Menahan Kritikan & Komen


Seandainya diberi pilihan, saya lebih suka untuk tidak mengkritik karya orang lain. Tetapi, di dalam banyak keadaan, saya tidak ada pilihan tersebut. Secara peribadi pula, saya tidak pandai berselindung dalam berkata-kata. Sikap saya langsung. Terus kepada makna kepada setiap kata.

Dalam memberikan pandangan terhadap karya orang lain, saya bimbang jika ada yang 'terbunuh' oleh kritikan saya. Semakin berusia, saya semakin menguasai tatacara untuk mengkritik karya. Saya lebih mengharapkan saya mampu memberi motivasi kepada calon penulis ataupun penulis yang lebih muda supaya dapat tekal menulis.

Hendak membunuh seorang calon penulis, memanglah mudah benar. Dengan satu kritikan sahaja saya sendiri menyaksikan berapa ramai yang menarik diri daripada menjadi penulis. Tragedi ini berlaku dalam sesetengah bengkel penulisan. Di dalam bengkel yang saya kendalikan, sikap saya masih lagi langsung tetapi saya akan cari sekurang-kurangnya 3 kekuatan sesebuah karya sebelum saya berikan 1 kelemahannya. Dengan cara itu, kritikan boleh jadi seimbang.

Sikap ini bukanlah dengan sengaja mahu memberikan 'janji-janji palsu' kepada calon penulis ataupun penulis baharu. Namun, sebelum memuji atau memberikan komen yang negatif, seorang pengkritik harus menyediakan fakta dan hujah supaya komen itu kelak dapat dirasionalkan.

Saya percaya ramai penulis baru yang inginkan karyanya dikritik. Ada yang mempunyai daya tahan yang tinggi. Dicincang macam mana pun karya itu, pengarangnya sedikit pun tidak berkutik. Malah, merasa sungguh tercabar untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Sikap pengarang begini mampu menjadikan dirinya pengarang yang mampu bertahan dan 'boleh pergi jauh' dalam arena penulisan.

Tetapi, ada juga yang tidak memiliki daya tahan sedemikian tinggi. Ataupun dia mungkin datang ke bengkel dengan cawan yang penuh, tidak bersedia untuk dikritik. Apabila sekali karyanya disentuh, langsung dia pun meletakkan pena, terus mengaku kalah.

Inilah yang paling saya bimbangkan. Namun, ini juga realiti dalam penulisan, khususnya penulisan kreatif. Dunia penulisan sememangnya harus diimbangi dengan kritikan. Jika pengkritik tidak berfungsi, maka dunia penulisan pula tidak akan berkembang subur. Tidak ada kemajuan. Peranan pengkritik sekaligus pembimbing ini amat penting dalam menentukan jaya-jatuhnya seorang calon pengarang ataupun pengarang baharu.

Pada akhirnya, semua itu terletak kepada pengarang juga. Jika pengarang itu tidak berjiwa besar, lemah semangat dan tidak tahan dengan sebarang bentuk kritikan, itulah yang akan membezakan pengarang yang harus 'pergi dahulu' meninggalkan pesaing-pesaingnya yang lain dengan pengarang yang sedikit tertinggal di belakang.

Pun, harus diingat bahawa dalam 'perlumbaan' dalam penulisan ini, harus diingat bahawa matlamatnya pengarang itu 'sampai' ke garisan penamat. Soalnya, bukan siapa yang sampai dahulu. Tetapi, yang penting pengarang itu SAMPAI. Semestinya ada yang dahulu dan ada yang kemudian. Yang sudah sampai wajar memberikan semangat kepada yang masih mengejar garis penamat. Yang masih berlari pula jangan mudah putus asa kerana dalam 'perlumbaan' ini tiada masa khusus yang ditetapkan. Anda boleh sampai pada bila-bila masa yang selesa. Tapi, janganlah terlalu lewat, kerana mereka yang sudah lama sampai, mungkin tak dapat menunggu dengan lebih lama di hujung garis penamat kerana mereka perlu mengambil bahagian dalam acara yang berikutnya!
.
.

Ulasan

Rebecca Ilham berkata…
Salam Kak Nisah,

barangkali kerana karya-karya awal saya kerap dikritik secara membina oleh seorang teman akrab yang saya sanjungi pengetahuannya dalam dunia sastera, saya belajar mengkritik secara membina juga.

Selalunya saya mulakan dengan nyatakan apa yang positif, sebelum beralih kepada yang kurang positif sambil diikuti dengan cadangan untuk memperbaik karya. Kemudian saya akhiri dengan ucapan maaf, galakan agar terus berkarya dan kesediaan agar kritikan saya diabaikan seandainya didapati tidak relevan.

Namun saya setuju, bukan kemahiran mengkritik sahaja penting, tetapi juga kemahiran menerima kritikan! Masih saya ingat semasa bengkel maya GKLN dahulu, sewaktu FT mengkritik karya saya pada tengah malam di Malaysia, saya menerima dengan senang hati selepas subuh di Colorado. Siap tergelak besar mengenangkan 'hodoh'nya karya saya itu!

RI
Unknown berkata…
Sekiranya hati mudah patah lupakan perjuangan. Tarik selimut teruskan dengkuran :D

Sejak dua menjak ini, penulis yang baru bertatih suka meminta akak mengkritik karya mereka. Akak bukan jenis orang yang tahu memuji sahaja, mengkritik juga hebat. Hehehe.

Alhamdulillah mereka tidak patah hati kerana akak juga pandai memujuk. Hahaha.
Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum

Saya setuju dengan artikel ini.Kemahiran memberi kritikan membina dan menerima kritikan sangat penting dalam dunia penulisan.Terima kasih atas panduan yang diberikan:)
Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum...

Syukur kepada Allah kerana menggerakkan hati Puan untuk menulis artikel ini. Dan Terima kasih...
Saya bersetuju dengan sdr Rebbecca.
Memberi kritikan berkesan tapi berdiplomasi tidak mudah. Perlu mendalami ilmu kejiwaan dan menebak personaliti seseorang. Jika saya melihat tulisan tangannya ada petunjuk bahawa orang yang bakal saya kritik begitu sensitif dan tak mampu menahan kritikan, saya memilih diam dan berdoa mudah-mudahan dia akan digerakkan untuk menulis dengan lebih baik, dengan cara terbaik dari Allah SWT.
Wallahualam...

Catatan Popular