Lagi komen tentang Tawarikh Cinta


Ketika menulis novel Tawarikh Cinta, apa yang ada di dalam fikiran saya hanya untuk menafsirkan kembali Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin mengikut interpretasi yang mungkin lebih sesuai untuk perspektif remaja hari ini. Saya memikirkan betapa ruginya orang Melayu/Islam yang mensia-siakan bakat, ilmu serta keremajaan seorang budak yang cendekia.

Selebihnya, saya biarkan pembaca yang membuat penafsiran.

Hasilnya, Saifullizan Yahya setelah mengulas novel tersebut dalam pembentangannya menyebut bahawa Tawarikh Cinta ialah sebuah novel sastera sejarah yang baharu.

Fadli Al-Akiti pula berpendapat begini :

Apa yang saya sedari, kebanyakan novel sekarang memang melalui satu penafsiran semula sejarah yang total oleh pada penulis muda tempatan. Seperti hasil baik Nisah Haron yang terbaru, Tawarikh Cinta. Novel itu sendiri sebuah novel yang cuba menyelami kembali hal-hal 'hikayat' dan 'sejarah' yang berlaku pada zaman dahulu, dengan intepretasi baharu akan 'apa sebenarnya yang berlaku' terhadap episod-episod sejarah Melayu. Idea Nisah ialah, juga penulis yang seangkatan semangat ini ialah untuk membuat pembaca muda 'melihat kembali sejarah silam' dan 'menyoal kembali intipatinya'. Menyoal dan menganalisa dengan kritis (Nisah tidak mahu dirinya sahaja yang mencari, tetapi mengajak pembaca juga menggali dan tidak terikut dengan generasi lama yang 'mengikut' sahaja) ini membentuk satu estetika 'memahami' yang lebih kukuh tentang nilai bangsa dan sejarah, dan bukankah dengan kemantapan pemahaman baharu ini membentuk satu kultural nasionalisme yang baharu yang lebih ampuh di kalangan pembaca?
Baca seterusnya di blog beliau Kubu Buku tentang entri ini.

Sayang sekali, komen-komen yang saya peroleh daripada pembaca yang berkualiti hanya dapat disuarakan melalui blog dan e-mel. Masih belum ada pihak yang berminat untuk menulis ulasan ataupun pendapat masing-masing mengenai Tawarikh Cinta di media cetak. Harapan saya akan ada seseorang yang boleh menulis dan memberikan pandangan bernas di dalam Mingguan Malaysia, misalnya.

Apatah lagi, menulis ulasan di akhbar itu, tulisannya akan dinilai bagi kategori rencana sastera untuk HSKU 2008.
.
.

Ulasan

Catatan Popular