Selasa, Mac 10, 2009

Perang Bahasa

I

Saya merupakan penonton dari jauh yang tidak berpeluang secara fizikal memperjuangkan bahasa saya daripada terus diperkosa pihak penguasa. Kecanggihan teknologi hari ini tidak memungkinkan mana-mana bangkai gajah ditutup kerana melalui media siber segalanya mudah sekali dibongkar. Saya mengikuti perkembangan 'Perang Bahasa' ini dari laman-laman blog yang mengungkapnya dengan agak rinci.

Ya, saya mengungkapnya sebagai Perang Bahasa. Hakikat peperangan, seperti kata pepatah Inggeris : all is fair in love and war. Oleh sebab ini ialah peperangan, tidak akan ada sikap belas kasihan. Jika sesiapa sahaja yang terkena 'tembakan', maka tertembaklah dia kerana ini perang. Mengapa kita tidak bersedia menghadapi peperangan secara fizikal jika benar mahu ke medan perang.

Dalam perang, kita harus berpihak - "jika anda tidak mengikuti saya, andalah musuh saya" - begitu mudah falsafahnya.

Pada saya pertempuran di luar istana sudah tamat. Saya kira, pejuang bahasa telah memenangi pertempuran itu. Namun, kita masih lagi di dalam suasana perang, dan kita masih belum memenangi perang ini. Saya percaya akan ada lagi pertempuran yang akan berlaku.


II

Selepas memenangi pertempuran di luar istana ini, lantas apakah tindakan kita sebagai umat Melayu yang sayangkan bahasanya? Mungkin anda terfikir, apakah yang mungkin dapat dilakukan oleh diri saya yang kerdil ini?

Benar, tidak semua mampu melakukan apa yang telah berjaya ditunjukkan oleh para pejuang bahasa yang ditembak, dikasari dan diperlakukan sesuka hati oleh pihak yang satu lagi - hanya kerana mahu memperjuangkan bahasa ibunda. Tetapi, itu tidak bermakna kita yang tidak sampai ke medan perang itu tidak mampu melakukan apa-apa.

Masih lagikah anda mahu mengirim pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit menggunakan bahasa singkatan yang dicipta sesuka hati?

Masih lagikah mahu meninggalkan komen di blog-blog dengan bahasa slanga dan singkatan yang sama seperti menaip pesanan di telefon bimbit?

Masih lagikah mahu menulis e-mel dengan tidak menghormati bahasa - menaip tulisan ringkas seolah-olah anda langsung tidak ada masa untuk menaip setiap perkataan dengan sempurna, atau menaip tanpa menghiraukan tanda baca, huruf besar atau kecil.

Masih lagikah mahu menulis e-mel dengan meninggalkan doa-doa ringkas kepada penerima dan terus sahaja kepada tujuan menulis e-mel kerana kita sudah hilang kesopanan berbahasa dan meninggalkan tradisi dan tatacara persuratan Melayu?

Ya, jangan abaikan perkara-perkara yang mungkin dilihat kecil dalam berbahasa, tetapi tidak ada makna para pejuang bahasa ini turun ke medan perang, bertempur dengan pihak-pihak berwajib demi menyelamatkan maruah bahasa, sedangkan kita sebagai pengguna bahasa terus memijak-mijak bahasa sendiri tanpa ada secebis pun rasa hormat kepada bahasa ibunda.

Sudah berapa kali saya menegur sikap kita sendiri sebagai pengguna bahasa. Tetapi, sebanyak itu juga saya menerima perli dan momokan. Namun, saya tetap berjuang dengan cara saya sendiri.


III

Saya melihat peristiwa Perang Bahasa ini sebagai satu perulangan kepada peristiwa menuntut kemerdekaan. Akhirnya, kita merdeka. Tetapi, sehingga hari ini, kita masih lagi gagal mengisi kemerdekaan itu.

Dari itu, usah kita ulang lagi kesilapan yang serupa. Setelah kita menang dengan Perang Bahasa ini, fikirkan pula bagaimana kita mahu mengisinya? Selepas kita menang Perang Bahasa ini, mari kita pastikan supaya anak-anak Melayu kembali menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah, menguasai kembali mata pelajaran sains dan matematik - kerana kita sendiri yang mendakwa bahawa anak-anak Melayu sendiri tidak mungkin bersaing kerana kekangan bahasa.

Sudahkah kita bersedia untuk itu, selepas kita selesai berdemonstrasi?

Jika belum, marilah kita bersedia dari sekarang. Kalau bukan atas sebab lain, fikirkanlah wajah seorang tua yang gigih berjuang mempertahankan bahasa. Sanggup menahan tembakan dan asap yang memedihkan paru-parunya kerana dia mahu anak cucunya dapat belajar dalam bahasa ibunda - kenangkanlah perjuangannya; kenangkanlah wajahnya; kenangkanlah...
.
.

6 ulasan:

Arkib PPSMI berkata...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1. Benar, setiap orang atau kelompok ada cara tersendiri untuk berjuang, termasuk gaya berperang. Seorang penceramah pernah menyatakan bahawa para pejuang pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. membawa anak dan isteri ke medan perang. Diharap kenyataannya itu benar. Untuk kes 7 Mac 2009 baik baca coretan ini: http://arkib-ppsmi.blogspot.com/2009/03/yahudikah-yang-menembak-kita-ayah.html.

2. Marilah kita bersama-sama berbahasa dengan sebaik-baiknya. Kita berusaha menaip setiap patah kata dengan sempurna. Kita hindari perkataan ringkas yang tidak selaras, kita hindari penggunaan huruf yang tunggang-langgang dan kita hindari penggunaan tanda baca yang simpang-perenang. Kita patuhi pedoman umum ejaan, kita akur dengan Tatabahasa Dewan dan kita manfaatkan pelbagai panduan/pekeliling yang berkaitan.

3. Jikalau ada masa, cuba tanya 10 orang guru Bahasa Melayu sama ada mereka pernah membaca pekeliling/panduan yang berkaitan dengan SMS, perbualan telefon dan sebagainya.

Wallahuaklam. Wassalam.

Zaid Akhtar berkata...

Belum.
Pejuang bahasa belum menang.
Jauh lagi rasanya perjalanan.
Ego pemimpin lebih agam daripada derita rakyat.

S.K berkata...

Salam,

Puan, saya paling tak suka baca blog yang ada tulis ejaan sms dan akan menegur anakdidik yang suka buat begitu.

Saya pula suka main-main tulis dengan ejaan mengikut "bahasa cakap", termasuk di blog atau di kotak komen (dalam karya tentu saja tidak!), tapi, setelah berbual-bual dengan Abang Helmy mengenai isu bahasa ini, saya kira ini bukan masanya untuk main-main lagi.

Wassalam.

Seminar PPSMI 2009 berkata...

Puan,

Jemput ke Seminar Halatuju Dasar PPSMI Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, 14 Mac. Datuk Hassan Ahmad dan beberapa pembentang hebat akan hadir.

Layari http://www.seminar-ppsmi.blogspot.com/

zf_zamir berkata...

salam,

saya selalu membayangkan bahawa ini semua suatu proses yang panjang..

walaubagaimanapun saya bersyukur kerana berpeluang melalui semua itu di zaman yang serba canggih ini..

mematangkan dan mengubah cara berfikir sememangnya..

menj berkata...

Reaksi saya ada di sini:

http://www.menj.org/gerakan-mansuhkan-ppsmi/

http://www.menj.org/sekitar-demonstrasi-menentang-ppsmi-di-masjid-negara/

http://www.menj.org/ppsmj-sebagai-alternatif-kepada-ppsmi/

Secara ringkasnya, ini bukanlah caranya untuk mempelajari mana-mana bahasa pun.

- MENJ

Related Posts with Thumbnails