Sabtu, Mac 08, 2008

Malasnya nak mengundi!

Saya memang tak boleh mengubah dunia. Saya memang tak boleh mengubah banyak perkara. Saya tak fikir bahawa undi saya pun dapat mengubah apa-apa.

Apatah lagi, calon-calon di kawasan saya sama ada yang pro pemerintah semasa ataupun pembangkang kedua-duanya memualkan. Tak senereh, kata orang Negeri Sembilan. Saya terasa seperti sangat membuang masa untuk pergi mengundi pagi ini. Kalau ada calon bebas, barangkali saya akan undi dia juga.

Malang sekali, calon-calon kali ini tiada ketokohan sebagai wakil rakyat. Benarkah dia boleh mewakili rakyat di kawasan ini? Saya malas nak undi tunggul kayu - kalaulah dikatakan 'letak tunggul kayu pun boleh menang'. Tapi, alternatif yang diberikan langsung tidak meyakinkan.

Ah! Malasnya nak keluar mengundi!


****

Saya memang mual dengan orang-orang politik. Apatah lagi politik di Malaysia yang sangat tidak matang. Bergaduh mengalahkan budak 5 - 6 tahun. Dia kata dia, dia kata dia. Anak-anak saya bergaduh pun lebih standard dan lebih matang daripada ahli-ahli politik yang berbalas-balas kata.

Bosan!

Pun, saya teringat sewaktu saya menyertai pilihan raya kampus lama dulu. Ya, Nisah Haron pernah jadi ahli MPP walaupun peringkat kolej. Itupun kerana nak tolong kawan. Saya memang jadi tuan puteri. Dia uruskan borang saya. Dia aturkan itu dan ini. Saya diminta bertanding untuk parti pro pemerintah. Di UKM namanya Tindakan Siswa Bersatu (TSB).

Saya setuju dengan beberapa syarat. Saya kata, kalau saya menang, satu tak mahu diberikan jawatan-jawatan feminis seperti Biro Hal Ehwal Siswi atau yang seumpama dengannya. Kalau beri juga setelah saya memang, masa itu juga saya letak jawatan!

Nak dijadikan cerita, tahun itu (1995) daripada 11 jawatan, 5 dimenangi TSB dan 5 dimenangi pihak satu lagi. 10 calon teratas sudah pun diumumkan. Ketika itu, nama saya belum dipanggil. Pun, saya tak yakin saya boleh menang. Apatah lagi, saya bukannya dikenali ramai sewaktu di kolej. Saya lebih gemar bersendirian daripada jadi orang bodoh berpolitik.

Namun, kerana mahukan pengalaman menyertai pilihan raya, saya bersetuju. Lagipun, mereka ketiadaan calon yang punya CGPA yang melayakkan mereka untuk bertanding. Biasalahkan, yang cakap banyak memang ramai, tapi apabila bab-bab CGPA ramai juga yang sangkut!

Paling menarik, calon yang mempunyai undi ke-11 tertinggi ialah saya. Pada waktu itu, saya sedang membaca novel David Eddings. Punyalah tak kisah kalau saya memang ataupun tidak. Kalau tak menang pun, saya ada banyak kerja lain yang boleh saya buat pada ketika itu. Kalau memang memang bertambah kerja.

Oleh sebab saya jadi tiebreaker, saya mendapat 'kuasa' lebih berbanding kawan-kawan saya yang 5 orang lagi. Saya pun katakan kepada bakal YDP : janji tetap janji. Saya lebih ada suara. Saya tak mahu jadi Bendahari - leceh uruskan duit. Jadi, dia tawarkan saya jawatan Setiausaha JAKSA.

Saya setuju sebab sebagai Setiausaha saya ada kuasa untuk memanggil mesyuarat ikut masa saya. Kalau pada waktu hendak menyuarat, saya mesti lapang dan orang lain kena ikut waktu saya. Lagipun, jika ada sebarang pengundian dalam mesyuarat, undi itu mesti solid sebab 6 lawan 5. Tak boleh pecah undi. Hahaha, ramai juga yang berbulu tapi pada ketika itu saya memang nak kenakan semula orang yang mahu saya jadi calon itu.

Sebagai wakil pelajar, ya saya tetap ambil tahu masalah pelajar. Kebanyakannya bukannya masalah luar biasa pun. Kalau setakat air tak ada, bukan masalah JAKSA. Itu masalah Kolej. Pihak pengurusan kolej yang sepatutnya uruskan. JAKSA sekadar tukang beritahu masalah pelajar. Hendak memperjuangkan hak pelajar pun, hak apa lagi yang telah dinafikan. Tugas pelajar ialah belajar bersungguh-sungguh dan berfikir. Kalau itu pun tak boleh nak buat, memang pelajar telah buang duit rakyat yang tanggung biasiswa mereka. Jadi, usahlah sibuk nak berpolitik kalau ilmu sedalam buku lali kaki itik.

Lagipun, saya percaya mereka yang bertanding ataupun menang pilihan raya kampus belum tentu telah menempa jalan untuk karier politik tanah air. Sebagai orang yang banyak cakap saja, mungkinlah. Tapi isinya entah apa-apa.

Perasan tak, selalunya yang menang MPP di kampus ialah mereka yang ada rupa. Kalau tampan dan lawa memang ada peluang menang. Apa tidaknya, kita yang tak peduli siapa calon ni (sebab ada banyak lagi kerja yang hendak dibuat) memang akan main pangkah saja waktu mengundi. Kalau dah tak tahu siapa yang hendak diundi, tengoklah gambar yang disediakan di atas kertas undi. Agak-agak handsome, atau lawa, bolehlah tu! Sudahnya dalam MPP bukannya mereka yang boleh buat kerja sangat, harap lawa saja.

Lagipun MPP bukannya ada apa-apa pun, setakat menambah aktiviti pelajar. Itupun saya hairan mengapa ramai pelajar yang sangat taksub akan hal-hal politik yang sangat memualkan ini.

Ah! Saya masih malas hendak pergi mengundi.

9 ulasan:

JahRera berkata...

salam Nisah Haron,

Ayat membuat saya tersenyum hari undi ini "kalau ilmu sedalam buku lali kaki itik"
...buku lali kaki itik juga dapat nama hehehe!

Tanpa Nama berkata...

Kalau rasa malas nak mengundi cuba lihat Blog Rembau Hari Ini di http://rembau-hari-ini.blogspot.com

NorziatiMR berkata...

Hahahaha... teringat-ingat juga zaman dulu. Jadi tukang pasang muka calon dan panjat-memanjat sambil edar risalah dan propaganda. Sebijik macam pilihanraya umum. Bila kerajaan masuk campur dalam kampus, semua bertukar. Suasana berbeza. Tetapi ia kenangan yang cukup indah.

Rai berkata...

Salam,

Masa di UM dulu saya pun hampir2 jadi tuan puteri.Di fakulti saya telah diaturkan supaya tak ada pertandingan.Pukul 9 pagi nak penamaan calon, 9 mlm sebelumnya baru wakil rakyat yg lepas jumpa saya.Saya jerkah dia balik-saya tak suka budaya2 bergambar pakai blazer dan tegak berdiri mcm kena karan setiap kali menyambut VIP2 universiti.

mardhiah berkata...

Eh Nisah ni siapa yang tak mau jadi YB, kerja bukan susah sangat pun, dapat gaji paling koman RM5,000.00 plus elaun, dapat jalan sana, jalan sini, salam sana, salam sini, lambai sana, lambai sini, arah sana arah sini. Kalau telah berkhidmat melebihi 3 tahun dapat pula pencen.


Pendek kata jadi YB ni tidaklah sesukar manapun, kalau di Melaka inilah, sebab semua jentera kerajaan Negeri memang efficient. Tetapi sebelum dicalonkan itu ada payah sikitlah, memang kena kerja keras, terkadang tu, kita kena keluar duit poket sendirilah pula. Rumah kita jadi rumah orang, itu yang tak siok tu. Itu kalau kita mau main politik bersihlahkan.


Tapi kalau mau main lobi-lobi main politik wang itu agak senang. Kita pergi sahaja pada orang yang tertentu, bagi tau, sumpah setia mau berkerja dan turut perintah mereka, then semuanya beres.


Tapi yang susahnya pula bila lepas jadi YBlah. Kita kena jadi pak torot. Dalam ertikata lain jadi YB pupet, tidak ada kuasa untuk merubah keadaan.

the legend berkata...

tu la dia...

undi tetap undi...
macham mana pon, kena pi la...

so, nanti ada program kat DBP kan? pada 22hb nie...

saya ada dapat jemputan

Rem berkata...

Ahhhh.. entri Nisah ini sungguh membuat saya digamit nostalgia! Semua yang Nisah tulis itu -- saya boleh bayangkan. Sangat-sangat. Terutama bawa undi lawa tak lawa. :)

Saya pun dulu pernah terlibat juga pilihanraya kampus ni. Jadi calon dan menang. :) Macam Nisah, saya juga bertanding di peringkat kolej kediaman. Nilah dia mantan Presiden Kolej Za'ba (UM) 92/93. Ha ha ha ha!

Tak taulah di UKM. Tapi kalau di UM masa zaman saya, politik kepimpinan kolej lebih digeruni daripada peringkat kampus. MPP walaupun dikata wakil universiti, mereka sebenarnya tak ada 'rakyat' pun. Sebab semua pelajar yang tinggal di kolej akan setia pada pimpinan kolej masing-masing. Yang tinggal di luar pula (kalau di UM zaman saya) -- hampir 90% dikuasai oleh PUSPITA (Persatuan Pelajar Luar Kampus).

So, kerja MPP hanya buat demonstrasi dan buat pesta konvo (setahun sekali). Kekadang diorang tu cuba juga nak menguasai kolej dengan cara menghantar 'calon-calon' tunggangan mereka -- tapi saya fikir itu tak pernah berjaya di kolej saya. Bahkan usaha itu juga gagal di kebanyakan kolej.

Tapi sekarang ini dah lain. Kolej dan MPP dah jadi satu pimpinan. MPP dah berjaya tawan semua kolej. So, kalau MPP dari parti pro-pemerintah (Mahasiswa Bersatu), maka iklim kolej pun jadi lebih liberal. Kalau parti pro-PAS (NADI) yang menang peringkat kampus, kolej-kolej pun akan condong ke arah itu.

Saya fikir penglibatan dalam aktiviti begini masa di kampus dulu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kita -- dari segi kecelikan politik. Satu perkara yang saya belajar daripada era kepimpinan pelajar di kampus: menjadi super idealis bukanlah cara terbaik untuk memperjuangkan nasib orang-orang di bawah kita!

Biasalah kita masa tu. Darah muda. Kerjanya asyik nak melawan. Sikit-sikit nak tunjuk daya idealisme! Bila fikir balik sekarang, arggghh....

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum, Kak Nisah...Setuju tak kalau saya katakan bahawa pelajar perundangan perlulah tidak terlibat SAMA SEKALI di dalam dunia politik memandangkan sifat undang-undang itu sendiri yang perlu bebas dari sebarang pengaruh luar? Baiklah, maksudnya disini tidak terhad kepada pelajar undang-undang semata-mata tetapi mereka yang bergelumang juga dalam arena perundangan. Komen Kak Nisah?

Kak Nisah mengatakan bahawa "MPP bukannya ada apa-apa pun, setakat menambah aktiviti pelajar"..Pendapat Kak Nisah saya setuju, tetapi saya dapat merasakan bahawa perlunya perwakilan dalam kalangan pelajar itu sendiri dalam usaha memperjuangkan hak-hak mereka. Malangnya apa yang saya lihat,perwakilan pelajar sekarang ini langsung tidak ada tanda-tanda memperjuangkan sesuatu yang memberikan impak besar kepada pelajar itu sendiri. Balik-balik dengan aktiviti yang dianjurkan..Adakah ini sahaja tugas sebenar mereka sebagai perwakilan pelajar? Pendapat Kak Nisah diperlukan..

Oh ya, bagaimana pula dengan PERUNDANG? Apakah aktiviti-aktiviti yang Kak Nisah ingat sehingga ke hari ini? Ataupun ada sesuatu pembaharuan yang dilakukan oleh PERUNDANG, UKM ketika zaman Kak Nisah?

Sekian,

~pioneer

KiaMBanG berkata...

Salam..Puan Nisah

Tersenyum sungging saya membaca entri puan kali ini. Teringat waktu rakan saya dipujuk untuk bertanding kira-kira 4 tahun yang lalu. Kampus kami kecil sahaja, tiba-tiba kami dihabarkan semua calon menang tanpa bertanding. Hebat! Kagum! Menyesal pulak tak bertanding hehehe. Saya sekadar penyumbang idea semasa rakan diminta membentangkan manifestonya. Ilmu yang sedikit itu dikongsi bersama. Hasilnya ucapan pendek rakan saya mendapat tepukan gemuruh.

Sekarang saya menyaksikan pelajar-pelajar saya pula bertanding. Semalam tarikh pilihanraya kampus kami. Sedang sibuk bersiap untuk ke kelas, kedengaran bunyi hon kereta dan motorsikal yang membingit. Rupanya semua calon MPP berarak keliling kampus. Tak ketinggalan yang berbasikal. Gah sungguh rupanya tapi tugas sebagai pelajar selalunya terpinggir dek sibuk berkempen. Maaf ye puan, seronok pulak mengomel di laman puan ni hehe. Hingga ketemu lagi.

Related Posts with Thumbnails