Membina Jati Diri Melalui Blog


Dari kiri : Dr. Marzuki Mohamad (UIAM), Azwan (Moderator), Dato' Seri Dr. Khir Toyo & Nisah Haron

Topik : Cabaran dan Harapan Generasi Baharu - Dunia Siber : Fakta atau Fitnah

Malam tadi saya menyempurnakan juga undangan daripada pihak Majlis Belia Malaysia yang menganjurkan Konvensyen Belia Kebangsaan 2008 di Kuala Lumpur. Secara kebetulan, saya ang mendapat tajuk yang sama untuk disampaikan di Seremban dan juga di Kuala Lumpur.
Namun, Konvensyen Belia Kebangsaan 2008 terasa lebih menyeronokkan apabila satu tajuk yang sama diberikan kepada ketiga-tiga orang panel. Oleh itu, tajuk tersebut dapat dikupas dengan lebih mendalam.

Secara umum tajuk tersebut terasa seperti agak skematik. Tetapi, terpulanglah kepada panel untuk menyemarakkan tajuk tersebut.

Saya diberi mandat untuk membuka gelanggang dengan memperkatakan fungsi blog secara umum dan keperluan itu harus dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh golongan remaja. Saya turut menyeru supaya mereka menyambut perkembangan dalam dunia teknologi maklumat ini dengan positif. Blog boleh menjadi medan yang kukuh kepada golongan remaja untuk menyalurkan pendapat dengan yakin di samping mengasah kemahiran menulis.

Saya turut menegaskan bahawa untuk menguasai kemahiran penulis, pemilik blog haruslah banyak membaca dan tidak segan-segan untuk membuat kajian (research) sebelum satu-satu entri itu ditulis. Ini memandangkan bahawa menulis entri ini bukan sekadar luahan perasaan yang kosong maklumat dan dangkal isi. Melainkan blog yang dibina itu bersifat surat terbuka dan tempat menyatakan perasaan semata-mata. Pun, alangkah ruginya bangsa kita jika bloggers, khususnya yang berbangsa Melayu, menggunakan blog hanya untuk tujuan tersebut, ataupun sekadar mahu menarik perhatian (untuk mencari pasangan, barangkali), ataupun tempat melambakkan e-mel yang telah dimajukan oleh 1000 orang lain.

Dan tentunya, saya menegaskan tentang penggunaan bahasa yang baik dengan menghormati bahasa tersebut dalam tulisan, iaitu menulis dengan ejaan yang sempurna (bukan dengan ejaan SMS), cuba sebaik mungkin menjaga tatabahasa dan memastikan bahawa tulisan tersebut dapat menyampaikan kasad dan maksud yang mahu disampaikan.

Dr. Marzuki Mohamad, sebagai ahli akademik pastinya melihat tajuk itu dari sudut yang lebih ilmiah. Beliau berpendapat blog sebagai medan alternatif dalam menyampaikan pandangan dan perbezaan ideologi merupakan penambahan kepada medan sedia ada selain media cetak dan media elektronik. Beliau menumpukan kepada isu Malaysiakini-Raja Petra dalam kertas kerja tersebut.

Akhir sekali, Dr. Khir Toyo, yang dipanggil sebagai mantan Pengerusi Majlis Belia Malaysia dan kini juga seorang blogger, agak senada dengan apa yang telah saya perkatakan. Beliau menyebut bahawa blog sedikit sebanyak telah mengikis jati diri kita sebagai orang timur. Jika kita lambat sedar, jati diri itu akan hilang dalam tempoh yang terdekat. Beliau mengambil contoh komen-komen yang seringkali tidak beradab, penggunaan kata-kata kesat tanpa ada sebarang isi yang mahu disampaikan. Komen-komen yang sarat emosi itu pula ditulis dengan tulisan yang tidak jelas sama ada mahu berbahasa Melayu, Inggeris ataupun Cina. Juga dengan ejaan yang tidak sempurna akibat pengaruh SMS. Ini jelas berbeza jika dibandingkan dengan komentar dari mereka yang berbangsa Cina ataupun India yang lebih berhemah, menjaga bahasa (sama ada bahasa Melayu ataupun Inggeris) dan hujahnya bernas dan menepati entri (tidaklah melalut-lalut kepada hal yang tidak sepatutnya).

Secara keseluruhannya, peserta kelihatan memahami apa yang cuba dibawakan oleh panel. Cuma adakalanya saya berasa lucu dengan soalan-soalan yang agak 'skema' daripada wakil-wakil MPP IPT yang masih pekat idealisme sebagai mahasiswa.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
salam nisah, tahniah kerana diberi peluang utk mengupas isu blog. Saya bersetuju dengan sdr bahawa 'blogger' wajar membuat kerja rumah sebelum menulis di blog. Cuma kadang-kala 'blogger' tidak punya ruang waktu & kesempatan untuk itu semua. Dan tidak semua 'blogger' mampu memberi 'input' kepada khalayaknya.

Kak ina masih baru di ruang siber ini. Mohon tunjuk ajar andai ada yang tidak kena. Mohon izin juga untuk buat pautan ke laman kak ina ya.
iSunik berkata…
Agak menarik perbincangan yang dibawa oleh Forum yang Cik Anisah sertai. Samada fakta atau fitnah, saya fikir perkembangan dunia blog ini juga membantu perkembangan bahasa itu sendiri. Saya bukannya futuris yang boleh mengagak halatuju bahasa di Malaysia ini, tapi saya yakin ianya satu yang positif sekiranya kita ingin lihat bahasa itu relevan dimasa akan datang.

Bahasa yang digunakan sudah pasti akan terus berubah, boleh mengupas ide baru dan semestinya boleh menyampaikan maklumat yang difahami oleh orang yang membaca.

Saya tertarik mengenai bahasa ini bila cuba mempelajari bahasa-bahasa di Eropah dan saya dapati pada bahasa-bahasa ini ada kesamaan yang ketara dari segi perkataan dan nahunya antara satu sama lain. Namun kerana perbezaan cara hidup, tutur kata dan keadaan sekililing, bahasa yang asalnya satu terus berkembang menjadi beberapa bahasa dunia.

Saya fikir dunia internet ini boleh membantu perkembangan bahasa kita. Saya harapkan ianya dapat menambahkan lagi kekuatan bahasa kita, bukan sahaja dalam tulisan-tulisan kreatif, tetapi juga untuk tulisan-tulisan ilmiah yang boleh membincangkan ilmu-ilmu dan penemuan-penumuan baru.
'Sama ada fakta atau fitnah'--hal ini pada saya timbul kerana blog itu sendiri tidak dimiliki oleh mana-mana organisasi yang mempunyai struktur yang tersusun dan teratur. Tiada 'check & ballance', tiada siapa yang boleh mengawal pemaparan entri di blog selain pemiliknya semata. Jika pemiliknya tiada pendinding yang mengawal selia setiap entri maka segala jenis fakta dan 'auta' akan terhambur di laman blog. Kadang2 ada yg semata bermaklamat untuk menambahkan hit pada blog mereka.

Kerana itu blog menjadi sebuah organisasi medianya yang tersendiri. Oleh kerana terlalu banyak organisasi ini di talian, maka masing2 mahu merebut audiens. Akan buat apa sahaja, termasuk juga menzahirkan sesuatu yang di luar kebiasaan.

Sewajarnya Bloger perlu dinaungkan di bawah satu persatuan atau sebuah badan tertentu. Maka yang tidak bernaung itu, automatik menjadi bloger yang tidak berkredibliti.

Pandangan saja... :)
zubin berkata…
wow, menarik forum yang diadakan. Nampaknya akhirnya menyedari akan hakikat arus global yang tidak dapat ditahan-tahan. Mungkin sewaktu menjadi menteri, lupa untuk mendengar apa yang dikatakan oleh masyarakat sekeliling, sudah terhantuk tersungkur baru nak tenggadah (tak tahu betul ke ejaan tu, dah lama tak pakai perkataan tu). Tapi rasanya mengadakan forum itu sendiri adalah sebagai suatu langkah errr safety measure? baru nak mengenali khalayak, terutamanya generasi baru. Dan rasanya fenomina cycer ni bukan hanya ada pada orang muda tapi juga orang tua, yang pastinya, ada komputer, ada internet dan ada waktu. And it is certainly an important media, just like any other media. Malah orang media di agensi pengiklanan sudah lama mengamalkan pengamatan mereka, but the government is still blurrrr!

Hujah2 yang ditampilkan oleh pembicara sepertinya hujah2 kerajaan untuk mengekalkan jati diri identiti dsb, suatu agenda nasionalis, and that's problematic at this point, it is the politics of the 1960s and it is dying very fast and we really need to bangun dan berfikir kembali, cubalah pemimpin kita membaca buku2 terbaru, samuel hutingto, keniche ohme, Fareed Zakaria etc. Banyak mereka masih terkandas di dalam kajian politik semasa belajar di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan dan sudah ketinggalan zaman. Jangan marah, saya pun dari situ-situ juga, tapi kita perlu ilmu baru tanpa ada rasa untuk mempertahankan tembok besar kita, kesombongan dan keangkuhan!

the answer is we are part of global system, if we ambrace that, we have to understand all that. Maaf, bahasa saya bercampur aduk kerana sistem pelajaran saya di Malaysia yang begitu carca marba!

Catatan Popular