"Tak Boleh Bawa Novel ke Asrama"

Sewaktu cuti sekolah ini, sepupu-sepapat singgah untuk meluangkan masa di perpustakaan kecil di rumah saya; sambil-sambil menjengah buku-buku terbaharu yang masih panas di Ujana Ilmu. Apabila bersembang tentang topik buku, terkeluar cerita bahawa pelajar di sekolah yang tinggal di asrama (sekolah sepupu saya ini ialah sekolah asrama/harian) tidak boleh bawa novel ke asrama.

Saya paling terkejut dengan kenyataan itu. "Tak boleh baca novel? Habis tu, apa yang mereka baca pada masa lapang?"

"Entahlah, baca buku rujukanlah agaknya. Perpustakaan sekolah pun tak ada koleksi yang menarik. Perpustakaan mini di asrama pun lebih banyak buku rujukan daripada novel," sepupu saya menjelaskan.

Aduhai, kasihannya anak-anak bangsaku!

"Kenapa sampai begitu sekali?" saya bertanya lagi.

"Mungkin cikgu tak mahu kami baca novel cinta."

Kalau iya pun tak mahu pelajar khayal dengan novel cinta, takkanlah seluruh genre novel diharamkan secara pukul rata.

Andaian saya begini : guru itu sendiri tidak mampu untuk membezakan yang mana satukah novel cinta yang penuh berahi dan angan-angan. Berbanding novel khusus untuk remaja seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Banyak juga buku-buku DBP dan dari PTS yang saya kira amat sesuai untuk memugar semangat remaja.

Besar kemungkinan juga guru di asrama dan perpustakaan itu sendiri bukanlah 'orang buku' lantaran tidak membaca pun. Oleh itu, untuk memudahkan tugasnya, terus haramkan novel untuk dibaca di asrama. Ini sudah dikira sebagai satu bentuk book-banning!

Wah, patutlah pelajar lepasan SPM hari ini, dengan bilangan pangkat A yang diperoleh berderet-deret, hatta ada yang sampai 20 - 21 A, tapi apabila diajak berhujah, mengeluarkan pendapat, masih ramai yang takut-takut. Saya juga terlihat kesannya apabila mendengar soalan-soalan yang dikemukakan beberapa belia IPT sewaktu Konvensyen Belia tempoh hari. Rata-rata soalan mereka amat 'skema' dan macam soalan esei Pengajian Am. Cuma ada juga seorang dua yang dapat mengemukakan soalan yang matang.

Semua ini bergantung kepada bahan bacaan mereka sewaktu di sekolah dan juga di IPT. Membaca buku di sekolah bukanlah sekadar membaca buku untuk lulus periksa. Ada sesuatu yang lebih besar daripada itu. Kalau pun guru-guru tak sempat hendak membaca, mereka haruslah menggalakkan pelajar mereka membaca bahan-bahan yang boleh menambahkan pengetahuan. Patutlah apabila masuk ke universiti, walaupun jurusan sastera, hendak sebut nama Sasterawan Negara pun tergagap-gagap. Itu belum lagi yang menjawab, bilangan Sasterawan Negara ada 80! (Betul tak, Rai?)

Sebuah perpustakaan di sekolah harus mempunyai jenis-jenis buku yang pelbagai. Karya kreatif termasuk novel, cerpen, drama, puisi (moden/tradisional) adalah koleksi yang wajib ada. Termasuklah koleksi dalam Bahasa Melayu dan juga Inggeris. Koleksi perpustakaan sekolah haruslah sesuai dengan pembaca sasaran. Bukan sekadar mencampakkan buku-buku yang berat. Koleksi itu harus seimbang.

Guru perpustakaan pula harus menerima amanahnya dengan sepenuh hati. Memenuhi koleksi buku-buku di perpustakaan bukan sekadar penuh dengan buku yang entah apa-apa. Saya juga pernah lihat perpustakaan sekolah yang penuh pula dengan novel-novel cinta, sebab peminjam utamanya ialah guru-guru (khususnya perempuan) di sekolah itu. Hilang pula tanggungjawab sosial guru-guru di sekolah itu.

Andai kata guru-guru itu mengalami masalah untuk mengenalpasti buku-buku yang baik (kerana kesibukan masa), saya fikir mereka sepatutnya bertanya. Kalaulah mereka bertanya, saya amat berbesar hati membantu mereka tanpa sebarang kos! Menambah koleksi bahan bacaan untuk anak-anak bangsa saya sendiri, bukankah itu tanggungjawab bersama? Kebanyakan guru / sekolah mengambil jalan mudah. Mana-mana jurujual dari syarikat XYZ yang datang, buku-buku itulah yang akan 'disapu' masuk ke dalam perpustakaan. Mereka lebih mengharapkan buku-buku itu datang menyembah masuk ke sekolah. Untuk mengharapkan mereka mencari, semacam jauh sekali!

Pernah juga saya diminta mengisi slot 'Bicara Karya' di sekolah-sekolah tertentu. Jadi, saya pun buat slaid powerpoint. Banyak buku-buku remaja seperti terbitan Utusan yang saya tunjukkan. Ramai benar pelajar yang terlopong termasuk guru-guru juga. Tak pernah dengar langsung kewujudan buku-buku Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan beberapa judul lain yang saya perkenalkan.

Mungkinkah saya boleh buat kesimpulan begini :
  1. Penerbit atau wakilnya tidak jalankan promosi buku. Banyak sekolah, pelajar, guru yang tak pernah dengar nama Faisal Tehrani pun, walaupun sahabat saya itu telah buat hattrick dalam HSKU.
  2. Guru sendiri kurang membaca dan tidak terdedah dengan bahan-bahan bacaan yang baik
  3. Cabaran media elektronik, media siber menjejaskan tumpuan pelajar mencari buku-buku yang baik.
  4. Kumpulan sokongan seperti kelab buku tidak lagi diwujudkan di sekolah-sekolah. Setakat program NILAM, saya tidak lihat sangat keberkesanannya secara menyeluruh. Ramai pelajar yang saya dapat 'tangkap' menyalin kembali bulat-bulat blurb buku, walaupun buku itu tidak pernah dibacanya.
  5. Guru terlalu sibuk dengan urusan pentadbiran dan tugas-tugas selain daripada tugas hakiki mengajar dan mendekatkan pelajar dengan bahan bacaan.
  6. Kita perlu jurujual berbangsa Melayu yang kenal akan buku-buku Melayu. Kalau tidak jurujual buku-buku rujukan akan menguasai pasaran. Ataupun jurujual yang tahu apakah produk terbaik syarikatnya yang boleh diketengahkan ke sekolah-sekolah. Ini ada juga satu dua syarikat buku yang terbitkan buku Sasterawan Negara, tapi jurujualnya sendiri pun tak tahu syarikatnya menjual buku-buku tersebut. Haru! Haru!
Dan mungkin ada banyak lagi kesimpulan yang boleh kita senaraikan. Pun, yang pentingnya ialah bagaimana masalah ini diselesaikan.

Ada cadangan?

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam Puan Nisah.

Ha!Ha! Saya memang ada cerita berkaitan untuk dikongsikan. Tetapi terpaksa 'mengata' sedikitlah.

Antara tugas hakiki saya, ialah menjalankan roadshow ke sekolah-sekolah. Pernah beberapa kali dalam roadshow, guru perpustakaan sekolah meminta nasihat dan tunjuk ajar berkenaan penambahan koleksi bahan, bagaimana hendak mendapatkan buku-buku sumbangan dari perpustakaan negeri, cara mengurus perpustakaan dan pelbagai aspek kepustakawanan.

Mungkin tiada apa yang peliknya dengan soalan-soalan ini. Saya dan rakan setugas pun tidak keberatan berkongsi pengetahuan. Tetapi cuba renungkan sekali lagi. Perpustakaan @ pusat sumber sekolah adalah di bawah seliaan PSPN (Pusat Sumber Pendidikan Negeri), yang kini dikenali sebagai BTPN (Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri). Oleh itu, harap betulkan saya jika tersilap, bukankah peranan agensi ini membimbing sekolah dalam pengurusan pusat sumber/ perpustakaan sekolah?

Sementara itu, berdasarkan entri- entri yang saya baca di Unika PTS, pihak sekolah memang ada peruntukan khas untuk pusat sumber/ perpustakaan masing-masing. Jadi, bagaimanakah guru-guru ini masih dalam keadaan kurang pasti akan aspek-aspek pengurusan kewangan perpustakaan dan penambahan koleksi?

Puan, ini belum lagi saya sentuh tentang keadaan perpustakaan sekolah itu sendiri (yang mana berkenaan - yang dapat kami lawati). Sayu hati melihatkan koleksi bahan yang ada. Terdetik di sanubari, patutlah generasi kini jadi begini...

Beberapa tahun lalu, satu forum untuk remaja dijalankan di PBAKL. Saya kurang ingat tajuknya, tetapi ia diacarakan oleh saudara Sayed Munawwar. Panelis forum terdiri daripada para remaja yang telah berjaya dalam SPM, sedang menuntut di IPT, dan seorang lagi masih menuntut di sekolah menengah. Alahai! Tak larat saya nak komen tentang isi-isi yang dibentangkan oleh para panelis. Dipendekkan cerita, memang saya hilang minat di pertengahan jalan lalu saya tinggalkan forum berkenaan. Hmm..
Tanpa Nama berkata…
Salam,

Bila kak nisah utarakan tajuk ni, teringat zaman sekolah, novel kena rampas bila ada operasi. Ada dalam empat buah novel. Nasib baik advencer si peniup ney tak diangkut sekali. Malang sekali novel kesayangan turut dirampas dan tak dipulangkan semula. Rasa seperti kurang patut tak membenarkan pelajar membawa novel, tak semua novel temanya cintun, banyak tema lain yang pelajar suka sebenarnya. Tak sanggup nak mengadap buku pelajaran sahaja. Otak semakin beku adalah bukannya berkembang.
Tanpa Nama berkata…
Kak Nisah,

Alahai, peliknya peraturan tak boleh bawa novel ke asrama tu. Saya terfikir, bagaimana agaknya para pelajar di asrama itu nanti hendak mengulang kaji mata pelajaran Bahasa Melayu, khususnya Komsas?

Cukupkah sekadar menggunakan buku-buku rujukan sahaja, tanpa merujuk kepada novel asalnya?
Rina berkata…
salam puan nisah,

setahu saya, mmg tak boleh bawa novel ke sekolah kan? seperti jamilah, benda pertama yang kami akan sorok ialah novel bila ada 'spot check' masa sekolah dulu.
Nisah Haji Haron berkata…
Bunnybaby,
Terima kasih atas input. Memang perjuangan untuk merakyatkan buku masih jauh.

Jamilah,
Kalau buku HSKU seperti Advencer pun nak dirampas, memang niat nak membunuh daya fikir pelajar.

Aidil,
Novel KOMSAS boleh, sebab itu buku teks. Ini novel yang tidak disenaraikan dalam silibus. Benar, inilah peraturan pelik bin ajaib yang sedang berlangsung di banyak sekolah.

Rina,
Sebagai penulis, usah terikut-ikut dengan sistem peraturan di sekolah ini. Penulis harus banyak membaca. Dan, kalau mahu tulis novel yang baik, kena banyak baca novel yang berkualiti. Bukan sekadar baca novel cinta yang melayan perasaan semata-mata.
Zaid Akhtar berkata…
Novel Sesegar Nailofar yang saya hadiahkan kepada sepupu saya pernah dirampas oleh wardennya di sebuah SMA di Selangor.

Emm. Alahai.
sinaganaga berkata…
cover buku epal merah sangat cantik.
Tanpa Nama berkata…
Salam.

Usaha menyelenggara dan menyelaras perpustakaan sekolah tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada seorang guru sahaja. Guru-guru perlu menggembleng tenaga, mewujudkan satu pasukan, dan benar-benar ikhlas mencurahkan tenaga. Apa yang saya maksudkan ikhlas ini ialah, janganlah pada resit perolehan tertera pembelian sebanyak X buku berjumlah RM YYY, tetapi secara fizikalnya buku yang dibekalkan tidak kelihatan, ataupun kualitinya tidak setara dengan harga pembelian.

Wallahualam.
Tanpa Nama berkata…
salam,nisah.

sekadar berkongsi cerita.
saya cikgu di sekolah di Johor. Berasrama penuh( kerajaan negeri).

1. Saya pernah mengajar sejarah Ting 1. Antara bahan bacaan yang saya galakkan mereka baca ialah 1515 Faisal Tehrani. Kaadang-kadang baca petikan novel itu sebagai selingan ketika mengajar sejarah Melaka (4 bab). Saya memang menggalakkan mereka membaca buku-buku lain Faisal. Saya sendiri banyak pengetahuan sejarah, bila baca, dan banyaklah cerita baru untuk anak murid saya.

2. Apabila hampir hari raya, saya selalu syorkan kepada anak murid saya, jika mereka dapat duit raya, belilah novel-novel bermutu ini. Ada pelajar yang memiliki apabila dirampas cepat-cepat cakap " cikgu A (saya) suruh baca".

3. Mendengar pertuturan mereka dan tulisan mereka , memang 'sah' mereka tidak membaca bahan yang baik. Saya percaya mereka perlu membaca novel.

4."spot check" terakhir , sebulan yang lepas, saya tiada di sekolah. Melihat antara koleksi 'rampasan' cikgu-cikgu , memang kasihan. Novel-novel bermutu dan majalah majalah yang baik pun dirampas. Kasihan cikgu-cikgu ni, tidak pernah membaca bahan bahan tersebut. saya selalu akan ambil dan pulang semula pada pelajar.

5. Perpustakaan di sekolah saya pun "hidup segan ,mati tak mahu". Alhamdulillah, tahun ini kami dapat guru perpustakaan yang baru(Puan N). Dia bersemangat , dan selalu bertanya kepada saya, apa bahan bacaan yang diperlukan. Selepas saya balik dari pesta buku tempohari, berpandukan syor saya dia telah beli 5 kotak buku. Kebanyakannya PTS.

6. Saya juga mengesyorkan majalah-majalah DBP untuk dilanggan. Dia terus langgan untuk perpustakaan. Tapi ada satu yang "melucukan"(?). Seorang guru BM mengatakan kepada saya, tak payahlah beli Dewan Sastera kerana tidak bermanfaat. Entah lah...Apa pandangan Nisah? (Saya pelanggan Dewan Sastera alaupun saya tidak mengajar bahasa)

Namun , apa pun keadaan , saya tetap bersemangat untuk mengajak anak-anak murid saya MEMBACA...

al-atiq
Nissa' Yusof berkata…
saya setuju dengan hal guru perpustakaan pun tak ikhlas menjalankan tugasnya. sekolah saya dulu undang-undangnya begitu -tak boleh bawa novel ke asrama. seingat saya, hanya satu novel selain teks komsas sahaja yang 'boleh', sesegar nailofar -zaid akhtar. itupun kerana penulisnya ada di situ=)

memang undang-undang yang tak adil. mungkin wajar kalau warden (dengan kerjasama guru perpustakaan) menyenaraikan novel mana yang boleh, mana yang tidak. jadi secara tak langsung, novel-novel sastera yang baik boleh ditonjolkan.

saya dulu, kalau terlalu bosan dengan buku pelajaran, saya (terpaksa) baca teks-teks KOMSAS. sampaikan saya boleh hafal biodata penulis di belakang buku.

baik dalam buruk, daripada situ saya betul-betul minat untuk menyertai Minggu Penulis Remaja=)
Tanpa Nama berkata…
Seorang jurutera dan seorang arkitek pernah berpesan kepada saya agar membaca bahan sastera bermutu. Kata mereka, bila bekerja nanti anda akan berjumpa orang dari pelbagai bidang. Sastera bermutu akan membuka minda untuk memahami perkara-perkara bukan teknikal dan meningkatkan kemahiran komunikasi.

Mungkinkah para guru juga harus mendengar nasihat begini keluar dari mulut para doktor dan jurutera? (Dua kursus yang perlu banyak A untuk masuk!)
Tanpa Nama berkata…
Ini berlaku juga di sekolah berasrama saya dulu, tapi untuk jenis-jenis buku cerita tertentu yang penuh cintan-cintun.

Tak sangka di tempat lain buku-buku bermutu pun dikaut sekali masa spot check.

Memang betul-betul perlukan anjakan minda. Rasanya hal ni boleh dibawa ketengah dalam media massa - atau majalah guru supaya betul-betul sampai ke khalayak berkenaan (saya pernah tengok satu majalah khas untuk guru tahun lalu, tak tahulah sekarang masih ada atau tidak?)
cikgooden berkata…
tatakala membaca entri nisah kali ni rasa terpanggil untuk memberi komen...
saya seorang guru..pendapat saya mmg side seorang guru..pendek kata bukannya guru tak mau nak memperkayakan khazanah ilmu untuk anak didik..tetapi karenah birokrasi kadangkadang membuatkan guru menjadi patah semangat.
masyarakat juga memandang guru ndengan sebelah mata. apa yang dibuat serba tak kena..novel memang tak dibenarkan dibawa kesekolah..tambahan lagi novel popular..tema tema cinta...itu dasar. adakah salah seoarang guru menjalankan satu dasr yang telah ditetapkan...............
..................
Tanpa Nama berkata…
salam..
sebagai remaja yg baru tamat sekolah tahun 2006,ini cerita betul berdasarkan pengalaman sy sendiri.
sy akui mmg budak-budak muda skrg sangat kurang membaca.
saya membuat kesimpulan ni berdasarkan pemerhatian sy pada zmn persekolahan dulu.klu novel sastera, mmg susah nak jumpa peminat atau pelajar yg mengusungnya semasa rehat atau waktu senggang.
realiti skrg, budak zaman sekarang ramai yg lebih menggemari novel cinta merapu yg penuh khayalan indah x logik terutamanya pelajar perempuan sampai ada yg sanggup bersengkang mata sebab nk menghabiskan bacaan tetapi bila nak tulis karangan, mutunya amat rendah.
klu nak kata x boleh bawa novel ke sekolah, sy rasa itu bukan alasan kerana mereka boleh membacanya di rumah.
belia kita dah disogok dgn pelbagai buku dan bahan picisan berunsur hedonisme semata sehingga pintu minda dh tertutup rapat.
mereka bukan x boleh, tetapi mereka sendiri yg memilih utk tidak membaca buku yg baik.
percaya atau tidak, budak-budak yg kita kira pintar dengan berderet A pun tergagap-gagap bila nak suruh bagi pendapat ttg hal semasa.piirah!pandai apa mcm tu.
kita pun semua maklum sistem pendidikan di sekolah ini bagi pelajar ialah belajar utk peperiksaan bukan untuk hidup.
kesannya,apabila budak-budak terlalu sibuk membaca buku sekolah smpai tiada masa nak mengulit buku lain.
skrg punca masalah dah jd berbelit dan berpintal-pintal untuk sampai ke umbinya.
salah siapa bukan penting tetapi apa yg harus dilakukan ialah memperbetulkan kesilapan.

Catatan Popular