HSPM 06/07 - Peluang Memfail Karya

Khabarnya, DBP akan mengadakan majlis untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005 pada penghujung tahun ini. Serentak dengan itu (dan saya kira boleh menjimatkan belanja juga), penyampaian HSPM 2006/2007 juga akan dijalankan dalam majlis yang sama.

Penyertaan dan kiriman karya kepada Urus Setia HSPM 06/07 sudah pun dibuka oleh pihak DBP dan borang serta syarat boleh didapati dari laman web DBP.

Kerja menghimpunkan semula karya-karya kreatif dan non-kreatif yang sudah terbit, apatah lagi untuk tempoh satu ke dua tahun ini agak rumit bagi sesiapa yang jarang memfailkan karya. Mungkin pada peringkat awal dalam usia pengkaryaan, ini tidak jadi hal. Maklumlah, apabila baru mendapat tempat di beberapa media, karya pun masih sedikit dan keseronokan memang lebih. Mudah sahaja membeli folder untuk menyimpan karya, menyusun, membuat indeks dan sebagainya.

Secara peribadi, saya akan membeli sekurang-kurangnya 2 naskhah majalah untuk tujuan dokumentasi karya sendiri. Satu daripada majalah itu akan 'dikorbankan'. Saya akan koyak halaman asal karya saya tersiar untuk difailkan. Majalah yang satu lagi akan saya simpan tanpa mengusik karya tersebut. Dengan cara itu, karya tersebut boleh dibaca secara berasingan ataupun dibaca di dalam majalah yang menyiarkannya.

Untuk akhbar, saya jarang beli lebih dari satu kerana keratannya boleh dibuat sehari selepas hari terbitan. Akhbar di rumah saya pun, selepas itu akan dijual sebagai 'surat khabar lama' ataupun menjadi alas apa-apa yang patut.

Pun, harus diakui bahawa tugas ini perlu ada disiplin. Apatah lagi, kalau dalam tempoh tertentu ada banyak karya yang tersiar di media. Adakalanya, terlupa hendak gunting walaupun majalah sudah dibeli lebih awal.

Oleh itu, apabila datang peluang seperti HSPM yang meminta karya eceran dihimpunkan, inilah cara untuk mendokumentasikan kembali karya-karya itu dalam sistem fail yang tersusun. Selain daripada itu, saya juga dapat mengemaskini blog yang telah saya buat khusus untuk merekodkan hasil karya saya - sila rujuk senaraikaryanisah.blogspot.com.

Namun, laman tersebut juga tidak sempat saya kemaskini untuk senarai tulisan artikel. Yang terkini lebih kepada karya-karya kreatif seperti novel/buku, cerpen dan puisi.

Tujuan dokumentasi online ini juga untuk membantu mana-mana penyelidik/pelajar IPT yang selalu bertanya apakah judul karya-karya saya dan sebagainya. Kepada yang berkata karya saya tidak dapat ditemui, ertinya mereka belum sempurna dalam erti kata pencarian dan penyelidikan masing-masing.

Kalau setakat mahu kaji cerpen-cerpen saya, saya sudah sediakan tempat rujukannya. Carilah di mana-mana perpustakaan yang berwibawa. Saya sudah nyatakan tahun terbit, di mana terbit dan terbit dalam majalah/akhbar mana. (Takkanlah masih dengan bangga mahu berkata sudah jumpa hanya 4 buah cerpen. Saya tahu saya sudah menulis berkali-kali ganda lebih banyak dari jumlah tersebut).

Buku-buku saya juga boleh di kedai-kedai buku tertentu. Kalau susah sangat, saya sudah sediakan perkhidmatan jualan buku secara online di www.ujanailmu.com.my. Kepada sesiapa yang meng'google' "karya nisah" ataupun "nisah haron" pasti akan bertemu dengan laman blog ini ataupun blog yang menyenaraikan karya saya, ataupun akan terhantar ke Ujana Ilmu. Kesemua itu tempat untuk mencari maklumat tentang karya saya - kalau malas sangat hendak ke perpustakaan untuk buat kajian sendiri.

Kemudahan bagaimana lagi yang harus saya sediakan?

Kembali kepada hal HSPM 06/07, kepada sesiapa yang rasa-rasa ada karya yang diterbitkan sekitar tahun 2006-2007, silalah kemukakan kepada Urus Setia HSPM. Ini bukan soal menang ataupun kalah. Tetapi, dokumentasi karya anda supaya senang dicari dan direkodkan.

Tarikh tutup HSPM 06/07 ialah pada 30 Ogos 2008.
.
.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam Kak Nis,

Saya memang punya habit yang sama;beli dua copy majalah/akhbar yg ada karya saya.Malah jika hanya ada nama saya sekali sebut dalam mana-mana penerbitan pun saya pasti akan failkan.

Part 'sudah baca 4 buah cerpen tu'...hehehe!Saya rasa semua pusat sumber yang baik akan menjilid semua jenis bahan bacaan, termasuk majalah sastera. Kepada yg nak mengkaji karya penulis tertentu,tak perlulah sampai minta salinan karya dari penulis. Cukup bagitahu tarikh dan tempat terbitan,carilah sendiri,kan!

Untuk 2 siri penilaian kebelakangan ini, sekretariat pula minta karya penulis walhal dulu tak buat pun begini. Saya tanya sendiri salah seorang sekretariat, mereka cuma bimbang ada karya yang terlepas pandang.Tapi bagus juga mereka buat begini. Ada kawan-kawan bila tanyakan hal ni, mula mereka tepuk dahi 'alamak,aku tak simpanlah karya aku..!'

Ayam Den Lapeh!

Catatan Popular