Selasa, Jun 24, 2008

Lagi Tentang Tawarikh Cinta



Ini laporan panel hakim HSKU 2007 terhadap novel "Tawarikh Cinta" yang menduduki tempat kedua kategori Novel Remaja :




Karya ini berkisar pada cabaran yang harus dihadapi oleh dua pewaris
kerajaan Ujana Madani, Putera Jauhari Firus dan Puteri Cempaka Wilis. Dalam
tempoh menunggu hari pertabalan Putera Jauhari untuk menerajui tampuk
pemerintahan, mereka diancam oleh kelompok pembelot yang terdiri daripad
agolongan pembesar yang diperkuda oleh musuh dari luar. Di samping itu, mereka
juga dipertanggungjawabkan untuk mencari dan membawa pulang naskhah asal "Kitab
Gemala sakti" yang menjadi lambang keutuhan kerajaan Ujana Madani. Kitab

tersebut dipercayai berada di Temasik.

Ujana Madani dan Temasik ialah dua kerajaan yang wujud dalam dua dimensi
waktu yang berbeza. Pengembaraan Putera Jauhari ke Temasik dilakukan melalui
gapura masa, iaitu suatu unsur fantasi ala cereka sains. Melalui kewujudan unsur
fantasi ini, hukum logika alam realiti diketepikan tetapi diganti dengan hukum
logika fiksyen yang mengabsahkan kehadiran "Kitab Gemala Sakti" dengan sifatnya
yang magis dan tindakan luar jangka yang digalurkan dalam karya ini.

Novel ini memugar subjek siasah dengan menegaskan peri pentingnya kualiti
yang harus ada pada pemimpin dan kepimpinannya. Kualiti tersebut mencakupi aspek
keilmuan, keimanan, kebijaksanaan, keadilan, keperibadian, dan kewiraan.
Pemimpin yang berkarisma sewajarnya memiliki kematangan berfikir, bertindak
secara rasional, merancang secara strategik, di samping bersifat profetik dan
berhikmah. Dengan menampilkan watak-watak remaja yang disaluti kualiti tersebut,
novel ini menawarkan motivasi kepada khalayak untuk memperlengkap diri sekiranya
igin menjadi pemimpin yang berwibawa.

"Tawarikh Cinta" juga mengangkat persoalan kepentingan pengisian ilmu dan
pengamalannya tanpa mengira jantina dan kedudukan. Bagi mendalami ilmu sebagai
pakaian hidup, sumber-sumber yang autentik dan berwibawa perlu dirujuk sebagai
sumber teras.

Selain itu, watak-watak pemimpin unggul dan berjasa perlu direpresentasikan
sebagai watak qudwah untuk diteladani. Dengan mengeksposisikan motif
pencarian "Kitab Gemala Sakti", maka ujaran pencarian ilmu daripada
sumber-sumber autentik dipenuhi. Kitab ini menjadi lambang sebuah gedung ilmu
yang perlu diterokai, digilap, dijana, digemilangkan dan diamalkan untuk
kemaslahatan diri dan masyarakat. Representasi watak unggul seperti Nadim pula
menghadirkan watak teladan yang mencecah tahap genius.

Novel ini menguja taakulan pembaca untuk mentafsir hal-hal yang tersirat.
Penggunaan watak tipa daripada teks sastera sejarah seperti Nadim dan Tun Jana
Khatib bertujuan menuntun remaja menilai semula kesilapan tindakan dalam lipatan
sejarah dengan memanifestasikan sifat bijaksana bagi mentafsir dan mentakbir
sejarah. Keupayaan mentaksir dan mentakbir menguja penerokaan masa lalu demi
kepentingan peradaban. Mesejnya ialah kualiti setiap peribadi perlu dimanfaatkan
sesuai dengan tempat, masa dan keperluan. Kehadiran watak-watak daripada teks
sastera sejarah ini juga mendorong remaja kembali meneliti sastera sejarah yang
semakin dilupakan.

Penggunaan unsur bahasa kiasan, bahasa berirama, pantun dan nazam dalam
novel fantasi ini menghadirkan pengalaman mengapresiasikan keindahan bahasa
Melayu tradisi. Kepelbagaian unsur bahasa ini turut memberi warna dan nafas
baharu kepad anilai khazanah bahasa Melayu. Apatah lagi apabila ada antara unsur
itu merupakan ciptaan baharu yang memperlihatkan ketinggian kreativiti. Aspek
ini berupaya mendorong khalayak remaja bergerak aktif dalam mandala seni
tradisi.




Semoga petikan laporan ini dapat menjadi panduan kepada penulis yang berminat untuk menghantar karya ke HSKU 2008 dan tahun-tahun berikutnya. Laporan penuh panel hakim boleh dibaca dalam naskhah "Wira Mandala Hijau".


Novel Tawarikh Cinta dan Pakej HSKU 2007 telah dijual secara online di http://www.ujanailmu.com.my/. Jika mahukan naskhah berautograf, sila nyatakan hasrat anda dengan menghantar e-mel berasingan kepada webmaster@ujanailmu.com.my.


.

.

.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails