Komen Terhadap "Puisi Untuk Esdyzuar"


Saya tak pasti dari segi rating buku-buku saya. Tetapi, saya fikir, antara buku yang mungkin tidak berapa mendapat sambutan di pasaran ialah Puisi Untuk Esdyzuar. Oh, barangkali saya silap kerana membuat telahan ini tanpa bukti empirikal.

Pun, saya tidak berapa terkilan kerana buku yang mempunyai elemen fantasi agak sukar mencari pembaca. Tidak ramai pula pembaca yang percaya bahawa buku fantasi wajar ditulis dalam Bahasa Melayu, lantaran fiksyen fantasi sudah lama sinonim dengan Bahasa Inggeris.

Jadi, saya tidak menerima banyak komen terhadap buku ini. Tak pasti, sama ada buku ini baik ataupun tidak kerana mungkin tak ramai yang berani untuk mengambilnya daripada rak. Ada yang membayangkan ini sebuah buku puisi kerana judulnya. Ada yang 'takut' dengan ilustrasi kulit hadapannya dan ada pelbagai alasan lain. Mungkin ada yang 'kenal' dengan Annyss Sophilea dan orang ini memang tidak gemar fantasi sejak dari KOMSAS lagi.

Entahlah, alasan itu mungkin sahaja pelbagai. Selebihnya, saya pulangkan kepada pembaca sama ada berani ataupun tidak untuk cuba membaca buku ini.

Komen yang berharga daripada seorang pembaca dan pencinta buku "Bunnybaby" tentang Puisi Untuk Esdyzuar yang disiarkan di goodreads.com saya petik seperti di bawah:

Bunnybaby
Bunnybaby rated it: 4 of 5 stars4 of 5 stars4 of 5 stars4 of 5 stars4 of 5 stars
07/19/08

Read in July, 2008
Jalan cerita yang pantas dan agak mendebarkan. Saya berharap dalam karya Nisah Haron yang akan datang, beliau memperbanyakkan dialog perdebatan. Tidak semestinya dialog tersebut melingkari aspek perundangan semata, tetapi apa-apa jua bentuk perbahasan yang merangsang dan mencabar minda, kerana itulah kekuatan Nisah, dan itulah yang paling saya sukai.

Saya tidak merasakan watak Esdyzuar sebagai anak guam yang menjengkelkan, seperti yang pernah diulas oleh pembaca lain sebelum ini. Suntikan gambaran perwatakan yang cukup untuk setiap watak, tetapi agak berlebihan sedikit bagi watak Aidynna.

Di setiap akhiran bab, Nisah berjaya membina detik cemas yang mendebarkan pembaca untuk menyelak halaman seterusnya. Namun ada satu atau dua bab yang mana watak baru diperkenalkan, tetapi sebelum ini tidak disebut dengan jelas kehadirannya. Maka saya terpaksa menyelak semula ke belakang untuk mencari di manakah watak tersebut ditampilkan. Padan muka saya juga kerana suka melompat dari satu buku ke buku lain. Oleh sebab itu momentum bacaan agak terputus-putus. Setelah bertemu babak cemas sebegini, langsung saya tidak memutuskan pembacaan novel ini.

Berbaloi memiliki buku ini. Walaupun telah selesai membaca naskhah yang dipinjam dari perpustakaan, saya tetap akan membelinya juga nanti, kerana menyimpan buku yang menarik luar-dan-dalam ini akan menambah ceria koleksi peribadi.

Terima kasih, Bunnybaby!

Ulasan

dan berkata…
saya peminat setia fantasi, dan ya, memang fantasi lebih sinonim dengan karya inggeris.

tapi, kalau ke kedai buku, biasanya saya tengok juga buku2 melayu genre fantasi yang tak banyak tu. tapi nampaknya tiada daya penarik.

dan saya baru saja beli puisi untuk esdyzuar. insya allah akan baca dalam masa terdekat. harapnya tak mengecewakan, tapi saya yakin pasti tak. Sebab saya suka baca Annyss Sophillea! (siapa la yang tak suka tu)

teruskan menulis!
Tanpa Nama berkata…
Salam Puan Nisah.

Sama-sama kasih. Adakala mmebaca ulasan buku oleh pembaca lain bisa mematikan selera dan niat saya untuk membaca buku yang diulas tersebut. Tetapi, lain pula dengan novel PUE ini. Ulasan yang menyatakan "watak Esdyzuar menjengkelkan" itu lantas mendorong saya memotong barisan buku-buku lain yang tersusun di kepala katil untuk dibaca :-p

Semoga puan akan memasukkan lebih banyak dialog perdebatan yang 'mengancam' dalam karya-karya akan datang.

Wassalam.
Tanpa Nama berkata…
salam nisah, akak baru separuh jalan membaca esdyzuar. cerita fantasi ada peminatnya sendiri, mungkin khalayaknya belum cukup besar -sikit-sikit lama2 jadi bukit kan.
Amiene Rev berkata…
Hayakallah,

Kak Nisah Haron,

Saya memohon Kak Nisah supaya memberi pandangan mengenai isu berkaitan dengan hakcipta di tajuk
entri.

Surat Pilihan (II): Tiada Konsep Hakcipta dalam Islam

Di laman web UniversitiPTs.com

Surat itu kononnya dikirimkan oleh seorang yang mengaku dirinya Ustaz, dan pandangan surat itu menyebabkan kaum penulis dan blogger berasa kurang senang.

Saya bimbang surat begini akan mempengaruhi minda sesetengah penulis dan blogger mengenai kegelapan masa depan dalam dunia penulisan, dan seterusnya bakal mengurangkan karya-karya intelek dalam dunia penulisan.

Sehingga komen ini dikirimkan kepada Kak Nisah, baru dua e-mel 'ustaz' tersebut tersiar dalam entri bertarikh 27 Julai dan 28 Julai 2008.

Entri tersebut juga boleh dicapai di link di bawah:

http://universitipts.com/index.php/site/comments/satu_lagi_surat_pilihan_tiada_konsep_hakcipta_dalam_islam/
Tanpa Nama berkata…
saya dah baca puisi untuk Esdyzuar dan Tawarikh Cinta dan kedua2 mempunyai persamaan iaitu fantasi. Seronok membaca kerana novel begini masih kurang di Malaysia...
Saya salute dgn Nisah daya imaginasi tinggi .....
teruskan lagi
tak pe lama2 nanti mesti ada orang minat. kan manusia ini rambut sama hitam tetapi selera pembacaan lain2
epitjack berkata…
Nampaknya saya agak terlewat baca buku ni. Tahun 2011 ni baru saya ada kesempatan nak baca buku ni.

Bagi saya buku ni hebat dan sangat menarik! Irresistible. Semalaman saja saya baca buku ni (i'm a slow reader)dan akibatnya saya pergi kerja dengan mata yang mengantuk amat keesokannya. Hampir seminggu saya 'berfantasi' lepas baca buku ni...=)

Kesian Aidynna bila kesetiannya dipersoalkan. Tapi serius sikap manusia yang tamak sungguh menjengkelkan saya.

p/s: my fovourite book so far for 2011..=)

Catatan Popular