Khamis, Jun 12, 2008

Pemergian yang amat tergesa


Saya sedang bersedia untuk satu sesi ceramah di Kuala Lumpur ketika panggilan telefon daripada pemanggil yang amat dikenali masuk. Saya segera mengangkatnya.

"Nisah, ada berita kurang baiklah," kata Kak E-na.

"Berita apa?"

"Kak Aya meninggal! Pukul 12.30 tengah hari tadi, di GH."

Dus! Bagai hendak putus jantung saya. Terkejut sungguh.

Siapakah Kak Aya?

Bagi sesiapa yang biasa menge-mel karya ke Dewan Sastera, pasti terjumpa nama ini - Rohaya Mohd Yusof. Dia insan di belakang tabir. Jawatannya Penolong Editor Dewan Sastera. Biasanya, orang akan berurusan dengan Puan Rozninah Abd. Azib (Editor DS, yang saya panggil Kak E-na)), tetapi kalau ada masalah dengan e-mel di Bahagian Majalah DBP, saya akan kirim terus pada arwah.

Orangnya lebih berusia daripada Puan Rozninah, tetapi lebih cekap mengendalikan IT. Sempat juga saya mempelajari sedikit sebanyak hal-hal IT melalui Kak Aya. Banyak juga urusan menghantar karya dapat diselesaikan apabila bertemu arwah, tambahan lagi Kak E-na tentulah sibuk mengendalikan hal-hal seperti berurusan dengan penulis dan sebagainya.

Dia seringkali ceria, gemar bergurau, bersahaja dan paling seronok - memudahkan urusan penulis dengan pihak editorial. Saya fikir kumpulan MPR 2006 dan 2007 yang sempat melawat Bahagian Majalah ada bertemu dengan arwah dulu.

Pun, dari Allah kita datang, kepada-Nya jua kita harus kembali. Pemergiannya amat tergesa-gesa. Saya tidak sempat untuk ke Melaka, tempat jenazahnya disemadikan. Saya hanya mampu berdoa dari jauh : Semoga Allah memberi rahmat ke atas rohnya.

Al-Fatihah.

1 ulasan:

Baha Zain berkata...

ASM Sdr Nisah,
Saya juga turut tenggelam dlm kesedihan pada hari pemergian Allahyarhamah sehingga saya terpaksa mencurahkan kenangan dan perasaan saya dlm sebuah esei yg ringkas dan sajak yang sentimental nadanya. Entahlah apakah akan disiarkan oleh DS nanti saya tak pasti.Nasihat saya sesekali sdr perlu beristirahat dan periksa kesihatan. Kebudayaan kita rasanya tak sanggup kehilangan orang spt Rohaya dan juga sdr sendiri.

Related Posts with Thumbnails