Lemang Raya


Walaupun Hari Raya sudah dikira selesai (selebihnya cuma rumah terbuka), saya masih ingin mengabadikan aktiviti membuat lemang yang pertama kali dilakukan di kediaman saya sendiri. Sebelum ini, aktiviti ini hanya dijalankan di kampung sebelah suami menjelang Ramadhan dan menjelang Syawal (dipanggil hari mantai).

Rasa teruja kerana sempat merakamkan proses membuat lemang ini walaupun tidak berapa rinci :

1. Kalau di kampung buluh lemang boleh dicari di hutan belukar, tetapi di pekan, tentunya cari di Pasar Tani sahaja. Bukan semua buluh boleh dijadikan buluh lemang. Hanya buluh yang tidak terlalu tebal ataupun nipis dengan saiz diameter yang sederhana. Buluh yang nipis akan pecah apabila dihentak (sewaktu proses membakar) dan yang terlalu tebal akan menyebabkan lemang lambat masak.

2. Membeli buluh lemang : ada yang dijual siap dengan daun pisang yang sudah dimasukkan. Ada yang jual kosong tanpa daun pisang. Daun pisang muda boleh dicari sendiri.


3. Gulung daun pisang mengikut saiz buluh. Kemudian masukkan daun tersebut menggunakan batang pelepah pisang yang dibelah dua (tapi tidak putus, dibuat seperti penyepit). Sepit daun pisang yang sudah digulung dan masukkan ke dalam buluh. Sebelum masukkan daun yang bergulung itu, sumbat dahulu pangkal buluh tersebut (pada bahagian ruasnya) dengan daun pisang yang dikeronyok. Tujuannya supaya lemang di bahagian hujung tidak kotor terkena buluh. Oleh itu, semua bahagian boleh dimakan kelak.


4. Beras pulut dan santan yang sudah direndam (dan digaram) bolehlah dimasukkan ke dalam batang buluh. Beras pulutnya dimasukkan sekitar 3/4 daripada buluh. Kemudian, masukkan baki santan sehingga ke paras yang sama. Sambil masukkan beras pulutnya, hentak sedikit-sedikit (perlahan-lahan) supaya ruang kosong di dalam buluh dalam diisi dengan baik. Usah hentak terlalu kuat bimbang nanti pulut tiada ruang untuk mengembang sewaktu proses membakar.

** Santan kelapanya juga bukanlah sebarang kelapa tua, sebaik-baiknya kelapa yang sesuai untuk dibuat inti.


5. Sementara beras pulut dan santan diisi (biasanya kerja orang perempuan), orang lelaki akan siapkan langgai. Dua pancang besi ditegakkan di kiri dan kanan (bergantung kepada berapa banyak lemang yang akan dibakar). Pastikan ada satu besi yang melintang di bahagian tengah sebagai tempat lemang bersandar.

** Kalau di kampung, langgai boleh dibuat daripada buluh. Bahagian yang melintang itu digantikan dengan buluh yang ditebuk pada setiap ruasnya dan diisi dengan air. Apabila lemang dibakar buluh itu tidak akan terbakar kerana dalam buluh tersebut ada air. Air itu akan menggelegak. Jika buluh kecil, air itu harus ditambah tetapi jika buluh besar tidak perlu.



6. Apabila langgai siap, hidupkan api dan lemang pun sedia untuk dibakar.


7. Kawal api supaya lemang tidak hangus. Jika mahu cepat masak, api boleh besar tetapi harus rajin pusing-pusingkan lemang supaya masaknya rata.

8. Setelah lemang mendidih (berbuih - santan menggelegak), boleh dihentakkan lemang supaya menjadi padat. Lemang yang tidak padat tidak akan nampak menyelerakan (istilah ibu mentua saya "macam muntah kucing"!)

9. Apabila buluh lemang mula layu dan setelah dibakar sekian lama (lama proses pembakaran bergantung kepada besar/kecil ataupun jauh/dekat api), lemang pun masak.


Sesudah itu, bolehlah lemang dibelah dan dinikmati bersama-sama rendang. Maaflah, waktu membelah lemang dan memakannya biasanya cameraman akan lupa ambil gambar sebab tangannya penuh. :-)

Selamat mencuba!

Untuk entri tentang Lemang, boleh juga rujuk laman web rakan blogger Elaira
.
.

Ulasan

Salina Ibrahim berkata…
lengkap 'step by step' masak lemang daripada nisah! ;-)

Catatan Popular