Isnin, Jun 23, 2008

Sembang-bual dengan Dr. Awang Sariyan


Dr. Awang Sariyan yang kini berada di FSU Beijing sempat membaca laporan HSKU melalui akhbar Utusan Online tempoh hari. Beliau juga telah membaca catatan saya dalam entri yang sebelum ini.

Setelah mendapat izin daripada beliau, saya turunkan kembali perbualan kami untuk kita kongsi bersama-sama :

Sariyan(10:32 AM): Tahniah atas kemenangan tempat kedua bhg novel. Saya baca berita di Utusan Malaysia 'online'.

annyss_shukri(10:37 AM): Alhamdulillah. Terima kasih, Dr.

annyss_shukri(10:37 AM): boleh baca sedikit catatan saya di blog : www.annyss.blogspot.com

Sariyan(11:09 AM): Sudah saya baca catatan di blog. Sewaktu membaca berita di Utusan online saya pun merasakan peliknya penganjur meletakkan hadiah sastera Inggeris setara dengan hadiah sastera Melayu, seolah-olah itulah dasar dan sikap semua pihak berwibawa di Malaysia, iaitu bahasa dan persuratan Inggeris menjadi pelengkap wajib sebagai paksi tamadun negara.

Sariyan(11:12 AM): Tingkatkanlah bahasa dan persuratan Inggeris untuk menjadikan kita berjiwa besar dan mengambil manfaat daripada tamadun lain, tetapi tidak seharusnya bahasa dan persuratan Melayu menjadi tersembunyi pula di balik gahnya mengangkat bahasa dan persuratan Inggeris, seperti yang berlaku dalam majlis penyampaian hadiah itu. Luka hati kita yang memahami erti asas jati diri kian parah dan berdarah! "Orang-orang" itu semakin tidak mahu faham akan tanggungjawab mereka kepada pelestarian jati diri sendiri.

Kemudian, melalui e-mel saya ketika memohon izin untuk meletakkan 'perbualan' kami ini di blog saya, e-mel itu dibalas seperti berikut :

Puan Nisah,

Silakan. Pandangan saya itu berkaitan dengan perkara rasmi, yang menyentuh nasib tamadun kita; tiada yang peribadi. Pandangan yang sama sering saya ucapkan di mana-mana, termasuk sewaktu bertemu dengan kedua-dua orang PM.

Keikhlasan puan menyuarakan kepincangan dalam anugerah itu, khususnya yang berkaitan dengan penghinaan kepada bahasa dan persuratan Melayu saya hargai. Tidak banyak penerima hadiah yang berani terus-terang begitu. Syabas! Kita ada tanggungjawab memelihara dan memulihara asas tamadun kita.

Salam perjuangan.


Ya, masih ramai yang tidak sedar bahawa seni persuratan ialah antara manifestasi seni yang tertinggi. Apatah lagi, seni persuratan Melayu di tangan penganjur HSKU ini. Setelah lebih 20 tahun Kumpulan Utusan menobatkan sastera Melayu secara konsisten (baca : ini jauh lebih baik daripada konsep sayembara DBP yang bersifat berkala), baru 2 kali kategori novel Inggeris dipertandingan (baca: menumpang di HSKU), tiba-tiba yang menumpang pula mendapat tumpuan.

Ah, perjuangan masih sukar. Namun perjuangan mesti diteruskan!



** Dapatkan Pakej HSKU dan buku-buku HSKU 2007 di www.ujanailmu.com.my sekarang **
.
. sumber gambar di sini.
.

1 ulasan:

Hanita Hassan berkata...

Salam Nisah,
Tahniah kerana novel anda mendapat tempat tiga teratas. Saya suka cover novel tu.

Related Posts with Thumbnails