Sabtu, Mei 31, 2008

Saat-saat Bercumbu dengan Sungai Muar


Saya baru pulang dari aktiviti sastera yang terkini - Bengkel Penulis Muda Johor yang diadakan di Muar (27-29 Mei) yang lalu. Seperti biasa, setiap kali pulang daripada memberikan ceramah, semangat ataupun tip-tip kepada calon penulis, saya yang seringkali teruja dan mendapat inspirasi baharu untuk menulis.

(Gambar kanan : Matahari ghurub di muara Sungai Muar)

Dalam bengkel kali ini, untuk keluar daripada bengkel yang terpengaruh dengan aspek 'pengkuliahan' dan monotonous, penganjur telah menyelitkan satu program 'Menyusur Sungai Muar' pada awal pagi hari kedua. Menyusur sungai ataupun river cruise ini bukanlah satu pengalaman yang biasa dilalui semua orang. Walaupun segmen ini mengambil masa 2 jam daripada keseluruhan waktu ceramah dan bengkel, namun saya fikir ada banyak yang dapat dimanfaatkan peserta yang mahu 'bersatu dengan alam' ataupun sekadar mahu mendekatkan diri kepada-Nya.

Alhamdulillah, aktiviti menyusur Sungai Muar ini dapat menyedarkan banyak hal seperti membina sikap sayangkan alam sekitar, mengenali flora dan fauna (ramai juga yang tak kenal batang nibung, pokok sagu hatta pokok bakau yang tumbuh meriah di tebing sungai). Sukar sekali untuk digambarkan pengalaman ini. Apatah lagi, kali terakhir menaiki bot ialah sewaktu masih berada di sekolah rendah, menaiki bot ke Pulau Besar, Melaka. Seronok memang seronok, sebab setakat ini, saya tidak mabuk laut/sungai.

(Gambar kiri : Jambatan kedua Sg. Muar)

Sewaktu sedang duduk menikmati perjalanan bot dengan kelajuan 6 knot, seekor rama-rama kecil melintas di sisi kiri bot (saya duduk di tepi sekali pada bahagian yang sama). Pertama sekali, saya terkejut kerana seekor rama-rama sekecil itu berani berada di tengah-tengah sungai. Minda saya terus membayangkan kelelahan serangga kecil itu melintas sungai yang luas. Mampukah dia?

Terlintas untaian kata di minda tanpa dipinta. Jemari pantas mahu mencatatkan sesuatu. Sayang sekali, saya terlupa membawa pen dan kertas/buku catatan, kerana saya hanya bercadang mahu menikmati keindahan alam. Mungkin apabila pulang nanti, barulah saya rakamkan sesuatu dengan tinta. Tetapi, untaian kata yang hanya singgah sekali itu, tidak dapat saya lepaskan begitu sahaja. Dengan telefon bimbit, ibu jari saya terus menari di atas kekunci telefon :-

Seekor rama-rama yang basah sayapnya
dipercik air Sungai Muar
ialah aku yang gelintar
mencari cinta-Mu


(Nisah Haji Haron, 28 Mei 2008, Hak cipta terpelihara)

Pun, ini bukanlah bermakna kita harus keluar melihat alam barulah ilham datang. Saya tidak berapa percaya bahawa ilham itu mesti dinantikan sebegini. Ini hanyalah satu kes yang agak terpencil bahawa ilham kebetulan datang sewaktu kita tidak terlalu mencarinya. Selebihnya, harus ada usaha daripada pihak kita sendiri untuk mendapatkan ilham ataupun inspirasi menulis.

Saya tidak pasti sama ada sajak ini akan diperpanjangkan ataupun akan saya muatkan dalam mana-mana karya prosa yang akan datang. Yang pastinya, sajak ini sudah dianggap 'terbit' kerana saya sudah berkongsi sajak itu dengan peserta bengkel (sebagai contoh bahawa alam dan sifat diri yang suka berfikir, akan menerbitkan bahan untuk ditulis) dan juga sajak ini sudah terbit dalam blog ini.

Saya berprinsip bahawa karya yang terbit di mana-mana media cetak mestilah tidak pernah terbit ataupun dilihat oleh sesiapa pun, waima dalam blog ini sekalipun.

Memang seronok berbengkel, apatah lagi apabila pesertanya terdiri daripada kalangan calon penulis yang sedang kuat semangat. Harapan saya semoga komen dan kritikan itu tidak akan melunturkan semangat.



Gambar : Cenderamata disampaikan oleh Tuan Haji Jama' (Pengarah YWJ)

Untuk laporan atur cara dan beberapa gambar sekitar bengkel, boleh rujuk ke laman salah seorang peserta - Rina & juga di entri keduanya

Juga di laman Diana.

Ustaz Ahmad Nawawi juga menulis tentang Bengkel ini daripada perspektif dirinya.


5 ulasan:

Rina berkata...

hehehe... saya tulis blog macam buat laporan ya? itu laporan main-main aje.

Baha Zain berkata...

ASM Sdr Nisah,
Tidakkah rama-rama lebih berdaya daripada gajah yang terpaksa melenjunkan dirinya untuk ke seberang sungai.Mohd Ali sewaktu bertinjau menari-nari seperti rama-rama sehingga tak berdaya ditinju oleh
Frazier. Cintailah alam seperti kita mencintai diri kita sendiri.

Nisah Haji Haron berkata...

Rina,
Ada banyak cara menulis entri di blog. Bentuk laporan juga salah satu cara untuk menyampaikan maklumat kepada pembaca :-)

Dato' Baha,
Adakalanya kita terleka dan memperkecilkan daya seekor rama-rama. Sedangkan kudrat yang dikurniakan Tuhan itu pelbagai. Sedangkan seekor gajah yang dirantai kakinya pun tidak berdaya untuk melepaskan diri, walaupun dirinya jauh lebih gagah daripada rantai itu.

Penyair dan alam tak mungkin dipisahkan.

Serunai Faqir aka SF berkata...

Kampung aku memang Nisah, terima kasih kerana promosi. :)
Sayang aku tau pun bengkel itu diadakan bila. Emmm

Dr WaN - KD berkata...

assalamualaikum... kak nisah apa khabar. diharapkan sihat selalu. macam mana.... dah ada idea nak terbitkan novel baru....
saya masih lagi dalam proses menulis manuskrip novel pertama saya.... rasa tak sabar nak tunggu novel tu siap.... tapi saya rasa bingung kerana.... ayat yang saya gunakan agak pelik seperti membuat karangan sedangkan saya menulis novel....

1) ada tips tak nak perbetulkan keadaan tersebut?

Related Posts with Thumbnails