Selasa, Mei 06, 2008

Sophie's World <=> Dunia Sophie : Sesat dalam Terjemahan?


Baru-baru ini saya telah mendapatkan senaskhah buku Dunia Sophie (Jostein Gaarder) sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008. Perkara pertama yang saya komen kepada jurujual dari Institut Terjemahan Negara itu ialah, "Halusnya tulisan!" Beliau tidak menjawab komen saya itu sebaliknya menyatakan bahawa buku ini sangat bagus dan bla, bla, bla...

Suasana pesta buku yang sesak menyebabkan saya jadi malas hendak 'bertengkar'. Buku itu langsung saya capai dan membayar harganya. Selain diberi diskaun sehingga 20%, turut dibekalkan beberapa cenderamata lain seperti T-Shirt ITNM, pen dan buku nota.

Meladeni Dunia Sophie sambil berbaring-baring dengan si kecil saya, menyebabkan saya sakit dada. Bukannya angkara si kecil tetapi buku terjemahan ini agak berat (mungkin hampir 1 kg). Isi bukunya tidaklah seberat mana, saya tidak menghadapi sebarang masalah membaca terjemahan oleh Hassan Ahmad ini. Pun, ada beberapa tempat yang saya dapati terjemahannya tidak memberi keselesaan kepada pembaca yang tidak mempunyai akses ataupun kemahiran berfikir dalam bahasa Inggeris.

Tanpa banyak soal buku ini terus mendapat perhatian saya bersama-sama 5 - 6 buah buku lain yang turut dibaca secara serentak.

Semalam saya ke MPH Seremban 2 kerana mahu menebus baucar buku yang akan tamat tempoh dalam seminggu dua lagi. Saya tak berapa pasti mahu beli buku apa lantaran baru sahaja selesai Pesta Buku. Hampir sejam merayau-rayau dalam kedai tanpa mendapat buku yang memuaskan hati. Saya tak mahu menebus baucar itu dengan sebarang buku.

Mata saya tertancap pada sebuah buku - Sophie's World. Cepat diri saya memberi komen: mengapa buku terjemahan dalam Bahasa Inggeris ini tidak saya temui lebih awal (hatta sebelum saya membeli versi ITNM). Ketika bermain-main di halaman buku itu, saya dapat versi dalam Bahasa Inggeris ini lebih menyenangkan pembacaan.

Menggunakan kertas yang ringan (paperback), setting buku juga menyelesakan mata - tidaklah terlalu halus ataupun sesak/padat dalam satu halaman dan tidaklah setebal edisi Bahasa Melayu. Tanpa berfikir panjang buku itu terus saya jadikan buku pilihan untuk ditebus menggunakan baucar.

Pulang ke rumah, saya segera membandingkan buku-buku tersebut secara fizikal. Aduhai, membaca versi Inggerisnya jauh lebih selesa. Bukanlah kerana versi Bahasa Melayunya teruk, tetapi terjemahannya agak kaku dan keras jika dibandingkan dengan versi Inggeris.

Mengingatkan saya sewaktu menjadi pelajar undang-undang dahulu. Saya tidak faham apabila rakan-rakan sekuliah berebut-rebut mahu mendapatkan buku undang-undang yang telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu apabila edisi asalnya berbahasa Inggeris. Saya dapati saya makin keliru jika membaca versi Bahasa Melayu kerana kualiti terjemahannya amat mengecewakan. Ketika membaca akta juga, saya selalunya ada dua versi: satu dalam Bahasa Melayu dan satu lagi saya akan semak menggunakan versi Bahasa Inggeris. Barulah makna setiap perkataan itu masuk akal.

Walau bagaimanapun, saya berasa bertuah kerana kini memiliki kedua-dua versi Sophie's World. Pun, saya menghargai terjemahan yang dilakukan Hassan Ahmad. Bukan mudah untuk menterjemah dan menyampaikan makna yang sama dengan cara ini. Lost in translation biasa berlaku - tetapi pada saya 'kesesatan' dalam terjemahan ini tidak terlalu tersasar. Apatah lagi, kini saya dapat membuat perbandingannya dan dada saya juga tidak sakit lagi ketika membaca buku ini sambil berbaring-baring dengan si kecil saya!

6 ulasan:

John Norafizan berkata...

Salam...
Memang benar kadang-kadang apa yang mahu disampaikan penulis 'hilang' bila ia diterjemahkan... Tetapi bukan senang menjadi seorang penterjemah itu. Itulah mungkin sebab itu saya lebih senang menulis dari menterjemah :)

Dan harap masih lagi tidak terlewat untuk mengucapkan selamat hari lahir (yang ke?) pada kak nisah :)

Tanpa Nama berkata...

Salam Puan Nislah.

Ha ha! Saya ucuma nak komen tentang fizikal buku Sophie's World terjemahan ITNM tersebut. Saya pun sebenarnya sudah membelek-belek dan bercadang hendak beli buku itu semasa PBAKL'08, tetapi saiz tulisannya yang membantutkan niat saya. Saya ni memang dah sedia rabun, bertambah rabun lagi kalau asyik membaca buku bertulisan halus.

Saya memang kurang berkira dalam membeli buku, tapi biasanya rupa fizikal sesebuah buku akan turut mempengaruhi keputusan pembelian saya.

Elok juga saya baca entri ini. Satu review yang berjaya menghapuskan dilema saya (to buy or not to buy..).

Bunnybaby

Jiwa Rasa berkata...

Saya sudah banyak kali terkena pengalaman buruk apabila membeli buku terjemahan. Saya pernah membeli Buku Diari Che Guevara yang kandungannya adalah serius, tetapi saya ketawa seperti membaca buku komedi!

Saya beli buku terjemahan apabila buku asal sukar didapati di pasaran tempatan, ataupun harga buku terjemahan jauh lebih murah.

Berdasarkan pengalaman, lebih baiklah berbelanja sedikit untuk mencari buku yang asal, jika boleh.

Rebecca Ilham berkata...

Salam Kak Nisah,

barangkali salah satu lagi faktornya adalah ia terjemahan atas terjemahan (tapi terjemahan ke dalam bahasa Inggeris sangat baik, jadi tak tahulah saya relevan atau tidak), dua kali 'sesat' gamaknya!

Rai berkata...

Salam Kak Nis Coklat Dendang!

Kalau Kak Nis sakit dada dan yang sewaktu dengannya angkara buku Dunia Sophie ni, saya pun sakit juga.Saya beli buku ni di Kino tahun lepas.Tak dapat diskaunlah masa tu,huhu!Kononnya nak mencabar minda dengan bacaan sarat falsafah begini. Tapi yg jadi ialah kepala saya yang sarat.''Batu besar dalam ada duduk'',bak kata dialog dalam Seniman Bujang Lapok.Bacaan tak menyeronokkan. Saya pun give up,tergeletak saja buku tu di rak.Siapa kata buku yg baik mutunya perlu berat dan menyesakkan kepala,bukan?

Seperti Kak Nis, saya juga jumpa buku asalnya dalam BI beberapa bulan lepas itu.Di gerai buku terpakai,harga 3 ringgit je berbanding dgn 45 ringgit utk buku terjemahan. Laaaaaagi senang nak faham!

Herrmm...pasal tu saya suka terjemahan Indonesia.Harry Potter,LOTR,Da Vinci Code versi Indonesia...tak susah pun nak baca.Enjoy sahaja.Tak ada kesesatan.Hahaha!

Thahirah Jamaludin berkata...

Assalamualaikum..
Teringat kali pertama saya baca sophie's world.. dua atau tiga tahun lepas.. Masa tu baru tingkatan dua rasanya.. huuu.. haruu...
sarat dan berat...
Itupun versi asal..
Agaknya kalau dibaca versi terjemahan laaaagi sarat dan berat.. haha

Related Posts with Thumbnails