Apresiasi Terhadap Penulis Yang Telah Tiada
Untuk bulan September, Dewan Sastera menyiarkan tulisan saya yang berjudul "Berbicara Tentang Mereka Yang Telah Tiada". Bagi menyiapkan tulisan tersebut, saya telah mendapatkan data serta bahan-bahan dari Seberang Takir, Terengganu - kerana mahu mendengar sendiri apa yang bakal diperkatakan oleh putera JM Aziz, Encik Zulkifli.
Sewaktu berangkat pulang dengan pesawat pada malam tersebut, saya begitu tersentuh dengan segala yang berlaku, lalu saya catatkan puisi di bawah ketika berada di dalam perut kapal terbang.
Bicara yang Telah Tiada
(setelah menziarahi teratak Almarhum J.M. Aziz)
Hamparan malam di Seberang Takir
sulaman manik-manik cahaya terpamer
melukis sempadan pantai dan air
tak mampu mentafsir
tanah dan angin yang membungkus jiwa penyair.
Saat meninggalkan laman terataknya
yang kekal adalah bicaranya
tertampal pada dinding atma
tanpa jasad hatinya terus bersuara
laut dan karang itu hidupnya
'Pengantin Laut' itu puisinya.
Siapa cakna pada bicara yang telah tiada
aksara puisinya mati suara
anak-anak hari esok mungkin alpa
pada sepotong nama
dia yang
pernah bahagia dalam derita
bersama gembira dan air mata.
Nisah Haji Haron
Seberang Takir - KLIA
MH 1339
24 Mei 2008.
Fokus Dewan Sastera kali ini ialah apa yang berlaku kepada karya apabila pengarangnya meninggal dunia. Antara penulis yang sempat saya temuramah waris-warisnya selain daripada Encik Zulkifli, ialah Puan Timah Baba (balu Almarhum Othman Puteh), Encik Osman Ayub (Ketua II ASASI, bagi mendapatkan maklumat tentang Almarhum Afrini Adham), Puan Nor Azah Abd. Aziz (Editor Kanan Utusan Publications, yang menguruskan penerbitan kumpulan cerpen lengkap Othman Puteh), juga Puan Mahaya Mohd Yassin selaku Ketua Satu PEN (juga balu kepada Sasterawan Agus Salim).
Ikuti tulisan saya dalam Dewan Sastera, September 2008 halaman 31.
.
.
Ulasan