Wawancara Berhemah




Saya telah ditemuramah oleh seorang pelajar dari Kolej MARA Seremban. Dia datang ke rumah saya bersama-sama seorang kawan. Sebelum ini, dia telah menjejaki saya lewat Friendster. Dengan bahasa yang berhemah, dia menyatakan hasratnya untuk menjadikan CSRO sebagai bahan kajian. Saya berikan nombor telefon supaya dia dapat menghubungi dan menetapkan janji temu.

Mula-mula dia menghantar SMS. Ejaan yang digunakan penuh, tidak menjengkelkan. Dia juga memperkenalkan diri, mengingatkan saya tentang sapaan pertamanya sebelum ini. Mengucapkan terima kasih kerana sudi untuk berbincang lanjut tentang tarikh pertemuan.

Lantaran agak sibuk dengan Pesta Buku dan urusan di Ujana Ilmu, saya tidak lapang pada hujung April yang lalu. Saya cadangkan untuk dia hubungi saya pada hari Rabu minggu pertama bulan Mei. Ketika itu, saya sepatutnya sudah lega. Menepati janji, dia SMS saya semula sama ada dia boleh telefon saya pada sekitar 4.30 petang. Saya mohon 10 minit tangguh sebentar kerana mahu solat Asar dan bersedia untuk hantar anak-anak ke kelas Iqra'.

Cukup 10 minit dia telefon semula. Kami pun buat keputusan untuk bertemu keesokan harinya di rumah saya.

Apabila tiba di rumah, dengan penuh santun dia mengeluarkan fail berisi soalan dan nota-notanya. Dia memberitahu saya bahawa dia memilih 8 buah cerpen daripada 15 buah yang terkandung di dalam CSRO untuk melihat citra wanita. Soalannya menjurus dan tidak merewang bertanyakan hal-hal proses kreatif yang tidak berkaitan dengan kertas yang bakal ditulis.

Saya seronok melayannya kerana dia tahu soalan-soalan yang tidak saya gemari. Tidak ada sebarang soalan tentang bagaimana mendapat idea dan soalan-soalan yang pernah saya sebutkan dalam entri-entri terdahulu. Dia jujur memaklumkan bahawa dia tidak pernah membaca karya saya yang lain, kecuali Annyss Sophilea. Saya terima jawapan tersebut kerana kajiannya bukan tentang pengarang tetapi tentang karya dan secara khusus 8 buah cerpen yang diwajarkan pemilihannya.

Ada beberapa hal tentang cerpen saya itu dilihat dari sudut yang saya sendiri tidak terlihatkan. Pun, dia masih merendah diri dan bimbang apabila saya meminta sesalinan eseinya nanti untuk simpanan saya. Dia bimbang jika esei itu tidak sampai kepada apa yang saya harapkan.

Sebelum ini, ramai mahasiswa/i yang menemuramah saya dengan membiarkan pita rakaman membuat catatan. Mengharapkan dia akan mendengar kembali rekod tersebut tanpa melakukan catatan sendiri. Anak matanya pun entah ke mana sewaktu saya menjawab soalan. Saya sungguh-sungguh mahu membantunya membuat tugasan. Mereka pula langsung endah tak endah dengan jawapan yang diberikan. Jika saya sudah menjawab soalan kedua belas, langsung sahaja seperti robot memberikan soalan ketiga belas. Tidak ada minat dalam nada soalan yang diberikan. Apatah lagi, nama saya mungkin sahaja diberikan oleh pensyarahnya. Nama Nisah Haron ini, entah siapa-siapa. Apatah lagi, tarikh hantar tugasan barangkali esoknya ataupun dua tiga hari lagi. Sebab itu, mereka terdesak dan adakalanya mendesak saya juga.

Barangkali di dalam hati separuh merungut, mengapalah dia harus datang ke Seremban mencari saya dengan penuh susah-payah, walaupun dalam banyak keadaan, saya tidak galakkan mereka datang ke rumah kerana saya tahu rumah saya akan sukar dicari. Saya yang selalunya keluar ke Bandar Seremban untuk bertemu di tempat-tempat yang lebih mudah dicari.

Barangkali di dalam hati separuh merungut, mengapalah Nisah Haron ini cerewet tentang berbahasa. E-mel pun kena tulis dengan ejaan yang sempurna - 'skema', kata orang sekarang. SMS pun kena eja betul-betul. Kena baca dulu SMS yang sudah dikarang sebelum tekan butang 'send'. Mengapalah sebelum wawancara kena dengar dulu 'ceramah' Nisah Haron tentang budi bahasa dan etika berbahasa. Bukankah mereka itu pelajar daripada fakulti bahasa, fakulti pendidikan, akademi bahasa dan yang seumpamanya.

Adik pelajar dari Kolej MARA Seremban ini bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mungkin tidak akan menggunakan Bahasa Melayu sebagai pengantar semua subjeknya. Tetapi, dia sangat santun dalam berbahasa. Walaupun saya tidak meminta, dia datang ke rumah saya dengan sedikit buah tangan. Saya tahu harganya tak seberapa, tapi itu tidak penting. Paling penting, ibu bapa ataupun gurunya pasti telah mendidiknya dengan baik kerana dia tahu budi bahasa apabila datang ke rumah orang.

Sebelum pulang, saya hadiahkan Tawarikh Cinta atas kesungguhannya dan saya suka dengan cara dia membuat persediaan. Paling mengesankan, saya bertanya, bila dia sepatutnya menghantar tugasan ini.

"Oh, lambat lagi, puan. Semester depan," jawabnya.

Saya tersenyum. Saya fikir dia calon mahasiswi yang boleh pergi jauh kerana dia amat bersedia dan teliti dalam membuat persediaan.

Ah, saya terharu. Dalam kehidupan masyarakat kita yang semakin luntur nilai-nilai murni dan common sense, masih ada anak muda yang sopan berbahasa dan tahu membawa diri.

Ulasan

Mawar berkata…
Nis
pengalaman saya dengan pelajar Kolej MARA memang begitu kebanyakannya - berhemah. pasti sahaja ia kesan pengajaran yang mereka terima hasil didikan MARA. harapnya begitulah. amin. tahniah kepada para guru "MARA" dan para pelajarnya.
SITI ZAINON ISMAIL berkata…
Alhamdunilah masih ada manis budi bahasa di kalangan remaja. Semoga generasi ini akan mewangikan taman budaya kita.Ah, dua hari ini saya di Kuantan, menghadiri seminar tenunan Pahang, apa yang terjadi:
1) seorang jejaka datang tanpa mengenalkan diri, kecuali bersuara: " boleh kita ambil gambar bersama?". Akhirnya saya mengalah dan bertanya, anda siapa dan dari mana ya?" Kurang adabkah saya?jawabnya: " oh saya pelajar di...sedang buat kajian ijazah sarjana dan banyak membaca buku prof "
2) waktu makan tengahari di meja makan.Tiga wajah yang saya kenali, kami bersalam. Di sebelah kiri saya kerana dia lebih muda, saya tidak pula menghulur tangan kebetulan saya kenal wajahnya, rasanya seakan wajah pelajar di kampus dulu. Saya tunggu kalau dia menyapa kerana beberapa kali melihat wajahnya. akhirnya saya mengalah dan bertanya.." adik sekarang bertugas di mana? "..oh kemudian dia terkejut dan menjawab, " Eh tak kenal saya ke?...dua tiga kali kita bertemu kerana saya pernah temuramah prof untuk tesis saya?"
Nah Nisah, lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang.
Bunnybaby berkata…
Salam.

Apabila puan menyebutkan perkataan 'skema', teringat pula saya gelaran/label yang sama diberikan oleh rakan-rakan kepada saya semasa mengaji diploma dulu ;-)

Dari pengamatan saya terhadap pelajar praktikal yang dipinjamkan kepada perpustakaan, ataupun pelajar yang mahu mewawancara mengenai perpustakaan, saya lihat ramai yang masih tak faham skop kursus masing-masing. Apabila ditanya sesuatu istilah yang berkaitan dengan pengurusan maklumat, majoriti tidak dapat menjawabnya. Sedangkan mereka ini masih lagi "fresh" dari bangku pengajian.

Catatan Popular