Siri Undang-undang 1 : Mahkamah Keadilan Antarabangsa

Tajuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa merupakan judul yang saya pilih untuk latihan ilmiah sewaktu dalam tahun akhir di Fakulti Undang-undang, UKM. Ketika itu, belum ada sesiapa yang menulis tentang tajuk ini. Lalu, saya memilih untuk menulis latihan ilmiah saya dalam Bahasa Melayu. Saya menerima banyak kritikan daripada warga akademik kerana tajuk ini dikatakan lebih sesuai ditulis dalam Bahasa Inggeris. (Ketika itu, di Fakulti Undang-undang kami ada pilihan sama ada mahu menulis latihan ilmiah dalam Bahasa Melayu ataupun Inggeris.)

Namun, saya berkeras dan pensyarah yang saya pilih sebagai penyelia turut bersetuju dengan rasional yang saya berikan : kita masih kurang bahan bertulis dalam Bahasa Melayu mengenai subjek undang-undang antarabangsa. Ketika itu tahun 1997, isu Pulau Sipadan dan Ligitan juga masih belum diputuskan.

Berikut saya turunkan rencana pendek yang pernah tersiar dalam majalah Dewan Siswa (ruangan Remaja & Undang-undang) sekitar tahun 2006:

MAHKAMAH dilihat sebagai sebuah tempat penyelesaian sebarang pertikaian undang-undang. Namun bagaimana pula jika pertikaian itu melibatkan dua pihak yang berlainan negara. Di mana kes tersebut harus dibicarakan?

Malaysia telah terlibat dengan banyak isu antarabangsa. Antaranya ialah kes perebutan hak Pulau Sipadan dan Ligitan di Sabah dengan negara Indonesia; dan juga kes Pulau Batu Putih, perebutan hak dengan negara Singapura. Selain itu, Malaysia juga terlibat dengan perebutan Kepulauan Spratly bersama-sama dengan China, Taiwan, Vietnam, Brunei dan Filipina.

Peta kedudukan Kepulauan Spratly yang dituntut oleh banyak negara Asia Tenggara termasuk Malaysia

Negara-negara yang bertelingkah akan menuntut hak mereka di satu tempat yang neutral. Dengan yang demikian, sebuah Mahkamah Dunia diwujudkan dan dikenali dengan nama Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice).

Keunikan mahkamah yang ringkasnya dipanggil ICJ ini ialah bilangan hakim ketika satu-satu kes itu dibicarakan. Terdapat 15 orang hakim terpilih dari serata dunia mengambil tempat dalam satu-satu perbicaraan.

Malaysia telah menjadi negara anggota PBB pada 17 September 1957. Semenjak daripada itu, Malaysia banyak mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti PBB terutamanya untuk menjaga keamanan (peacekeeping). Lantaran kedudukan Malaysia yang sedemikian, ia secara automatik menjadi ahli kepada ICJ dan berhak menghantar sebarang pertikaiannya ke sana.

Sehingga kini, terdapat dua buah kes yang dikenal pasti telah dibawa dan akan dibawa ke ICJ. Persetujuan untuk merujuk isu tuntutan Pulau Batu Putih ke ICJ ini dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan rakan sejawatnya dari Singapura, Goh Chok Tong di Langkawi pada 7 September 1994. Pulau tersebut berada 15 kilometer dari pesisir pantai Singapura dan diberi nama Pedro Branca oleh negara tersebut.

Sementara itu, Malaysia berjaya mendapatkan kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan dan ICJ telah mengakhiri krisis selama 33 tahun di antara negara kita dengan Indonesia pada 17 Disember 2002. Keputusan yang memihak kepada Malaysia dengan Majoriti 16 – 1 itu mencatatkan satu lagi sejarah dan pengalaman penting buat Malaysia di dalam mencari jalan penyelesaian secara aman bagi konflik antarabangsanya.

Di dalam kes ini, Malaysia telah diberikan hak kedaulatan pulau-pulau tersebut berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di situ. Antara aktiviti tersebut adalah mengawal pengutipan telur penyu yang telah dijalankan sejak tahun 1914 lagi oleh kerajaan Great Britain. Pada tahun 1933 pula, Malaysia telah mewujudkan taman perlindungan burung di Sipadan dan akhir sekali rumah-rumah api telah didirikan di atas pulau-pulau tersebut oleh Kerajaan British Borneo Utara dan telah diselenggara oleh pihak berkuasa Malaysia.

Hakim-hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa

ICJ membuat keputusan memihak kepada kerajaan Malaysia kerana semua aktiviti yang telah dijalankan oleh Malaysia langsung tidak dibantah oleh Indonesia. Mahkamah juga mendapati bahawa pada tahun 1962 dan 1963 kerajaan Indonesia tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pembinaan rumah-rumah api di Pulau Sipadan dan Ligitan walaupun kerajaan Indonesia menganggap pulau-pulau tersebut adalah milik mereka.

Ulasan

Catatan Popular