Desaru yang mendung


Atas undangan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, saya sekeluarga meredah hujan ribut untuk pertama kali sampai ke Desaru Golden Beach Resort - tempat Bengkel Penulisan Novel diadakan. Selama ini hanya pernah dengar nama Desaru dan belum pernah dapat kesempatan untuk menjejakkan kaki. Perjalanan dari Seremban ke Desaru memakan masa hampir 5 jam. (Letih sungguh menjawab soalan anak-anak : "Are we there yet?")

Harapan untuk sekali lagi melihat matahari terbit dari laut (kerana kedudukan Desaru di sebelah timur negeri Johor) tidak kesampaian walaupun kami berada selama 3 hari di sana. Mendung dan hujan lebat silih berganti. Matahari memancar hanya untuk beberapa minit.

Namun, semangat yang ditunjukkan oleh para peserta yang terdiri daripada gabungan penulis berusia muda dan ada juga yang sudah matang, sama sekali tidak terjejas. Malah, saya kagum dengan semangat seorang daripada peserta yang bercita-cita untuk menulis setelah bersara kelak. Beliau sanggup ambil cuti dan datang ke Desaru semata-mata untuk mempelajari teknik penulisan dan turut mengakui bahawa beliau memang tidak pernah ada sebarang bimbingan sebelum ini.

Apabila saya membaca teks awal manuskrip novelnya, kandungannya amat memberangsangkan. Kisah seorang remaja perempuan yang amat nakal dan membesar di persekitaran kampung itu amat mengesankan. Saya dorong supaya dia terus menulis kerana remaja hari ini memang ketandusan kisah-kisah sedemikian kerana dibesarkan oleh televisyen, komputer dan tidak berani untuk keluar rumah (atas sebab-sebab keselamatan). Kisah dan budaya kampung itu wajar didokumentasikan.

Tidak kurang juga dengan penulis-penulis muda yang mencari motivasi dan stamina untuk menyudahkan manuskrip masing-masing. Sesungguhnya memulakan penulisan novel itu boleh jadi mudah. Tetapi mencari kekuatan untuk menyudahkannya boleh jadi lebih hebat lagi dugaannya.

Seperti selalunya, saya tidak pernah mengharapkan bahawa akan lahir penulis daripada sebarang bengkel. Saya percaya bahawa penulis itu lahir kerana kekuatan yang ada di dalam dirinya. Bengkel-bengkel seperti ini sekadar merangsang pembentukan penulis.

Tidak ketinggalan, dua orang peserta dari Singapura yang turut sama berkongsi pengalaman. Katanya, di Singapura pengalaman berbengkel amat berlainan sekali. Ada juga penceramah yang menyampaikan bengkel penulisan kreatif ala-ala kuliah di universiti. Hmm... saya harap saya tidaklah begitu. Dan mereka berdua menafikannya dan berasa bahawa saya telah dapat sampai ke aras pemahaman mereka.

Ya, bukan mudah untuk menerangkan sesuatu kepada kelompok khalayak yang mempunyai aras penerimaan maklumat yang berbeza-beza. Puas juga 'bersilat' untuk memastikan tidak ada yang rasa tertinggal ataupun terasa seperti saya mengulang perkara yang sama. Pun, sejak awal saya sudah tegaskan bahawa kepada sesiapa yang pernah mendengar apa yang telah saya katakan, anggaplah itu sebagai suatu pengukuhan. Jika terasa perkara itu suatu ilmu baharu, anggaplah saya ini sekadar menyampaikan ilmu yang sesungguhnya milik Tuhan. Saya sekadar berkongsi apa yang saya tahu. Selebihnya, ialah kekuatan setiap peserta menanggapi dan menerima dengan pemahaman yang tersendiri.


p/s : anak-anak saya juga agak kecewa di kolam mandi kerana baru beberapa minit main air, hari pun hujan lagi... Tetapi itu sahajalah

Ulasan

Catatan Popular