Khamis, Jun 26, 2008

Menulis Untuk Novel Remaja HSKU


Atas permintaan beberapa junior Minggu Penulis Remaja yang mahukan sedikit tips untuk menghantar karya, khususnya novel remaja, ke HSKU; izinkan saya kongsi beberapa pengalaman dalam menulis novel remaja.

*** Nota: Mana-mana pemenang HSKU yang lain juga digalakkan menyumbang dari segi pengalaman - seperti Zaid Akhtar, Faisal Tehrani, Sri Rahayu, Abu Hassan Morad dan sebagainya (sekadar menyebut beberapa nama).

Untuk memahami apakah kehendak penganjur, pengarang digalakkan membaca laporan panel hakim pada setiap tahun. Bagi tujuan tersebut, dapatkan antologi cerpen remaja HSKU. (Ada dijual di www.ujanailmu.com.my) Beberapa tahun kebelakangan ini, laporan tersebut diterbitkan dalam antologi tersebut. Hal inilah yang membezakan novel remaja Bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris. Walaupun sudah dua tahun 'menumpang' di HSKU, masih tiada laporan panel hakim bagi novel Bahasa Inggeris dapat dibaca di mana-mana.

Selain daripada syarat ataupun kehendak yang menjadi aspek penilaian panel, hal-hal lain yang tidak kurang penting adalah seperti berikut :

  • Manuskrip hendaklah dicetak dengan kemas berjarak langkau dua baris, bukan satu setengah; bukan satu baris.
  • Panjang manuskrip hendaklah tidak kurang dari 150 muka surat (dengan jarak langkau 2 baris, kertas A4)
  • Font : Times New Roman atau Arial, bersaiz 12 point.
    Tambahan oleh Zaid Akhtar : "Font tu kalau guna Garamond saiz 13 pun ok juga. Tak meletihkan mata kata editornya."
  • Dijilid dengan comb binding
  • Manuskrip dicetak atas satu halaman sahaja (single sided) - tolonglah jangan hendak berjimat dalam hal-hal manuskrip dengan mencetak atas kedua-dua belah (double sided), walaupun kertas sudah naik harga. Berjimatlah dalam hal-hal yang lain.
  • Dakwat pilihan hendaklah hitam. (khabarnya ada pengarang yang pernah mencetak guna warna selain hitam)
  • Nomborkan halaman
  • Letak judul sahaja pada bahagian hadapan; jika mahu tambah perkataan "Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Tahun XXXX" juga boleh
  • Jangan letak nama pengarang atas manuskrip.
  • Tidak perlu kirim soft copy sehingga diminta oleh pihak urus setia.
  • Sertakan surat iringan - dengan jelas menyatakan bahawa novel ini dikirim bagi tujuan HSKU. Jika tidak mungkin keliru kerana Utusan juga ada sayap lain untuk novel iaitu Tinta Rona.
  • Biodata pengarang juga wajar disertakan sewaktu hantar manuskrip.
  • Boleh hantar secara serahan tangan (by hand) - buat salinan surat iringan (ada salinan pendua) supaya pihak urus setia dapat mengesahkan penerimaan (acknowledgement of receipt) dengan menandatangani ataupun mengecap (rubber stamp) 'UP&D' pada salinan tersebut.
  • Boleh juga hantar guna pos. (Siapa yang pernah guna cara pos, mungkin boleh kongsi pengalaman. Saya belum pernah hantar guna pos.)
  • Tarikh tutup penyertaan pada setiap tahun ialah pada 31 Disember tahun berkenaan. Untuk lebih kepastian, boleh telefon mana-mana urus setia HSKU
Selamat menulis karya sastera berkualiti untuk remaja!


Sesiapa yang mahu mengambil entri ini untuk diletakkan ke dalam blog ataupun groups, silakan. Harap dapat diberi kredit bahawa entri tersebut berasal dari blog ini.
.
.
.

5 ulasan:

Najibah berkata...

Salam K. Nisah,

Wah, betul-betul teruja bila baca entri K. Nisah yang ini. Kata Faisal dalam Karya Nan Indah, kalau mahu menulis, tulislah sekarang! Terima kasih K. Nisah berkongsi panduannya di sini.

SYAMIL BIN A SAMAD berkata...

salam alaik kak nisah

tahniah di atas kejayaan Tawarikh Cinta.saya sedang mencuba untuk mencari buku tersebut di pasaran.

saya peminat setia karya kak nisah dan juga pembaca setia blog ini

hingga sekarang saya terfikir bagaimana kak nisah boleh mendapat ilham untuk menulis 'Puisi Untuk Edsyzuar'.ia terlalu outstanding dan luar biasa saya kira.tahniah sekali lagi

semoga sentiasa dilimpahi Allah ilham untuk beramal melalui penulisan

Amin

Zaid Akhtar berkata...

:-)
Saya nak tambah sikit.
Font tu kalau guna Garamond saiz 13 pun ok juga. Tak meletihkan mata kata editornya.

Jiwa Rasa berkata...

Sdr Nisah,

Tahniah di ats kejayaan. Maaf baru sempat menulis pesan. Moga ini jadi peransang untuk lebih ramai lagi penulis wanita mencipat kejayaan.

Mungkin sdr boleh juga tulis, mengapa buku-buku penulis wanita, yang menang kali ini patut dibaca oleh pembaca lelaki?

Nisah Haji Haron berkata...

Najibah,
Sekadar panduan asas. Selebihnya, penulis itu harus mencari kekuatan tersendiri untuk menghasilkan sesuatu yang baharu.

Syamil,
Buku-buku HSKU akan berada di kedai-kedai buku sekitar seminggu dua ini. Tetapi kalau mahu segera, silalah pesan terus dari www.ujanailmu.com.my. Jika mahu dengan autograf saya, silalah hantar e-mel berasingan kepada webmaster@ujanailmu.com.my setelah membuat pesanan.

Terima kasih, Syamil. Saya teruja dengan semangat yang sdr tunjukkan. Semua yang baik itu, ilhamnya dari Allah SWT jua.

Zaid,
Tambah sikit je? Tambahlah lagi :-)

JR,
Hmmm... adakah itu bermakna seorang penulis wanita harus bekerja keras untuk membuktikan karyanya layak dibaca oleh lelaki dan juga wanita? Saya fikir, novel saya tidak ada gender-bias kepada mana-mana pihak. Istilah cinta dalam "Tawarikh Cinta" sama sekali bukan cinta badaniah dan penuh nafsu nafsi. Cinta yang diutamakan ialah cinta kepada Allah, watan dan sesama sahabat perjuangan.

Insya-Allah, jika ada kesempatan, saya akan cuba tulis sebuah entri khusus kelak.

p/s : JR sudah agak lama tidak kemaskini blog ya. Tercari-cari saya apakah buku yang JR baru sudah khatam :-)

Related Posts with Thumbnails