Rabu, Ogos 06, 2008

Sejarah Penulisan

2008 - genap 20 tahun. Langkah pertama saya dalam bidang penulisan ini bermula 20 tahun yang lalu. Tahun 1988 - ketika itu masih lagi menuntut dalam tingkatan 3 di SMKA SHMS (kini SHAMS). Adakalanya seperti tidak percaya, masa berlalu begitu pantas.

Di bumi SHAMS, hampir tiada siapa yang mendorong saya menulis. Semua itu datang daripada kesedaran diri sendiri dan juga faktor keadaan hidup pada ketika itu. Tidak mungkin sejarah penulisan saya dimulakan tanpa menyatakan betapa faktor banyak membacalah yang menjadi pemangkinnya.

Sejak dari sekolah rendah lagi, guru-guru telah mendedahkan saya dengan pelbagai bahan bacaan (kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris). Saya pun ghairah meratah semua buku yang dihidangkan. Segala buku Enid Blyton sudah saya jamah - walaupun pada usia yang masih rebung, saya tidak faham keseluruhan buku itu (patah demi patah) tetapi yang penting saya seronok membaca ceritanya.

Di SHAMS, novel-novel remaja DBP memenuhi masa senggang saya setiap hari. Saya tidak tinggal di asrama jadi, setiap hari saya pulang dengan sebuah novel di dalam beg sekolah. Paling susah hati jika tiba hari Jumaat kerana saya hanya boleh bawa pulang sebuah novel sedangkan cuti hujung minggu bermula mulai petang Jumaat hinggalah hari Ahad. Mana cukup dengan hanya bekalan sebuah novel yang pastinya sudah habis pada petang Jumaat itu juga. Bagi mengubati keadaan ini, kalau ada novle yang tebal sedikit, novel itulah yang akan saya sambar dahulu.

Terdetik pada suatu ketika, setelah membaca sekian banyak buku, mengapa tidak saya sendiri yang menulis cerita seperti pengarang-pengarang ini. Dengan cetusan demikian, saya terus mencapai mesin taip lama milik ibu saya dan mencari helaian kertas kosong untuk saya taip sesuatu.

Selesai tiga halaman saya menulis, kisah pelajar sekolah yang mencari ibu kandungnya. Ya, sangat klise tema itu. Apatah lagi, saya mahu ibu kandung yang dicarinya itu nanti ialah guru yang menjadi kesayangannya di sekolah. Ya, saya tahu. Sungguh klise!

Tetapi pengarang mana yang tidak memulakan karya pertamanya dengan idea-idea klise. Kita semua insan yang biasanya bermula dengan meniru apa yang ada di sekeliling. Sebagai bayi juga kita meniru perbuatan insan yang ada di sekitar hidup kita.

Tentulah karya itu tidak akan tersiar di mana-mana (tidak mungkin ada yang dapat melihat karya itu lagi, selagi saya hidup!). Namun, permulaan yang klise itu ialah sejarah penulisan saya dalam dunia kepengarangan ini. Selepas daripada itu, saya terus menulis dan mendapat tempat dalam majalah sekolah sahaja. Impian untuk melihat cerpen-cerpen saya tersiar di dalam majalah berprestij pada ketika itu - Dewan Siswa masih lagi belum kesampaian.

Sepanjang tingkatan empat saya masih lagi menukangi karya, berbincang-bincang dengan kawan-kawan yang sekadar boleh mendorong, adakalanya 'pening' melayan saya yang sibuk mahu menulis. Pun, masih belum ada cerpen yang dihantar dapat disiarkan.

Saya fikir ada kira-kira sepuluh buah cerpen yang kalau hari ini dilihat, cukup wajarlah mengapa editor pada ketika itu enggan menyiarkan karya saya. Daripada kegagalan itulah, timbul kesedaran bahawa saya harus mencari kelainan dalam karya bagi mendapatkan perhatian editor. Lantas, landasan yang saya pilih ialah dengan menghasilkan karya berbentuk fantasi.

Dengan itu, lahirlah Di Sebalik Wajahmu, Aries sebagai karya saya yang membuat tembusan pertama di media.



20 tahun kemudian - apabila saya menoleh kembali, liku-liku perjalanan pengkaryaan saya begitu berwarna-warni. Saya pernah bercita-cita menjadi penulis. Namun, cita-cita itu agak membimbangkan ahli keluarga. Jadi saya menulis senyap-senyap hinggalah karya saya Atlantis Duniaku Duniamu memenangi Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat 1991. Pengiktirafan itu sedikit sebanyak membuka mata keluarga bahawa saya ada kelebihan lain yang tidak wajar disekat.

Ketika di peringkat pengajian tinggi juga, saya masih lagi membawa dua dunia ini dengan pandangan serong daripada mereka yang tidak berada di dalam diri saya. Mana mungkin seorang bakal pengamal undang-undang menulis karya-karya fantasi. Sungguh ironi!

Saya buktikan yang mereka silap. Saya buktikan bahawa ilmu di dunia ini tidak harus dikotak-kotakkan. Saya boleh membawa kedua-duanya dan alhamdulillah, kedua-duanya tidak pernah 'bergaduh' dalam diri saya.

Novel Puisi Untuk Esdyzuar juga menjadi bukti harmoni undang-undang dan fantasi dalam karya saya.

Ah, ini baru dua puluh tahun perjalanan. Apakah akan ada perjalanan yang lebih panjang selepas ini? Bagaimana pula wajah perjalanan saya 20 tahun lagi, jika Allah memberi izin untuk saya meneruskan perjalanan ini?
.
.
.

9 ulasan:

Latiptalib berkata...

Nisah,

Rupanya sejarah penulisan kita bermula di sekolah yang sama.

Saya dulu pun belajar di sekolah itu.Dahulunya sekitar tahun 70an nama sekolah itu Sekolah Agama Menengah Tinggi Seremban. Sekarang sudah bertukar kepada Sekolah Haji Ahmad Mohd Said. Saya dahulu pun mula minat menulis semasa berada dalam tingkatan empat di sekolah tersebut.

Semoga selepas kita ada lagi pelajar dari sekolah tersebut menjadi penulis.

mxypltk berkata...

Tahniah Nisah,

Anda berjaya meninggalkan tanda tersendiri dalam sejarah kesusasteraan negara.

A lady national laureate in waiting, maybe?

Pip berkata...

tahniah kak nisah... sudah 20 tahun bertahan.. semoga terus bertahan..

i'm proud of you!

Zaid Akhtar berkata...

Saya cukup gemar menikmati ilustrasi Fazrul Arhan setiap kali menatap Dewan Siswa.
Sering berangan-angan, dan berdoa maga-moga cerpen saya di DS nanti ilustrasinya oleh Fazrul juga. Sampai sudah hajat tu tak terkabul.
Cerpen pertama dan kedua saya ilustrasinya oleh Gopa - kalau tak silap.

Rebecca Ilham berkata...

Salam Kak Nisah,

tahniah, sudah dua dekad! Semoga dua dekad lagi juga penuh warna-warna cemerlang!

Omecool20 berkata...

:-) sebagai seorang yang mengenali di zaman Dewan Siswa dahulu, apa yang telah dicapai oleh Nisah adalah sangat2 membanggakan. Teruskan perjuangan Nisah :-)

Saya pun pernah menulis sikit2 ala Nisah pada zaman remaja, tetapi berhenti kerana tiada sokongan dan perasaan rendah diri sendiri. Bagus kerana Nisah terus menulis sehingga cerpen pertama diterbitkan.

Sekarang, Nisah pasti ada visi dalam perjalanan Nisah dalam dunia sastera. Teruskan perjalanan Nisah, tetapi bersedialah untuk cabaran yang akan datang.

ekspresi berkata...

terus menulis nisah. kita kekurangan penulis yang 'berfikir' sebenarnya. ada kalangan penulis kita asyik cerita bunga, kereta, baju, langit, bulan, ombak saja. banyak lagi yang mendalam kita takut untuk tulis. biar kita dalam kelompok yang kecil asalkan kita kuat.

Tanpa Nama berkata...

Ekspresi...
hendak tahu juga siapalah penulis yg asyik cerita bunga, kereta, baju, langit, bulan, ombak saja tu... hehehehehe

Kak Nisah, tahniah & lebih gigih lagi berjuang.

Rebecca Ilham,
cerpen2 awak pun menarik. Saya suka.

- Hanan -

Bunnybaby berkata...

Salam.

Membaca entri ini beberapa hari lalu, membuatkan saya berasa sedih yang amat, berbaur cemburu.

Sedih, kerana saya juga ada sikit-sikit macam Puan Nisah semasa muda-muda dulu, yakni menyimpan hasrat menjadi penulis. Cita-cita ini kurang disukai oleh arwah ayah. Maka hasrat tersebut terkubur begitu sahaja. Tapi, sesekali sezarah impian itu seperti mahu keluar dari lubuknya.

Cemburu, kerana puan berjaya menongkah arus.

Related Posts with Thumbnails