Seguni Buku

Semalam 'seguni' buku sampai dari Amazon. (Memang sampai dalam guni pun. Sekotak buku yang dimasukkan ke dalam duni US Mail.)

Lima buah buku yang telah lama saya idamkan sampai ke tangan saya. Hati meriah tidak terkata. Nikmat yang hanya dapat dirasakan oleh pencinta buku.

Buku "At Home With Books" - How Booklovers Live with and Care for Their Libraries memberi banyak inspirasi kepada saya untuk menyusun perpustakaan sendiri ataupun cara mana untuk menghias rumah tanpa bunga tetapi penuh dengan buku. Buku jenis dengan coffee-table dengan jenis kertas art paper dan warna-warni ini sungguh mengujakan.

Buku "The Hours" pula saya mesti-baca, setelah menonton DVDnya baru-baru ini. Hanya yang kenal dan faham karya Virginia Woolf boleh menghayati novel ini dengan baik. Kepada yang tak kenal pula, boleh mencuba setelah menonton ataupun membaca karyanya Micheal Cunningham ini.

"A Room of One's Own" karya Virginia Woolf, pernah saya baca sedikit. Jadi mahu lebih menghayatinya kali ini. Woolf menceritakan bahawa seorang penulis wanita itu boleh jadi lebih hebat daripada lelaki jika dia disediakan wang, kemudahan, dan diberi ruang untuk menulis (privasi). Katanya, Shakespeare dianggap hebat pada zaman itu kerana dia lelaki. Itu tesis buku tersebut. Kalau Shakespeare itu perempuan, belum tentu orang akan baca karyanya. Sebab itu, katanya lagi, George Eliott (penulis Silas Marner) nama pena lelaki bagi seorang penulis wanita, katanya.

"A Passion for Books" pula kisah-kisah pencinta buku tentang cinta mereka terhadap buku. Buku ini mengingatkan saya kepada "Ex-Libris" tulisan Anne Fadiman. Kata Fadiman, dia dibesarkan dalam keluarga editor. Sewaktu mereka makan malam di sebuah restoran, ketika diberikan menu, setiap ahli keluarganya secara automatik mengeluarkan pen merah dan mengedit menu tersebut.

"The Quotable Book Lover" saya beli bagi melengkapkan koleksi mutiara kata tentang buku, sastera, penulisan dan yang seumpamanya.

Ah, saya tidur bermimpikan buku lagi, malam tadi!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam Puan Nisah.

Waahh! Seronoknya dapat buku baru. Saya pun ada banyak buku yang diidamkan, yang dijual di Amazon.com. Tetapi belum berani nak "order" sebab proses pembayaran menggunakan kad kredit sekarang ini mengambil masa yang agak lama. Seringkali sistem "hang" pertengahan jalan.

Nikmatnya menerima buku-buku pesanan dan membelek buku baru, hanya Allah dan para pencinta buku sahaja yang boleh memahaminya.

Saya menggunakan faedah bekerja di perpustakaan dengan menempah saja buku-buku idaman yang diimport melalui vendor. Cuma kekurangannya, lambatlah sampai...

Wassalam.

Bunnybaby
Unknown berkata…
Entri ini memberi `motivasi' buat peminat buku lain untuk berhabis duit membeli buku. he he

Buku `Passion For Books' itu antara buku kesayngan sya. Banyak petikan kata menarik mengenai dunia buku.

Selamat bermimpi buku lagi...
Kak Nisah,

Saya setuju dengan abang Jiwa.hehe..

yang pasti saya cemburu tengok buku " At Home with Books".

Kalau tak silap saya "A Passion with Books" ada di Kinokinuya KLCC. Nanti saya cari..
Tanpa Nama berkata…
Teruja sangat dengan buku Virginia Wolf itu -- terutama tentang teorinya wanita vs lelaki. Agak feminisme nadanya -- tapi ia membuat kita berfikir. Mungkin betul? Barangkali 'manipulasi jantina' adalah satu teknik pemasaran dalam konteks pengkaryaan di Barat (suatu masa dulu -- ketika keseimbangan gender belum dicapai). Barangkali?

Kalau di Malaysia, apa agaknya resepi untuk menarik pembaca (dalam konteks penulisan)? Nama pena yang glamour? Misalnya, kalau nama Hamzah Abdullah -- tukarlah jadi Hasmy Azeera. Kalau nama Siti Maimunah -- malu nak pakai sebab kampungan, maka tukarlah jadi Ninie Idora. Atau apa saja -- asalkan ia kedengaran 'pop' dan cun.

Kadang-kadang pertumbuhan industri penulisan (dan keghairahan budaya membaca) di Malaysia tak sejajar dengan perkembangan daya intelek. Kerana industri yang tumbuh subur itu tidak banyak menawarkan pemikiran dan nilai taakulan. Dalam banyak kes, sekadar menjual gula-gula dan manisan.
Nisah Haji Haron berkata…
Bunnybaby,
Tentu lebih seronok bekerja di perpustakaan. Banyak buku yang boleh dibaca tanpa perlu dibeli!

Jiwa Rasa,
Kalau saya ada duit, pastinya saya akan beli buku, kalau ada lebih baru beli baju, hehehe.

Anuar Manshor,
Tidak terkata!

drbubbles,
Buku "At Home with Books" membolehkan saya berangan-angan bagaimana hendak buat susun atur ruang tamu dan perpustakaan kecil saya. Inspirasi! Inspirasi!

Rem,
Saya memang dah lama cari buku Virginia Woolf yang satu ni. Susah pula. Tunggu dari Kino pun tak sampai2 lagi. Lalu order dari Amazon saja. Alang-alang di Norwich tu, tentu boleh pinjam daripada mana-mana perpustakaan. Ini buku klasik Woolf. Tentu tak susah cari di sana.
viruspadu berkata…
seronok nya tgk buku byk2 tu

kalu byk membaca hati pun tenang ajer kan
Korakora berkata…
saya kini di kawat.blogspot.com

mau lebih tumpu pada sastera. kononnya.
At Home With Books itu memang idaman 'kalbu' saya. Teringin nak belinya di Amazon, tetapi apabila klik kat amazon, lain pula yang tercapai! Akhirnya tersadai buku itu di Wish List sahaja...satu hari mesti didapatkan juga.
Naj AB berkata…
salam kak nisah. terima kasih singgah ke blog saya yang tak seberapa. ada singgah di sini sekali sekala, cuma tak pernah tinggalkan komen. Tapi kali ni rasa teruja tengok tajuk buku yang kak nisah pesan dr amazon. belum pernah baca buku ttg buku kecuali yg ditulis shaharom tm sulaiman.

Catatan Popular