Menginsuranskan buku?

Seorang sahabat yang punya perpustakaan peribadi pernah memberitahu saya yang dia sedang menginsuranskan buku-bukunya. Pada mulanya, saya tidak terfikir yang perkara tersebut boleh dilakukan.

(Maklumlah, saya sangat 'alergik' kepada perkataan insurans, penjual insurans dan segala yang berkaitan dengan insurans kerana saya ada banyak pengalaman buruk dengan pihak-pihak ini. Oleh itu, sesiapa yang berniat, berhajat untuk menjual insurans kepada saya, TOLONGLAH lupakan sahaja hasrat murni anda kerana saya mungkin akan mencuci muka anda dengan berus pembasuh tandas jika anda masih juga berdegil dan mahu menjual insurans kepada saya. Lagipun, saya mahu kekal bersahabat dengan ramai kawan-kawan (yang saya tahu ramai juga menjadi agen insurans), jadi jangan sampai kita putus sahabat hanya kerana insurans, ya)

Jauh benar pula lencongan di atas!

Baru-baru ini saya bertanya kembali kepada sahabat saya itu sama ada dia berhasil untuk menginsuranskan koleksi buku-bukunya, berapakah jumlah yang diinsuranskan dan berapa premium yang dikenakan.

Katanya, dia tidak jadi berbuat demikian.

Sebab? Apakah nilai bagi sesebuah buku, itu katanya.

Bagi buku yang baru dibeli dan masih ada resit pembelian, harga buku itu ialah nilai kepada buku tersebut. Hanya buku-buku yang ada nilai sedemikian boleh diinsuranskan.

Habis tu, jika buku yang sudah lama dibeli dan saya tak tahu nilainya ataupun buku-buku yang dihadiahkan orang, dibeli dari kedai buku terpakai, bagaimana pula?

Katanya, itulah dia nilai buku kepada pihak-pihak yang mengendali insurans ini. Kononnya, tidak ada pihak yang boleh menjadi penilai buku seperti jurunilai hartanah ataupun emas perak intan berlian yang boleh ditimbang.

Lantas, menjadikan saya tertanya-tanya: tidak ada cara untuk saya menginsuranskan koleksi buku-buku saya? Andai koleksi ini terbakar, banjir, dicuri, dimakan anai-anai dan sebagainya...? Lagipun, rata-rata agen insurans yang terhegeh-hegeh mendampingi dan menelefon saya tidak pernah pun menawarkan sebarang bentuk polisi berkaitan dengan buku-buku ataupun perlindungan terhadap harta yang cukup bernilai kepada saya ini.

Apatah lagi, apabila komisen untuk menjadi agen sudah menurun, agen saya itu tidak lagi sudi datang mengutip daripada saya sepertimana dulu, setiap bulan pasti datang tanpa diundang tetapi saya bersedia dengan kehadirannya kerana tugasnya itu banyak membantu urusan pembayaran insurans pada ketika itu. Selepas itu, saya ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebarang nasihat supaya saya pergi bayar sendiri (sebab dia sudah tidak banyak komisen, terus teranglah, saya bukannya hendak marah dia pun).

Ah, saya melencong lagi!

Jadi, jika ada mana-mana agen insurans yang tidak seperti yang saya gambarkan di atas, usah terasa seperti pustakawan yang pernah terasa dulu kerana mereka fikir saya hanya kenal satu dua pustakawan di dunia ini. Tugas anda murni, teruskanlah. Tetapi, jika anda agen insurans tipikal yang hanya mahu mengumpul komisen sebanyak-banyaknya, tak perlu komen apa-apa pun di sini.

Jika anda ada sebarang idea untuk menginsuranskan buku, bolehlah tinggalkan cadangan di ruangan komen. Bagus juga untuk dikongsi dengan para pencinta buku yang lain.
.
.

Ulasan

Entri blog yang pelbagai ilmunya, kaya kandungannya juga harus diinsurankan. Bayangkan kalau setor penyimpanan di blogspot TERBAKAR, sayang juga yer. Saya sudah terfikir akan hal itu.
Unknown berkata…
Sdr Nisah,

Satu idea yang menarik untuk menginsurankan buku.

Masalah utamanya ialah untuk meletakkan nilai pada sesuatu buku.

Buku yang kita beli pada harga RM30 10 tahun lepas sebagai contoh, tidak semestinya bernilai begitu hari ini. Ada buku yang langka dan sudah tidajk boleh dicari ganti lagi.

Ada banyak buku dalam koleksi saya yang tidak akan saya jual walau berapa pun harga yang ditawar.

Buku-buku sebegini, jika hilang atau terbakar, jika diganti dengan wang tuntutan insuran beribu pun tidak akan mengembalikan segala memori dan pengalaman ketika bersama.

Catatan Popular