Isnin, Mac 16, 2009

Sasterawan Negara ke-10?

Angin yang mengkhabarkan berita tentang calon Sasterawan Negara yang terbaharu semakin kencang berpuput. Di dalam satu dua blog, sudah ada yang berani menebak siapakah tokohnya. Dalam tebakan itu, masih lagi pengarang-pengarang lelaki disebut-sebut sebagai calon SN bagi tahun ini.

Adakalanya, saya pelik melihat tatacara pemilihan SN seolah-olah negara kita ini sudah semakin susut wibawa penerima Anugerah Sastera Negara. Berapa banyak karya bermutu lagi yang mesti pengarang-pengarang ini hasilkan supaya hasil karya mereka itu dapat dinilai oleh panel bagi mendapat anugerah ini.

Beberapa tahun kebelakangan, angin juga berpuput bahawa ada kemungkinan seorang pengarang wanita ada peluang tercalon sebagai SN yang ke-10. Nampaknya, masih kesampaian juga hasrat yang dibayangkan.

Apakah untuk dicalonkan seterusnya dinobatkan sebagai SN, harus ada banyak penerbitan dengan DBP sahaja? Jika demikian, pengarang yang enggan berbuat demikian nampaknya tiada peluang yang cerah. Lebih-lebih lagi mereka yang berkarya dengan prolifik tetapi menerbitkan sendiri karya-karya tersebut. Adakah kualiti penerbitan buku turut memberi markah di dalam kriteria pemilihan, dan bukan semata-mata kualiti karya yang dihasilkan?

Banyak yang belum berjawab. Itu belum dicampur lagi bahawa untuk dicalonkan dan seterusnya dipilih, khabarnya, harus ada pelobi. Oh, demikiankah tatacaranya? Ala-ala calon pilihan raya pula!

Saya tidak berapa hendak berkira siapakah calon itu, kerana pada saya pengarang sastera mapan yang sedia adanya semuanya sudah layak untuk diberikan status SN. Cuma mereka ini perlu tunggu giliran sahaja. Apa kata, mulai 2009 ini Anugerah SN diberikan pada setiap tahun.

Sehingga diumumkan, seperti biasa, kita pengarang-pengarang marhaen ini sekadar mampu tertanya-tanya siapakah yang akan diberikan anugerah ini. Paling penting SN harus menjadi ikon kepada bahasa dan sastera, seperti mana yang dapat dilihat daripada senarai SN yang terdahulu.

Masih adakah antara kita yang tidak mengenali siapakah SN-SN kita? Kalau di dalam kelas Minggu Penulis Remaja, ini soalan favourite. Kalau tak boleh susun ikut tahun penerimaan pun, harus tahu siapakah dia 9 orang penerima SN setakat ini. Apabila sudah diumumkan yang ke-10 nanti, terus semat dalam ingatan dan ambil tahu karya-karya besarnya (yang mesti dikaitkan dengan pengarang).
.
.

6 ulasan:

Anuar Manshor berkata...

Rasanya sudah ada calon, tetapi terkeluar kerana menyokong PPSMI. hmm...

Shamsul Amin berkata...

setakat ni calon paling dekat pak azizi.. hmm.. terkeluar kerana menyokong PPSMI?? Pihak penguasa memang tersilap..

Zaid Akhtar berkata...

Alhamdulillah.

Sasterawan Negara yang masih hidup ada 5 orang: SN Dato' A Samad Said (4), SN Dato' Abdullah Husain (8), SN Dato' Nordin Hassan (7), SN Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (6), dan SN Dato' Shahnon Ahmad (2).

Dengan inisiatif SN Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, semua Sasterawan Negara itu sudah bersetuju menandatangani suatu memorandum menentang PPSMI bagi dihantar kepada DYMM Yang DiPertuan Agong.

abghalim berkata...

Salam

Ustaz azizi hj abdullah...

calon yang paling layak

salam
abghalim ulu yam

lyna ua berkata...

Salam Nisah,
Saya mengharapkan calon wanita... terdengar juga nama yang mungkin di nobatkan. Harap-harap betul agar semangat penulis Sang Hawa lebih berkobar!

rudy bluehikari berkata...

siapapun SN ke10 saya harap orang ini akan menjadi peneraju pemerkasaan bhs melayu dalam sistem pendidikan negara. buat sesuatu melalui karya2nya. amin~

Related Posts with Thumbnails