Isnin, Jun 02, 2008

Sanubari Yang Dibuka Oleh-Nya


Gambar : Bersama-sama Pengarah YWJ, Dr. Kamil & Isteri

Semakin jauh diri saya menginjak kedewasaan ini, saya memiliki keyakinan yang bertambah tentang cara Tuhan 'bekerja'. Tuhan itu Maha Mengetahui. Ada berbagai-bagai cara untuk Dia menganugerahkan hidayah kepada sesiapa sahaja yang istimewa.

Pertemuan dengan Dr. Muhd Kamil (Pengarah UiTM Johor) di Muar sewaktu Bengkel Penulis Muda Johor 2008 membuka satu lagi lembaran dalam kehidupan saya. Beliau yang hanya saya kenali sebagai penulis buku Travelog Haji (PTS Publication), belum pernah bersua wajahnya. Itulah kali pertama kami bertemu. (Sewaktu menunggu majlis penutup majlis, beliau mengakui pernah singgah di laman ini. Begitu juga dengan saya ke lamannya).

Pihak penganjur memberikan beliau satu slot khusus sebelum bengkel berakhir dengan majlis penutupan. Kisah beliau mendapat hidayah Allah SWT benar-benar menyentuh nubari saya. Bukan mudah untuk mendapat keistimewaan daripada Allah. Bukan semua makhluknya dapat dilembutkan hati dengan sedemikian rupa.

Pengakuan Dr. Muhd Kamil sebagai 'orang jahil' agama itu terasa banyak kejujurannya. Bukan mudah orang yang mendapat pencerahan daripada Allah mampu mengakui bahawa dia pada suatu masa dahulu pernah jahil. Ramai orang yang malu mengakui hakikat tersebut. Kesungguhan beliau mahu berubah daripada hidup penuh kejahilan kepada hidup penuh hikmah dan dilindungi rahmah Allah terasa luar biasa. Saya terkasima dengan kerja Tuhan.

Selaku ketua di tempat kerja, beliau bersungguh-sungguh mengajak kakitangannya mengerjakan solat berjemaah di kampus. Digalakkannya pula untuk Solat Dhuha serta diperingatkan kakitangannya supaya tidak menggunakan alasan untuk Solat Dhuha itu sebagai satu bentuk penangguhan kerja. Dalam meninggalkan kualiti di tempat kerja, beliau tidak mahu kakitangannya mempunyai kualiti yang amat rendah di hadapan Allah SWT.

Ah, mungkin catatan ini tidak cukup untuk menggambarkan apa yang saya benar-benar rasa pada hari tersebut. Dalam menahan sebak dan sendu tatkala mendengar kisahnya, saya pun jadi malu di hadapan Tuhan. Didikan sepanjang berada di sekolah agama selama 5 tahun tidak pernah mendatangkan kesan sebegini hebat, berbanding apa yang diucapkan Dr. Mohd Kamil dalam tempoh tidak sampai satu jam.

Rasa tidak sabar mahu membaca karya beliau yang sedang diusahakan kini - Travelog Dakwah: Menggenggam Bara.

Inilah satu bentuk penulisan yang mampu menggugah rasa dan akal fikir. Jika ada kalangan penulis yang tidak mampu menulis karya sastera kerana dirasakan terlalu berat dan besar, nah, inilah alternatifnya. Tulislah sesuatu yang tidak melalaikan, malah mengingatkan pembaca tentang keagungan Tuhan dalam bahasa yang mudah dan mampu sampai kepada semua peringkat. Sudah-sudahlah menulis novel-novel cinta yang tidak berpijak di bumi nyata dan hanya bermain-main dengan emosi yang tidak berkesudahan. Bukankah air mata ini wajar ditumpahkan hanya untuk Dia...

1 ulasan:

Salle Sulieman berkata...

Asslamualaikum. Kak Nisah pergi Muar? Saya org Muar. Saya setuju dgn pendapat Kakak tentang ilham yang tak seharusnya menanti. Kita seharusnya mencari ilham. Bukan ilham yang mencari kita. Saya peminat setia blog ini. kalau boleh, kita bertukar2 lawatan blog. blog saya sallesulieman.blogspot.com. wassalam.

Related Posts with Thumbnails