Sabtu, Jun 07, 2008

Manusia Cepat Melatah

Saya memilih untuk menaiki komuter untuk ke Kuala Lumpur baru-baru ini, lantaran lokasi mesyuarat tidak memerlukan saya untuk bertukar tren. Lagipun, ini dapat menjimatkan kos minyak. Ya, saya terpaksa berkompromi dengan masa kerana menaiki komuter tempohnya panjang sedikit daripada memandu sendiri ataupun menaiki bas. Paling menarik, apabila naik komuter saya dapat membaca buku dan melayan fikiran. Banyak hal yang dapat ditulis.

Ini tentu sekali berbeza kalau saya memandu sendiri. Penat sungguh terasa meladeni karenah pengguna-pengguna jalan raya yang lain.

Namun, ketenangan yang diharapkan sedikit terganggu apabila koc pilihan saya itu turut dikongsi dua orang lelaki warga emas berketurunan India. Mereka berdua berbual dengan sekuat-kuatnya sehingga satu koc boleh dengar apa yang mereka bincangkan. Apatah lagi, mereka berbual di dalam Bahasa Inggeris yang pekat bancuhan lidah Indianya. Daripada perawakan mereka, saya menebak gaya mereka itu seperti pesara kerajaan.

Sewaktu sampai di stesen Tiroi, seorang lagi warga yang sebangsa dan seangkatan dengan mereka menyertai koc kami. Perbualan mereka tambah rancak. Apatah lagi, topik yang mereka bualkan tentulah tentang harga minyak, dan kenaikan tarif elektrik. Berita klise yang cukup muak saya mendengarnya. Mereka bertiga pula berbual seolah-olah semua orang salah dan mereka sahajalah yang betul.

Bukankah itu sikap tipikal mana-mana orang yang cepat melatah apabila didatangkan masalah dan bala. Mujur mereka itu bukan Islam. Kalau orang Islam yang bersifat seperti orang tak cukup iman itu, mahu juga saya pergi menegur mereka walaupun mereka itu sebaya dengan bapa saya.

Bimbang saya tidak dapat mengawal perasaan dan tidak mahu rancangan untuk membaca di dalam koc turut terganggu, saya hidupkan pemain mp3 yang memainkan lagu-lagu irama Melayu klasik yang sudah saya simpan dalam peranti tersebut. Suara lunak penyanyi-penyanyi pilihan saya itu dapat menenggelamkan suara pakcik-pakcik India bertiga yang cukup menjengkelkan itu. Di tangan saya, sebuah novel pilihan saya teruskan pembacaan pada bab-bab yang berikutnya.

Setelah sampai ke beberapa stesen, jumlah pengguna komuter meningkat. Suara mereka masih tidak cukup tenggelam. Wajah penumpang yang lain juga membayangkan rasa terganggu dengan diskusi-tak-ilmiah yang mereka utarakan.

Senario ini juga amat biasa jika kita berbual-bual di kedai-kedai kopi di kampung-kampung, ataupun kedai-kedai kopi siber (baca : blog. kopinya tidak dijual, kena bancuh sendiri). Banyak sekali blogger yang melatah dengan senario ini. Hendak dikatakan terkejut dengan kenaikan harga minyak - ya, itu wajarlah.

Namun, yang paling penting ialah bagaimanakah tindakan kita apabila didatangkan satu-satu masalah/bencana/sesuatu yang tidak menyenangkan.

Pilihan manusia yang berfikiran lebih rendah daripada kepala lutut, tentunya menyalahkan pihak lain. Salahkan kerajaan, salahkan parti, salahkan itu, salahkan ini. Sama ada mereka sedar ataupun tidak, tindakan menyalahkan pihak lain ini langsung tidak dapat mengubah apa-apa pun. Malah, mencerminkan peribadi mereka sendiri. Itulah lumrah manusia berfikiran rendah. Saya lihat mereka yang pakar dalam hal-hal lateral thinking juga tidak boleh memberi reaksi yang rasional pada masa ini.

Sebaik-baik sahaja diumumkan harga, reaksi pertama pengguna ialah menghidupkan enjin kereta dan tuju ke stesen minyak terdekat. Mereka yang berjaya mengisi minyak sebelum tengah malam tempoh hari berasa bangga kerana dapat menyelamatkan RM20 - RM30 untuk malam tersebut. Saya percaya, ada yang terlepas sembahyang Maghrib kerana RM20.

Saya melihat bahawa barisan pemandu yang beratur itu ialah manusia-manusia yang mudah melatah dan membiarkan suasana menguasai mereka. Selain tamak dengan keuntungan sekitar RM20 - RM30 itu, macamlah petrol yang diisi itu dapat bertahan 2 bulan. Suka tak suka, esok-esok harus mengisi minyak juga dengan kadar RM2.70 tanpa ada pilihan.

Latah-latah ini berterusan dan menjadi permainan politik juga. Kononnya, ada pihak yang tahu bagaimana mahu menurunkan harga minyak jika dia dapat memerintah. Benar, memang boleh. Hatta kalau nak beri minyak percuma kepada rakyat Malaysia pun boleh. Bukankah Malaysia boleh! Tetapi, pemerintah itu akan menjadi pemerintah yang bodoh. Setakat mengejar populariti di kalangan rakyat, negara pun roboh.

Rakyat juga mudah benar termakan umpan bahawa jika ada pihak yang boleh turunkan harga makanan dan harga minyak, maka parti itulah yang akan menjadi pilihan. Alangkah dangkalnya pemikiran begitu!

Kelangsungan hidup bukan setakat 20 - 30 tahun lagi, malah kita tak tahu pun berapa jauh kehidupan kita yang akan datang. Oleh itu, kita harus melihat dengan lebih objektif.

Berapa pihak yang sudah memikirkan alternatif jika kita kehabisan minyak dalam 30 tahun lagi? Ada parti yang berani buat kenyataan? Yang ada cuma pihak yang mendakwa boleh kurangkan harga minyak dan orang ramai pun bersorak-sorai.

Di Belanda, mereka sudah pun bersedia dengan sumber tenaga daripada kincir angin dengan menggunakan kekuatan angin ribut Laut Utara. Dengan kegilaan angin itu, turbin untuk menjanakuasa elektrik dapat berfungsi dengan lebih baik. Mereka sudah selesaikan sebahagian daripada krisis tenaga. Penggunaan kereta solar juga sudah dikaji secara serius.

Bagaimana dengan kita? Masih mahu berdemo di tempat-tempat awam untuk menyelesaikan masalah? Mencipta satu masalah baharu bukanlah cara untuk menyelesaikan perkara. Begitu juga dengan umpat keji dan keripuhan menyalahkan mana-mana pihak.

Saya percaya bahawa untuk menjadi ummah yang berjaya, setiap seorang daripada kita haruslah bertindak mengawal keadaan dan bukannya dikawal keadaan. Orang yang positif tidak akan melihat semua ini sebagai masalah, tetapi ini ialah cabaran dan juga peluang.

Pada saya, walaupun tindakan saya ini kecil, kenaikan harga minyak akan menyebabkan saya lebih banyak berada di rumah dan berkarya. Jika harus keluar, saya dapat memanfaatkan kenderaan awam. Dengan itu, saya semakin banyak peluang meneliti kehidupan dan juga sikap manusia untuk diabadikan dalam karya. Ini juga tempoh yang baik untuk saya rapatkan barisan dalam keluarga. Boleh juga kurangkan makan di luar dan mengajak anak-anak sama-sama memasak selain mengeratkan lagi ukhwah dan kemesraan.

Bukankah kita semua percaya kepada rezeki. Allah yang memberi rezeki dan bukan hanya dengan kenaikan harga minyak, semua rezeki kita terpadam. Rezeki bukan sekadar bermakna wang ringgit. Konsep rezeki meliputi jauh daripada daripada pemikiran yang dangkal itu.


Jika setiap seorang daripada kita melakukan perkara yang positif, kita akan menjadi rakyat dengan mentaliti kelas pertama. Takkan kita juga sibuk dengan demo dan membakar itu ini seperti sesetengah rakyat India dan Indonesia.

Atau, kita sudah cukup bangga kerana dapat menyelamatkan sekitar RM20 - RM30 pada senja dan malam sebelum minyak naik harga? Hanya kerana tamakkan jumlah itu, kita pun hilang daya untuk berfikir.

Benarlah, kita semakin kehilangan manusia yang mampu berfikir.

Hanya kerana wang.

4 ulasan:

Rebecca Ilham berkata...

Salam Kak Nisah,

kita sependapat. Hari ini saya diprovokasi seorang teman yang mahu saya mengiyakan pendapatnya yang menghentam kerajaan kerana kenaikan harga minyak.

Minta maaf, kerana meski saya memahami keberangan masyarakat atas kenaikan produk asas kehidupan ini, saya juga mempelajari teori ekonomi di sebaliknya inflasi. Pada pendapat saya, inflasi pada masa ini terjustifikasi dengan kenaikan harga minyak mentah (NYMEX hari ini ditutup pada kadar USD134++ per barrel) dan kos penyulingan yang mencanak (pemilik kilang penyulingan jarang-jarang syarikat pengeluar minyak), jadi kalau mahu murah silakan tuang minyak mentah yang belum terasingkan komponennya ke dalam tangki minyak kereta anda.

Saya tidak terlalu bimbang kerana mengikut Hubbert Peak Theory, harga minyak mentah dunia akan merudum setelah mencapai kemuncaknya. Tak mustahil situasi dekad lapan puluhan di mana harga minyak mentah adalah USD10/barrel akan berulang.

Dengan itu, segala projek carigali akan digantung kerana tidak ekonomikal untuk mengeluarkan minyak. Bekalan jatuh, permintaan kekal (atau bertambah, tetapi tidak berkurang) maka harga minyak mentah akan meningkat kembali. It's basic micro-economics. Laws of supply and demand by Alfred Marshall, anyone?

Perlu diingat, inflasi adalah umpama putaran roda, adakalanya kita di atas tetapi buat masa ini kita di bawah!

Azree Ariffin berkata...

Assalamualaikum, Kak Nisah.

Saya merasa cukup tergugah dengan entri kali ini. Pandangan dan lontaran pendapat kak nisah kali ini telah membawa saya memandang isu ini dari sudut yang agak berlainan. Tentulah, apabila dikelilingi oleh insan-insan yang tak habis-habis hendak mengomel panjang tentang kenaikan harga minyak, saya juga berasa rimas. Namun, rezeki datang dari Allah S.W.T., dan musibah yang menimpa kita ini adalah dugaan. Ada hikmah yang tersirat di sebalik setiap dugaan.

Azree Ariffin
teratakku.blogdrive.com

Bunnybaby berkata...

Salam.

My thoughts exactly.

Kebanyakan orang memang sanggup beratur panjang menunggu giliran mengisi minyak pada malam tersebut. Wang boleh dicari, walaupun dengan pelbagai kepayahan. Tetapi masa? Boleh diputar semula ke waktu menunggu yang terbazir itu?

Menuding jari memang amat senang. Cara yang paling mudah dan murah untuk menunjukkan si penuding lebih "superior" daripada yang kena tuding.

M A Sabtu berkata...

Puan Nisah Haron,
assalamu'alaikum.

Ini pertama kali (kalau tidak silap) saya tinggalkan jejak... walaupun sering juga menjenguk lontaran idea dari perspektif seorang berlatar belakangkan undang-undang... (anak ke3 saya yang bertugas di AG itu juga 'menulis' dalam komunitinya)

Benar, manusia terlalu cepat hilang kewajaran apabila 'hak yang bukan hak mutlaknya' diambil kembali!

Betapa ramai yang tidak bertemu mutiara hikmah di sebalik bencana yang menimpa... kerana itu bukan pencariannya.

Kerana di akhir zaman, yang banyak dijumpai adalah kumpulan yang sedikit. Itulah yang pernah digambarkan Nabi Muhammad s.a.w.

Related Posts with Thumbnails