Khamis, Oktober 16, 2008

Jadual Menulis


Benarkah menulis itu perlukan jadual tertentu? Saya pernah ditanya soalan tersebut, selain daripada soalan klasik - bagaimana mendapat idea menulis.

Saya fikir, jawapannya agak subjektif. Jawapan seorang penulis tentu sahaja berbeza daripada penulis yang lain. Setiap orang ada cara tersendiri untuk menulis.

Ketika saya belum berkahwin, saya sibuk sebagai pelajar. Lagipun, ketika itu menulis hanyalah sebagai suatu hobi. Oleh itu, apabila ada masa terluang ataupun 'malas' untuk melakukan tugas hakiki, lalu saya akan menulis.

Apabila saya sudah berumahtangga, ada banyak perkara yang perlu disesuaikan dengan jadual menulis. Saya sudah tidak lagi memiliki waktu khusus untuk menulis. Kebanyakan masa menulis sudah disesuaikan dengan jadual bersama-sama keluarga dan anak-anak juga.

Akhir-akhir ini, anak-anak yang sudah bersekolah mula memahami bahawa saya perlukan ruang dan masa untuk menulis. Bahkan, anak sulung saya juga sudah mengerti bahawa saya memang seorang penulis. (Pernah juga dia minta saya tuliskan sebuah buku untuknya!) Si kecil saya yang masih keletah itu tentulah belum faham apa-apa, tetapi kalau dialihkan perhatiannya, dia juga boleh meninggalkan saya dengan tugas saya. Kalau dia sudah meragam, saya harus simpan sahaja apa-apa idea untuk menulis. Jika bimbang terlupa, boleh buat catatan ataupun draf terlebih dahulu.

Kini, saya menulis apabila ternampak masa terluang. Bertangguh ertinya, saya mungkin tidak menemui peluang untuk menulis lagi. Kadang-kadang, apabila sudah bulat idea di fikiran dan sengaja tidak mahu ditulis, kononnya, menunggu saat yang lebih baik - adakalanya saat itu langsung tidak datang.

Dalam kondisi saya sekarang ini, saya tidak boleh terlalu banyak bertangguh. Entah-entah, esok lusa sudah perlu berkejar ke hospital (siapa tahu).

Namun, apabila sudah menjadikan penulisan sebagai cara hidup, banyak teori tentang cara-cara menulis yang tidak dipakai lagi. Adakalanya, menulis juga sudah tidak dibuat sebarang rangka cerita - terus sahaja menghadap laptop - kerana rangka itu sudah lama terbina di dalam kepala. Adakalanya, harus menulis dengan cara first time right. Tak boleh hendak difikirkan bahawa 'ayat ini salah tidak mengapa, kerana nanti boleh betulkan' - kadangkala, lupa langsung hendak membetulkan ataupun sudah tak ingat lagi apa yang wajar dibetulkan.

Lantas, pada tahap ini, asas-asas penulisan mestilah sudah dikuasai. Rujukan itu perlu tetapi terlalu banyak rujukan sewaktu menulis juga akan mengganggu proses penulisan itu sendiri.

Jadi, bila sebenarnya saya menulis? Adakalanya pada awal pagi: sebelum subuh, sesudah subuh, sesudah anak-anak ke sekolah, sewaktu si kecil saya tidur, ataupun pada bila-bila masa yang saya fikirkan saya mesti siapkan tulisan tersebut (seperti dikejar editor!). Ruang untuk berkreatif bukanlah seperti orang bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang. Kreativiti boleh datang pada masa yang tidak terjangka.

Yang penting, menulis sedikit-sedikit (beberapa halaman sekali duduk) tetapi secara tekal (consistent) bagi saya, jauh lebih baik daripada duduk 2 - 3 jam sekali. Biasanya, saya tidak akan dapat masa sebanyak itu untuk menulis. Waktu 2 - 3 jam itu terkumpul dengan beberapa sesi menulis (yang beberapa kali duduk dan bangun).

2 ulasan:

rai berkata...

Salam Kak Nis,

Sari berita penting-tahniah untuk kelahiran tuan putera.

Saya pun tak punya jadual menulis yang fixed sejak dah berkeluarga.Konon tunggu anak tidur dulu baru boleh menulis, walhal time tu jugaklah kita pun nak ikut terlayang sekali. IKut-ikut hati menyesal juga sebab masa bujang trang tang2 dulu tak pulun menulis barang 30,40 novel.Muahaha!

Bak kata Mama, menulis sambil tumbuk sambal belacan.

Alinn berkata...

Salam...
Betapa kuatnya semangat dan hati awak Nisah. Saya ni belum sekuat dan setabah awak... ada ruang masa, idea tak menjelma... ada idea dan rasa, masa tertangguh-tangguh pula...
Kerja sekolah yg menimbun, urusan rumahtangga tak habis-habis...
Yang tinggal hajat di hati yg belum kesampaian... Mudah-mudahan saya temui kekuatan itu...

Related Posts with Thumbnails