Ahad, Disember 28, 2008

Pasar Chowrasta - Kedai Buku Terpakai

Akhirnya, saya menjejakkan kaki juga ke Pasar Chowrasta!

Pasti ada yang tertanya-tanya, apa pasal perempuan ini begitu teruja untuk ke pasar? Saya ke pasar bukanlah kerana hendak membeli barangan dapur di sini. Bukan juga untuk membeli segala jenis jeruk (khususnya jeruk buah pala) yang terkenal di Pulau Pinang.

Seawal jam 9.00 pagi saya sudah sampai di hadapan Pasar Chowrasta. Kedai yang saya tuju belum pun dibuka lagi. Sementara itu, sempat jugalah saya bersarapan di restoran yang berdekatan.

Jam 10.00 saya mulakan operasi.


Setelah bertanya dengan rakan-rakan blogger yang berhampiran dengan Pulau Mutiara ini, seperti Kak Aliya dan Jiwarasa, saya pun meneroka daerah baru ini. Berbekal maklumat rinci yang mereka berikan, akhirnya, saya dapat menjejaki kedai-kedai buku terpakai di Tingkat 1, Pasar Chowrasta ini. (Lihat gambar di atas, ikut tangga yang ditunjuk oleh anak panah gergasi untuk ke kedai buku terpakai).

Sebelum sampai ke Chowrasta juga, saya telah buat banyak carian maklumat tentang tempat ini. Selain google, saya juga meneliti maklumat dari blog Ulas Buku.

Terima kasih atas semua maklumat tersebut.

Saya menghabiskan masa sekitar sejam lebih di situ. Seperti orang mendulang emas, kita tak tahu apa yang kita akan dapat. Sampah pun ada, emas pun ada. Buku-buku di situ bersusun-susun dan ada yang berikat-ikat. Ada yang agak baru dan ada yang lama. Yang sangat renta juga ada. Kalau tak tahu apa yang mahu dicari, alamat kita akan berlama-lamalah di situ.

Apa yang menarik, buku-buku di sini sudah dikategorikan. Jadi, boleh bertanya. Misalnya, saya tanya, "Buku Sastera ada?" Nah, sebeban buku-buku yang dikategorikan sebagai sastera itu dikeluarkan. Jadi, mudah sedikit kerja-kerja memilih buku.

Sukar untuk saya katakan buku-buku apakah yang ada di sini. Hal ini sangat bergantung kepada buku apa yang dijual ataupun mereka terima. Buku-buku inilah yang akan dijual kembali. Banyak petua yang diberikan oleh blogger Ulas Buku. Boleh baca di situ.

Hendak pulang juga agak mudah. Di hadapan Pasar Chowrasta selalunya ada teksi yang menunggu penumpang. Dengan mudahnya, saya meminta pemandunya menghantar saya ke USM.

Banyakkah 'emas' yang dapat saya dulang? Ya, boleh tahan juga. Beg sandang saya jadi sendat. Di USM memborong lagi buku-buku Penerbit USM kerana diskaunnya menarik. Mujur diberikan satu beg lain. Tetapi, di dalam beg sandang, sudah ada sebuah beg kain yang dilipat-lipat - satu bentuk persediaan jika saya beg sandang saya 'beranak-pinak' kerana saya tak pasti berapa banyak 'emas' yang mungkin saya bawa pulang.

Oh ya, apa yang berlaku di USM ya?


6 ulasan:

Mazarina berkata...

pegi chowrasta yer?abg slalu ke sana..pilih2 buku yg elok...bnyk juga, murah2..di usm jugak bnyk buku...pilih2..hehhee..sy ex student usm..

Aidil Khalid berkata...

Kak Nisah,

Ceritalah sedikit apa yang berlaku di USM. Kalau melihat kepada bannernya, nampak macam menarik. Di satu hujung Ahadiat Akashah, novelis yang sangat prolifik malah mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records, dan di satu hujung lagi pula Nisah Haron, sasterawan yang berkali-kali menang anugerah sastera bertaraf kebangsaan.

Ceritalah sedikit apa yang berlaku. =)

drbubbles berkata...

Puan Nisah,

Saya setiap kali datang ke Pulau Pinang,sudah menjadi aktiviti wajib untuk berkunjung ke Chowrasta.

Rabu ini pun saya akan ke sana lagi.Hajat di hati untuk mencari buku pantun melayu lama dan majalah-majalah lama.

Oh ya di hadapan pasar chowrasta ada gerai samosa sedap!Betul-betul di tepi Ibu Pejabat Kontinjen PDRM Pulau Pinang.

Blog Rasmi Motivasi Minda berkata...

Wah ini betul-betul 'syurga'buku yang mesti saya kunjungi.

Di Melaka dahulu ada, selepas dibuat tempat pelancongan, sudah jadi sejarah.

Nisah Haji Haron berkata...

Mazarina,
Ada juga orang USM yang tak tahu tempat ini wujud! :-)

Aidil,
Malas nak cerita, nanti ada saja orang marah pada saya.

Dr. Bubbles,
Oh, saya lewat tahu tentang gerai samosa tu. Saya dibawa ke 'kedai mamak pokok ketapang' di belakang balai polis tu.

Zamri,
Datang sini kena ambil masa sedikit. Maklumlah, seperti mendulang emas - kerjanya tidak boleh tergesa-gesa.

Siti berkata...

Sayang sekali saya tidak berkesempatan ke sana sewaktu ke Pulau Pinang pada tahun baru. Saya ke sana bersama kawan yang bukan pencinta buku. Sudahnya kami berkeliaran di sana membeli belah. Memang saya mendesak ke sana untuk ke kedai buku. Namun lain yang dirancang, lain pula aktiviti yang dilakukan.

Apapun, Ogos ini saya akan pastikan saya ke sana.

Related Posts with Thumbnails