Penyair yang berkata-kata dengan warna


Sudah beberapa kali saya teringin untuk hadir ke majlis Kata-Suara anjuran R A Fine Arts Gallery. Cuma kali ini, saya berkesempatan. Bukan apa, apabila majlis dimulakan sekitar jam 5 petang - di Kuala Lumpur, saya mula memikirkan jam berapakah saya akan pulang ke rumah. Tentulah tak dapat mengelak daripada sampai pada sebelah malam. Jika acara sekitar jam 3 petang, mungkin saya tidak akan pulang selewat itu.

Pun, kali ini saya berkompromi. Tak baik juga hendak membatalkan hasrat penganjur yang telah saya tolak beberapa kali. Saya hadir sendirian.

Mencari R A Fine Arts Gallery di Jalan Aman tidaklah terlalu susah. Alhamdulillah, dengan sekali cari dapat berjumpa. Kehadiran disambut salah seorang AJK (?) penganjur, Sdr Ted Mahsun. Ketika saya sampai hampir-hampir jam 5 petang, masih belum ramai yang ada. Saya dan Pak Samad Said sampai serentak. Masa menunggu yang saya jangka masih berbaki itu, saya manfaatkan terlebih dahulu dengan solat Asar. Ted yang baik telah menunjukkan kepada saya ruang untuk bersolat di dalam salah sebuah bilik urus setia (?), saya kira.

Usai solat, saya sempat berlegar-legar meneliti beberapa lukisan dengan mata yang tidak berapa seni ini. Saya kagum dengan permainan warna para pelukis. Bidang catan dan lukisan ini tidak pernah saya teroka. Sayalah orang yang paling susah hati sewaktu mata pelajaran lukisan di sekolah. Saya tidak pandai bermain warna, mencampur-campurkan warna ataupun mencipta shade tertentu. Bagi saya, apa warna yang ada dalam kotak tiub warna air itulah yang akan saya gunakan. Kalau tak ada warna merah jambu, ertinya saya akan gunakan warna merah. Bimbang kalau saya mencampur warna putih dan merah untuk mendapatkan merah jambu, nanti kalau warnanya habis, belum tentu saya dapatkan warna merah jambu dalam shade yang sama selepas ini. Oh, singkat betul akal saya pada ketika itu.

Namun, sehingga hari ini kekaguman saya terhadap pelukis memang tidak luntur. Saya kagum bagaimana mereka dapat menterjemah perasaan melalui warna dan garis.

Saya juga tidak pasti sejauh manakah bakat boleh diwarisi secara genetik. Arwah ibu saya seorang pelukis yang baik. Sayang sekali, arwah tidak dapat meneroka jauh dalam bidang lukisan. Pun, jemarinya memang jemari seni. Apa yang dipegangnya pasti menjadi, tak kiralah lukisan, gubahan, kait jarum satu dan dua, menjahit dan seskali saya sempat juga jumpa catatan pendek yang ditulis seperti sebuah puisi. Sekiranya dia memang berbakat menulis, barangkali itu sahaja yang dapat saya warisi. Dalam hal-hal melukis, saya sendiri tidak meneroka bidang itu untuk mengetahui sejauh mana saya boleh melakukannya.

Sedikit sebanyak bakat itu tumpah kepada anak perempuan saya yang ketiga - Alang. Dia selalu mendapat tempat pertama dalam lukisannya, walaupun baru sekolah tadika. Dia sabar dan tekun mewarna hampir setiap sudut di atas kertas lukisannya. Gurunya pasti akan memasukkan namanya jika ada pertandingan mewarna. Adakah dia yang mewarisi bakat semulajadi arwah neneknya? Saya akan terus menjadi pendorong. Setiap anak itu ada kelebihannya sendiri.

Di R A Fine Arts Gallery, saya lihat kemesraan yang berbaur antara mereka yang hadir. Menurut Dr. Siti Zainon Ismail yang turut hadir memperkatakan buku "Gemuruh Alam", apa yang berlaku di galeri itu merupakan sesuatu yang dibayangkan berlaku di Balai Seni Lukis Negara. Sayangnya, institusi besar itu cuma gah berdiri di Jalan Tun Razak. Di R A Fine Arts Gallery, rohnya lebih terasa.

Pak Samad sebagai tokoh yang diundang khusus bagi melancarkan kumpulan puisi "Gemuruh Alam" karya pelukis/penyair Mustapa Hj Ibrahim, juga gembira dengan kelahiran buku tersebut. Mustapa yang diam, menurut beberapa tokoh seangkatan, lebih petah 'berkata-kata' melalui warna dalam lukisannya.

Seperti selalunya, saya menggemari puisi karya penyair/pelukis seperti A. Latiff Mohidin dan juga Dr. Siti Zainon Ismail (gambar kiri). Pilihan kata-kata mereka berbeza dengan penyair yang tidak ada latar belakang lukisan. Berbeza bagaimana, sukar sedikit untuk saya perkatakan. Harus membaca kedua-dua karya mereka yang dari latar belakang berbeza ini.

Saya merupakan tetamu terakhir yang membuat persembahan pada petang itu. Lantaran dikejar waktu yang kian suntuk dan Maghrib yang mahu lekas tiba, saya sempat menyampaikan sebuah nazam sebagai penutup kepada keseluruhan acara.

Ulasan

Nazhatulshima N berkata…
Nisah,
Saya jadi iri membaca acara seni dan sastera yang rancak di sana. Rindu bertemu Dr Siti Zainon yang banyak memberi galakan saya melukis di UKM melalui Sanggar Kreatif berbelas tahun dahulu. Saya juga impikan karya gabungan lukisan dan puisi saya sendiri.
Buat masa ini sedang tekuni penghasilan novel remaja. Tercabar sungguh rasanya apabila Nisah dan Kak Min bertanyakan hasil karya di bengkel tempoh hari.

Catatan Popular