelonggaran kepada gaya dan laras penulisan dalam blog. :)

Marsli N.O berkata...

Sdr Nisah. Bagus entri ini. Saya berkongsi maklumatnya. Terima kasih.

mamafiza berkata...

Salam sejahtera Cik Nisah Haron,

Terima kasih kerana sudi berkongsi maklumat tentang penerbitan buku.

Saya ingin bertanya, bolehkah orang persendirian memohon untuk tujuan diatas?

Jika ya, apakah yang perlu diisi di bahagian Borang Permohonan ISBN: Identiti Penerbit........ (diisi oleh penerbit berdaftar)

Saya amat musykil tentang perkara ini. Jasa baik pihak Cik dalam hal ini amat saya hargai.

Jutaan terima kasih. Moga Allah swt membalas jasa baik pihak Cik.

Aimi Rosli berkata...

jutaan terima kasih untuk artikel ini.
sebagai lepasan diploma penulisan kreatif saya memang mencari-cari tapak permulaan saya agar saya juga dapat menerbitkan buku di masa hadapan.

Hayati Hanif berkata...

Terima kasih. Sangat membantu saya yang baru belajar.. :)

Raihamal Arawi berkata...

terima kasih ...
sangat membantu saya untuk terbitkan buku 5 Kesilapan Utama Sebelum Menghantar Tesis dan Jom Hantar Tesis

Raihamal Arawi
http://jomhantartesis.blogspot.com/

Related Posts with Thumbnails